SUASANA riuh-rendah mewarnai pekarangan Masjid Bukit Antarabangsa, Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor, pada pagi Sabtu lalu. Kemeriahan itu datangnya daripada para penduduk Bukit Antarabangsa dan anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras, Kuala Lumpur yang berganding bahu melunaskan aktiviti gotong-royong.
Seawal pukul 8 pagi, mereka sudah berkumpul dan seterusnya diberikan tugasan mengikut jenis kerja dan kawasan pembersihan. Selain memotong rumput, ada yang menebas lalang, membersihkan longkang dan membuang sampah bagi mengelakkan pembiakan nyamuk aedes.
Tidak ketinggalan, segelintir daripada mereka bertugas membersihkan di dalam ruang masjid seperti mencuci permaidani, jendela dan mengelap lantai.
“Pembahagian tugas amat penting bagi memastikan kerja-kerja pembersihan disempurnakan sebelum masuknya waktu Zuhur. Selain itu, aktiviti gotong-royong ini dapat dilakukan dengan baik memandangkan pihak polis membawa peralatan pembersihan dalam kuantiti yang banyak.
“Gotong-royong ini diadakan untuk membersihkan Masjid Bukit Antarabangsa sempena kedatangan bulan Ramadan. Lagipun, ini merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan Kerimba dengan kerjasama pihak polis,” ujar Penasihat Kelab Rimba Ilmu Masjid Bukit Antarabangsa (Kerimba), Mohd Shuib Lebar, 69.
Sementara itu Nazir Masjid Bukit Antarabangsa, Datuk Bedolah Botok, menyatakan persekitaran masjid yang bersih dan bebas daripada bau yang kurang menyenangkan akan memberi keselesaan kepada jemaah menunaikan ibadah dan menimba ilmu di masjid.
“Khususnya pada bulan Ramadan ini, rata-rata penduduk Islam di Bukit Antarabangsa akan melakukan solat sunat tarawih, berbuka puasa dan menyertai aktiviti qiamulail pada tengah malam di sini.
“Bagi saya, amalan gotong-royong wajar dijadikan aktiviti bulanan mahupun mingguan di sesebuah kawasan kejiranan. Selain mencantikkan rumah Allah, kita juga dapat mewujudkan semangat kerjasama serta merapatkan ukhwah dalam kalangan penduduk setempat,” ujarnya.
Platform terbaik
Menurut Bedolah, masjid adalah platform terbaik untuk mendidik orang Islam erti kasih sayang, saling membantu dan semangat muhibah.
Tambahan pula, aktiviti gotong-royong anjuran Kerimba itu turut mendapat perhatian dan kerjasama 100 orang anggota polis PGA. Secara tidak langsung, ia mempamerkan bahawa polis bukan sekadar bertindak menjaga keamanan masyarakat dan negara malah sentiasa bersedia menghulurkan bantuan pada program tanggungjawab sosial.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, menerusi aktiviti sebegitu persepsi masyarakat terhadap anggota polis dapat diubah.
“Ia memberi mesej bahawa kami bukan saja membantu menyelesaikan kes atau masalah berkaitan jenayah, sebaliknya berkhidmat dalam pelbagai aspek.
“Justeru, saya menyarankan agar semua ketua polis negeri dan daerah mengambil inisiatif melibatkan diri dalam acara murni ini,” tambah Ismail ketika ditemui Kosmo! pada aktiviti gotong-rotong itu.
Dalam pada itu, Komander Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am, Cheras, SAC Datuk Mohd. Rodzi Ismail gembira kerana program berkenaan berjalan seperti yang dirancang. Semua individu begitu komited dan bekerja dalam semangat berpasukan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: