ASSALAMUALAIKUM kepada semua pembaca .com,
MUNGKIN persoalan yang saya ajukan tidak sama seperti e-mel sebelum ini yang banyak bercerita mengenai isu-isu semasa. Luahan saya mudah, bagaimana hendak mengetahui apakah yang bakal terjadi pada diri saya dalam 10 tahun akan datang.
Saya kini berusia 18 tahun, baru sahaja mendapat tempat di salah sebuah universiti tempatan, namun dalam kursus yang saya sendiri tidak tahu kewujudannya. Keputusan semasa di kolej matrikulasi tidak teruk dan tidak juga terlalu baik.
Jadi adakah nasib saya ini bergantung pada perjudian ataupun hanya nasib sahaja. Jika ditolak, takut nanti langsung tidak mendapat tempat di mana-mana universiti sekali gus memusnahkan hasrat saya bergelar mahasiswa.
Secara jujurnya saya bercita-cita menjadi seorang juruterbang. Namun tiada satu kolej mahupun universiti kerajaan menawarkan kursus penerbangan, tambahan pula kolej swasta memang tidak mampu untuk saya, lebih-lebih lagi ibu bapa hanya berniaga sendiri.
Jadi, apakah langkah sewajarnya yang perlu saya ambil? Adakah meneruskan pelajaran di universiti yang telah ditawarkan atau, terus mencari tempat di mana saya dapat mengejar cita-cita saya.
Justeru, kerajaan atau pihak berwajib perlu memberi penerangan ataupun panduan kepada pelajar seperti kami yang sememangnya tidak tahu apakah yang perlu dipilih selepas tamat alam persekolahan.
Selama 11 tahun pelajar hanya disogok dengan sekolah yang ditentukan oleh kerajaan yang mana enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah. Bagaimana pula selepas itu?
Mungkin masalah saya kecil namun ia berlaku di kalangan pelajar-pelajar lepasan kolej matrikulasi dan tingkatan enam khususnya pelajar yang tiada panduan daripada orang tua yang langsung tiada pelajaran.
Harap pihak Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi memainkan peranan secara menyeluruh terhadap masalah ini.
PELAJAR DILEMA
Batu Pahat, Johor
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: