SEKATAN pulmonari kronik (COPD) mungkin satu nama asing pada masyarakat di negara ini, tetapi ia sejenis penyakit memudaratkan yang menyebabkan penghidapnya menderita dan ia seolah-olah satu beban besar di rantau Asia.
Ia adalah penyakit paru-paru tegar iaitu pernafasan tersekat akibat kerosakan dan radang di bahagian organ penting itu dan menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, COPD adalah masalah kesihatan utama dengan kira-kira 65 juta penghidap di seluruh dunia.
Ia kini menjadi punca kematian kelima paling utama di dunia ketika ini dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan penyakit itu akan meningkat ke kedudukan ketiga menjelang 2030.
Hasil tinjau selidik EPIC Asia oleh syarikat farmaseutikal Takeda bertajuk ‘Epidemiologi dan Kesan COPD di Asia’, mendapati penyakit itu menjejaskan kualiti kehidupan dan memberi kesan negatif kepada produktiviti kerja.
Namun begitu, ia masih kurang mendapat pendedahan dan hampir separuh daripada mereka yang mengalami gejala COPD di negara yang ditinjau masih belum disahkan penyakit mereka.
COPD menimbulkan beban yang berat apabila tiga daripada 10 responden tidak dapat bekerja manakala enam daripada 10 responden yang bekerja melaporkan pernah tidak hadir kerja.
Kaji selidik itu membabitkan 112,000 isi rumah dan dijalankan di China, Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam.
Ia juga membabitkan 1,800 responden yang mengalami COPD di seluruh Asia termasuk 200 pesakit dari Malaysia yang berkongsi maklumat mengenai beban ditanggung, persepsi dan kefahaman mereka mengenai penyakit progresif yang boleh membawa maut itu.
Menurutnya, penularan COPD di kalangan mereka yang berusia lebih 40 tahun di negara ini dianggarkan meliputi lima peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia.
Didapati satu daripada lima penghidap COPD mengalami batuk serius dan menghasilkan kahak dengan penyakit kerap menjadi bertambah teruk dan keadaan mereka dikelaskan sebagai teruk atau sangat teruk.
Pengarah Institut Perubatan Pernafasan Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr Abdul Razak Abdul Muttalif berkata, bergantung kepada tahap penyakit, COPD boleh menyebabkan pesakit sukar melakukan aktiviti harian seperti kerja rumah ataupun mandi, sekali gus menghalang keupayaan seseorang untuk bekerja.
Beliau berkata, serangan paru-paru dikaitkan dengan radang saluran pernafasan dan sistemik serta perubahan fisiologi dalam paru-paru.
“Ini termasuk sesak nafas, batuk kronik pengeluaran lendir serta kelesuan yang menjadi punca utama mereka dimasukkan ke hospital dan boleh menyebabkan penyakit itu menjadi bertambah kronik.
“Penyakit ini bersifat jangka panjang kerana ia akan mula timbul kepada perokok tegar yang sudah mengamalkan tabiat selama 20 hingga 30 tahun dulu dan kini kesannya baru nampak,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Beliau berkata, pada masa dulu orang tidak tahu lagi mengenai COPD, maka dia tidak kisah menghisap rokok, tetapi baru sekarang nampak kesan jangka panjangnya.
Katanya, COPD adalah penyakit yang perlahan-lahan meninggalkan kesan teruk pada paru-paru. Paru-paru yang sihat mempunyai rongga bersih untuk udara keluar masuk, tetapi lama kelamaan timbul radang dan aliran udara terganggu kerana pengeluaran lendir terlalu banyak hingga penderita COPD boleh terkena serangan yang menyebabkan mereka sukar bernafas.
“Lendir ini bukan jenis biasa, tapi dalam istilah perubatan kita panggil ia sebagai plug mukus dan ia sukar untuk dihilangkan. Lebih 90 peratus pesakit COPD di negara ini diakibatkan tabiat merokok selama puluhan tahun.
“Tetapi sejak enam tahun lalu, jumlah bilangan perokok didapati semakin menurun daripada 48 peratus kepada 42 peratus dan ini menunjukkan perkembangan positif kerana semakin ramai mula meninggalkan tabiat itu kerana menyedari risiko terhadap kesihatan,” katanya.
Menurut Dr Abdul Razak, selain sukar menjalani kehidupan seharian, pesakit COPD turut mengalami kemurungan kerana kebimbangan yang tinggi terhadap kebarangkalian berulangnya serangan paru-paru.
Penderita COPD, Shahrom Zainal Abidin, 71, berkata, beliau disahkan menghidap penyakit itu 15 tahun lalu selepas menjalani pemeriksaan akibat sering batuk kronik dan kesukaran bernafas.
Menurutnya, ketika muda beliau seorang yang sangat aktif dan sering membabitkan diri dengan aktiviti sukan dan riadah walaupun kuat menghisap rokok.
“Ketika muda saya ingin kelihatan hebat, jadi saya merokok. Saya tidak sangka perkara seperti ini boleh terjadi kerana dulu saya seorang yang sangat aktif.
“Tetapi kini saya hidup dalam keadaan tertekan dan tidak gembira kerana sukar bergerak. Untuk melakukan perkara paling mudah pun dan setiap kali selepas mandi, saya akan rasa letih,” katanya.
Katanya, ketika masih sihat, beliau bersama arwah isterinya gemar menari kerana ia hobi mereka berdua, tetapi keadaannya kini tidak memungkinkan sebarang aktiviti menggunakan tenaga yang banyak. Menurutnya, dia memang seorang perokok tegar selama puluhan tahun dan menghisap antara 30 hingga 40 batang rokok sehari, namun tidak pernah terfikir akan diserang penyakit seperti COPD.
“Saya bertuah kerana tidak ada penyakit lain tetapi kerana COPD, hidup saya menjadi sukar dan hampir setiap bulan saya akan terkena serangan paru-paru menyebabkan saya trauma sering panik.
“Ketika serangan berlaku, rasa seperti ada selimut menutup paru-paru saya dan untuk tahun ini saja, enam kali saya mengalami serangan paru-paru hingga mengakibatkan saya dimasukkan ke hospital.
“Kehidupan saya memang terjejas teruk dan kalau saya tahu perkara seperti ini akan berlaku, sudah tentu saya tidak akan merokok,” katanya.
Shahrom berkata, beliau sering demam dan batuk teruk sehingga keluar lendir berwarna hijau dan keadaannya yang tidak bermaya kini menyebabkan rakan juga menjadi hairan kerana mereka mengenalinya sebagai seorang yang aktif suatu ketika dulu.
“Penyakit ini memberi kesan kepada keseluruhan badan dan juga hidup saya, apalagi saya hidup dalam kebimbangan kerana boleh mendapat serangan paru-paru pada bila-bila masa,” katanya.
Fakta COPD
dengan risiko kematian yang tinggi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: