KALAU ada yang berpendapat artis tempatan kini sukar untuk bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman, rasanya telahan itu silap sama sekali.
Ini dapat dibuktikan apabila kumpulan rock tersohor negara, Wings sudah pun secara rasminya menjadi artis naungan KRU Music Group.
Siapa sangka untuk artis senior seperti Wings masih lagi mendapat tempat dan ada pihak yang menawarkan peluang bagi mengukuhkan kedudukan mereka sebagai kumpulan legenda tanah air.
Dalam hal ini, ucapan tahniah dan syabas harus diberikan kepada Norman Abdul Halim yang terus mempercayai kredibiliti Wings untuk meluaskan lagi legasi seni mereka.
Kata Norman, selepas setahun mengadakan perbincangan, barulah Wings bersetuju untuk menyertai syarikatnya.
"Malah ini juga pelaburan terbesar oleh pihak kami. Ada syarat yang telah dipersetujui oleh kedua belah pihak di mana kontrak hanya akan disambung jika masing-masing berpuas hati dengan setiap projek album.
"Antara kerjasama yang telah dipersetujui termasuklah pihak KRU akan menggalas tanggungjawab dari segi penerbitan, pemasaran dan promosi album. Cuma kami tidak akan sentuh mengenai konsep album yang dihasilkan," kata Norman dalam sidang akhbar yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Album Wings bersama KRU Music Group berjudul Menakluk Kosmos akan dilancarkan pada bulan September ini sementara sebuah album kompilasi istimewa juga akan diterbitkan.
Semestinya untuk kumpulan Wings, kerjasama terbaru ini adalah satu penghormatan untuk mereka selepas lebih 10 tahun tidak muncul dengan sebarang album.
"Kami memerlukan strategi promosi yang kuat. Kerana itu juga kami bersetuju untuk berada di bawah naungan KRU yang cukup hebat dan terkenal dalam soal pemasaran dan publisiti.
"Sekiranya album kali ini berjaya, kami akan meneruskan kerjasama dengan album seterusnya pula," kata Awie mewakili teman-temannya yang lain.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: