Sunday, July 29, 2012

Hotel Zenith tawar pakej lengkap Ramadan

SEBANYAK 30 gerai dibuka bagi memeriahkan Bazar Ramadan di Hotel Zenith, Kuantan, Pahang.

RAMADAN di Hotel Zenith bukan hanya terhad kepada juadah berbuka puasa, sebaliknya hotel lima bintang yang semakin kukuh membina nama di Pahang dan Pantai Timur itu menyajikan pakej lengkap yang jarang ditawarkan oleh kebanyakan hotel lain di negara ini.

Bermula dari pakej bilik yang ditawarkan pada harga istimewa dan pelbagai pilihan lauk-pauk tempatan dan antarabangsa untuk bufet Ramadan, Hotel Zenith yang terletak di Kuantan, Pahang itu turut mengadakan Bazar Aidilfitri bagi menyemarakkan lagi kemeriahan Ramadan.

Pada tahun ini, hotel tersebut mengadakan Bazar Aidilfitri selama sebulan mulai 21 Julai lalu dengan lebih 30 gerai menjual pelbagai kelengkapan hari raya.

Bazar yang bermula dari pukul 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam itu menjual pelbagai barangan seperti aneka jenis biskut raya, pakaian, aksesori dan kasut.

Terletak di tingkat tiga hotel itu, bazar tersebut dibuka dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Selain jualan sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, terdapat juga pameran yang dikendalikan beberapa agensi kerajaan, antaranya KPDNKK dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Apa yang menarik, terdapat pameran karya seni bertemakan Gaza oleh seorang pelajar iaitu Muhamed Izzfahan Bukhary Izat Bukhary, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Kuantan.

Pengarah Urusan hotel tersebut, Khoo Eng Seng berkata, bazar ini dibuka selepas mendapat sambutan positif daripada orang ramai pada tahun lalu.

“Pihak kami membuka bazar ini untuk memberi kemudahan kepada tetamu bagi membeli barang keperluan hari raya di sini," katanya kepada S2.

Menurutnya, selain daripada bazar, pihaknya turut menyediakan bufet Ramadan dengan bayaran sebanyak RM85 bagi dewasa dan RM42.50 untuk kanak-kanak.

Beliau juga berkata, pengunjung berpeluang menikmati lebih daripada 100 jenis juadah yang disediakan berasaskan hidangan tradisi Melayu dan antarabangsa.

“Antara hidangan istimewa kami adalah gulai kawah, nasi beriani kambing, bubur lambuk dan teh tarik badam.

“Kesemua ini pasti membawa pengalaman menikmati makanan kampung kepada pengunjung. Kami yakin sajian ini dapat memuaskan cita rasa pengunjung memandangkan pelbagai juadah disediakan," katanya.

Sambil menikmati juadah berbuka puasa katanya, pengunjung akan dihiburkan dengan alunan muzik nasyid dari kumpulan nasyid yang dijemput khas untuk menghiburkan mereka.

Sepanjang Ramadan ini juga, kadar bilik ditawarkan pada harga yang lebih rendah iaitu RM199 semalam bagi bilik jenis Deluxe.

Kesemua bilik dilengkapi dengan televisyen skrin rata dengan siaran stesen berbayar, Internet dan kemudahan telefon panggilan antarabangsa (IDD).

Promosi yang bermula dari 21 Julai sehingga 18 Ogos itu turut memberi peluang kepada tetamu hotel menikmati bufet Ramadan pada harga RM75.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: