MASA bagaikan terhenti berdetik bila mendengar kata-kata daripada Fayazul Islam Mohd. Narsim, 32 (disebut Fauzul) seorang berketurunan Rohingya dari Rakhine (Arakan), Myanmar.
Saudara Islam di kampung halaman menderita. Saban hari diancam keganasan dan Ramadan mereka tidak sama dengan Malaysia yang penuh dengan kemeriahann kemakmuran,
Malah katanya, sejak awal Jun lalu, keganasan dan penindasan semakin menjadi-jadi.
Terbaru maklumat yang diterima, hampir kesemua masjid-masjid di Rakhine dikunci. Umat Islam dilarang ke masjid. Lebih menyedihkan, pihak tentera menahan kesemua imam.
Kelazimannya, apabila ditahan, mereka tidak mungkin akan dibebaskan. Mungkin kita hanya menerima mayat-mayat mereka sahaja," ujar Fayazul yang pasti membuat hati sesiapa saja yang mendengar tersentuh.
Itu bezanya nasib saudara Islam di beberapa bahagian lain dunia yang menderita disangat rakan-rakan seagama mereka bergembira menyambut kehadiran Ramadan.
Di Malaysia misalnya, Ramadan ibarat musim pesta makanan. Pergilah ke mana sahaja, makanan pasti melimpah ruah.
Situasi itu berbeza dengan masyarakat Islam Rohingya di Myanmar yang sebahagian besarnya menjadi pelarian ke serata pelosok dunia.
Baki yang tinggal di kampung halaman mereka pula sentiasa dalam ketakutan.
Nasib yang sama juga menimpa umat Islam di Syria yang kini diambang perang saudara yang membabitkan pertelingkahan antara puak pemberontak dengan kerajaan.
Begitu juga dengan saudara Islam di Sudan dan Yemen yang sebahagian mereka diancam kebuluran ekoran kemiskinan dan kekurangan bekalan makanan.
Di Rakhine, Myanmar, penduduknya yang dikatakan seramai dua juta orang dengan majoriti beragama Islam telah dinafikan hak untuk menghidupkan bulan Ramadan terutama bagi tujuan pengimarahan masjid.
Etnik Rohingya disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai etnik minoriti yang paling teruk ditindas di dunia.
Fayazul yang merupakan ketua komuniti untuk seramai 400 pelarian Rohingya di sebuah penempatan di Klang, Selangor telah berada di negara ini selama empat tahun.
Dia tiba di Malaysia setelah hampir dua bulan melarikan diri dalam keadaan yang sangat azab dan seksa dari Rakhine.
Imam ditangkap
Kata Fayazul, Ramadan di bumi kelahirannya tetap cuba disambut seperti mana ia diraikan di tempat-tempat lain.
Penduduk Islam Rakhine turut ingin menghidupkan dan memeriahkan masjid dengan ritual solat berjemaah dan beriktikaf.
Walaupun setelah kerajaan mengenakan perintah berkurung (sejak 10 Jun lalu), keinginan umat Islam ke masjid bagai tidak boleh dibendung. Mereka teguh dengan pendirian walau nyawa jadi taruhan.
Semangat ini menyebabkan pihak berkuasa sangat marah. Mereka menutup masjid dan menangkap para imam dan ustaz.
Hampir 100 masjid, termasuk masjid yang berabad usianya telah dimusnahkan oleh kerajaan junta Myanmar. Yang adapun tidak boleh digunakan oleh umat Islam di sana," tuturnya dalam bahasa Inggeris yang agak fasih ketika ditemui di Ibu Pejabat Muslim Aids di Bangsar Kuala Lumpur baru-baru ini.
Seketika itu juga, Fayazul tenggelam dalam kenangan silam saat menyambut Ramadan di kampungnya di Blok 2 Buthidaung, Rakhine, sebuah perkampungan yang sangat daif.
Walaupun dalam keadaan yang sangat daif tanpa bekalan elektrik, Ramadan kami cukup meriah. Biarpun kami terpaksa menggunakan generator lebih dari masa biasa.
Ini kerana kami hendak menghidupkan masjid. Malah masjid-masjid kami terkenal kerana hampir setiap malam akan menghabiskan satu surah ketika solat sunat terawih," kenang Fayazul lagi.
Jika dahulunya, iaitu sejak 1991 mereka hanya dihalau dari kampung halaman, tetapi kini mereka turut dibunuh dengan kejam. Beribu-ribu rumah dibakar dan mereka dihalang mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana pihak.
Tuhan sahaja yang mengetahui betapa kejamnya penganiayaan yang dilakukan ke atas umat Islam Rohingya. Mereka menjadi mangsa penyembelihan, dibakar dan dibunuh. Seolah-olah nyawa itu sudah tidak ada nilainya," kata Fayazul.
Namun kata Fayazul umat Islam yang masih berada di wilayah bergolak Rakhine dan yang berada di kem-kem pelarian di sempadan Bangladesh dan Thailand, tetap melaksanakan ibadat puasa.
Jika di kem-kem pelarian kami hanya mendapat bekalan beras daripada pihak PBB. Tetapi di Rakhine kami benar-benar berpuasa dalam keadaan perut benar-benar kosong," ujarnya sayu.
Ekoran krisis pembersihan etnik itu oleh Junta tentera Myanmar, Fayazul sendiri kehilangan dua adik lelakinya.
Syeikhul Islam, 25, dan Rafil Islam, 18, hilang ketika menyelamatkan diri ke sempadan Myanmar-Bangladesh. Rafil kali terakhir dilihat cuba menyeberang sungai dengan menaiki bot.
Saya yakin kedua-dua mereka ditahan pihak tentera dan kemungkinan untuk mereka selamat adalah mustahil. Kehilangan ini masih saya rahsiakan daripada pengetahuan ibu yang masih berada di kampung," ujarnya lemah.
Sebagaimana kebanyakan pelarian Rohingya lain, hasrat untuk kembali semula ke tanah air tercinta mungkin sesuatu yang mustahil. Rakhine sebuah negeri yang berkeluasan 36,762 kilometer persegi yang terletak di bahagian Barat Laut Myanmar.
Namun, jika sudah ditakdirkan, saya ingin membawa ibu dan adik-beradik lain untuk menikmati udara kebebasan di sini," kata Fayazul.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: