Kali pertama menyambut Ramadan selepas berhijrah tahun lalu pastinya memberi kelainan kepada pelakon cantik dan manis, Diana Amir.
Diana atau nama sebenarnya, Nurdiyana Amir Hashim berkata, berbanding tahun sebelumnya, tahun ini dia dapat merasakan lebih ketenangan ketika menunaikan ibadah puasa.
"Jika dibandingkan dengan sebelum ini, memang ketara perbezaannya. Malah, nikmat berpuasa lebih dirasai kerana saya benar-benar memberikan perhatian kepadanya sahaja.
"Lagi pun dahulu bagi saya, berpuasa hanya menahan makan daripada lapar dan dahaga. Tetapi kini, saya sedar bulan ini memberikan seribu satu fadilat dan kelebihan," katanya kepada Zass.
Jelas anak kelahiran Birmingham, England ini juga, dikesempatan yang ada, dia tidak ketinggalan melakukan pelbagai ibadah seperti melibatkan diri dengan aktiviti keagamaan.
"Alhamdulillah, biasanya saya sering menerima undangan untuk memberikan ceramah mengenai hijrah di hari-hari biasa, tetapi di bulan Ramadan, saya tetap diberi peluang untuk berkongsi pengalaman," katanya.
Pada masa sama, akui Diana, tahun ini dia turut berhasrat memenuhi solat Tarawih.
"Kalau dulu saya tidak peka dengan ibadat yang perlu dilakukan ketika bulan Ramadan, tetapi tahun ini saya tidak mahu mengulanginya lagi.
"Biarlah saya yang dahulu menjadi satu kenangan dan pengalaman. Kerana terlalu asyik mengejar tugas sebagai pelakon, saya mengabaikan tanggungjawab terhadap solat wajib dan solat Tarawih," katanya.
Tolak tawaran seni
Lari dari kebiasaannya, Diana juga mengambil peluang berehat sepenuhnya daripada karier seninya.
"Bulan ini merupakan bulan terbaik untuk muhasabah dan mendidik diri, sebab itulah sepanjang menjalani ibadah puasa, saya tidak menerima sebarang tawaran lakonan.
"Bagi saya biarlah perhatian diberikan kepada aktiviti keagamaan sahaja. Lagi pun, bulan-bulan lain kita sudah sibuk bekerja," kata pelakon filem 7 Petala Cinta ini.
Bagaimanapun, jelas Diana, dia tidak menolak sekiranya menerima undangan bagi aktiviti kebajikan seperti berbuka puasa bersama golongan memerlukan dan anak yatim.
"Program kebajikan juga adalah cara kita mendekatkan diri dengan Allah SWT. Selain dapat menggembirakan insan yang kurang bernasib baik, kita juga dapat membuka mata serta hati golongan lain untuk turut bersama dalam program ini.
"Saya yakin sebagai selebriti adakala apa yang dilakukan oleh kita menjadi ikutan. Dan biarlah, apa yang diikut itu adalah ke arah kebaikan," ujarnya yang berpeluang mengerjakan umrah buat kali pertama pada Jun lalu.
Selain itu, Diana turut meluangkan masa sebanyak tiga kali seminggu untuk menghadiri kelas agama dan usrah.
Berbuka dengan keluarga
Bercerita menu pilihannya di bulan puasa, Diana berkata, dia tidak kisah untuk menikmati apa saja juadah ketika berbuka dan bersahur.
"Walaupun menetap bersama kawan-kawan tetapi saya akan pulang ke rumah emak di Puchong untuk berbuka bersama mereka.
"Jadi apa sahaja yang dimasak oleh emak, saya akan makan. Antara menu kegemaran saya seperti Masak Lemak Cili Padi dan Ayam Goreng Berempah," ujarnya.
Sehingga kini, Diana berkata, dia masih belum berkesempatan berkunjung ke bazar Ramadan.
"Saya jarang pergi ke bazar sementelah lagi emak sudah memasak banyak makanan di rumah. Selain boleh mendatangkan pembaziran, rasanya lebih baik saya bersederhana sahaja," kata anak keempat daripada tujuh beradik ini.
Dalam perkembangan lain, Diana bakal muncul dengan filem terbarunya September ini yang berjudul Assalamualaikum Cinta, bergandingan bersama aktor, Kamal Adli.
Menerusi filem itu, Diana memainkan peranan sebagai anak kepada seorang ustaz yang membantu Kamal Adli (seorang selebriti), untuk mendalami ilmu agama
Tuesday, July 31, 2012
Diana manfaat Ramadan dengan ibadah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: