|
|
USAH jadikan alasan keletihan yang dialami dek menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan menyebabkan anda mengambil sikap sambil lewa dalam aspek penampilan diri dan merias wajah.
Inilah yang ditekankan oleh jurusolek bebas, Vee Muhammad ketika ditemui Stailo, baru-baru ini. Jelasnya, golongan jejaka mahupun wanita seharusnya menitikberatkan aspek penampilan diri sepanjang tempoh berpuasa.
“Bagi golongan wanita, jangan sesekali pergi ke pejabat atau kuliah dengan rambut yang tidak terurus rapi. Wajah pula dibiarkan kusam dan lesu tanpa sebarang calitan solekan.
“Sebaik-baiknya sebelum keluar rumah, lindungi kulit wajah dengan aplikasi krim pelembap dan krim pelindung cahaya matahari. Ini bagi mengelakkan kulit kering dan mengelupas. Kemudian, sapu penyamar noda dan krim asas bagi menutupi bintik-bintik hitam,” terang Vee yang menyarankan supaya wanita mempraktikkan solekan nipis seperti mengoles pembayang mata, gincu bibir dan pemerah pipi rona lembut atau warna semula jadi.
Tambah Vee, elakkan solekan terang dan berlebihan kerana ia mengundang reaksi kurang selesa daripada orang sekeliling.
Konsep suai padan
Menurut pereka fesyen dan perunding imej, Jezmine Zaidan, 28, golongan wanita bertudung juga perlu tampil ceria dan funky pada bulan Ramadan. Asalkan mereka bijak mempraktikkan konsep suai dan padan yang ideal.
“Misalnya, memadankan seluar jean rona biru gelap bersama blaus rona kelabu dan kardigan motif harimau bintang. Selain itu, pilih helaian selendang atau tudung bawal yang digayakan dengan pakaian serta aksesori rona kontra,” jelas Jezmine yang turut menyarankan wanita berhijab bereksperimen dengan pelbagai teknik lilitan.
Minuman mencantikkan kulit
Bagi mengelakkan kulit wajah dan badan kering kerana kekurangan air pastikan anda minum sekurang-kurangnya lapan gelas air air putih selepas waktu berbuka. Seterusnya, segelas air ketika bersahur dan segelas lagi sebelum masuknya waktu imsak.
Sementara itu, pengambilan air soya kurang gula pula membantu mencantikkan, mencerah dan mengekalkan kelembapan kulit. Ini disebabkan soya diperkaya dengan fitoestrogen yang mengekalkan keremajaan kulit, selain protein, asid amino dan antioksida yang membantu mengatasi masalah pigmentasi serta penuaan.
Nikmati buah-buahan
Pengambilan buah-buahan ketika berbuka dan bersahur adalah pilihan bijak untuk mengelakkan masalah sembelit. Sekiranya masalah sembelit tidak diatasi dengan baik, ia akan menyebabkan kehadiran jerawat dan bintik-bintik kecil di bahagian rahang serta dagu yang ‘mencacatkan’ seri wajah.
Justeru banyakkan memakan buah pisang, betik, epal atau limau bagi mencegah sembelit. Sementara itu, amalkan meminum air lemon suam untuk membuang toksin dan gosok buah tomato di sekitar wajah bagi tujuan melembut serta melembapkan kulit.
Makanan berkhasiat
Bagi mengelakkan tubuh badan keletihan semasa menjalani ibadah puasa maka digalakkan mengambil sajian berkhasiat dan sihat terutamanya sewaktu bersahur. Elakkan makanan berlemak dan berminyak kerana ia menyebabkan badan lesu serta mengantuk pada siang hari.
Sebaik-baiknya, pilih menu seimbang yang kaya dengan karbohidrat, protein dan vitamin. Ia bukan saja membuatkan anda kekal cergas malah turut membantu membuatkan wajah tampak segar. Antara menu yang disarankan ialah oat atau bijirin yang dicampur bersama susu segar rendah lemak, buah kiwi, strawberi, beri hitam dan kismis.
Namun begitu, pastikan anda memilih bijirin rendah paras gula, tinggi fiber dan vitamin. Ia baik untuk rangsangan otak yang cerdas. Selain itu, roti mil penuh, kepingan keju, ayam panggang dan telur setengah masa juga pilihan ideal untuk membekalkan tenaga.
Kelebihan buah kurma
Dalam pada itu, bagi mengekalkan kecergasan berpanjangan individu disarankan berbuka dan bersahur dengan menikmati sekurang-kurangnya lima biji buah kurma.
Hasil kajian pakar perubatan antarabangsa mendapati kandungan gula yang terdapat di dalam buah kurma membantu memberikan tenaga agar kekal aktif manakala kandungan seratnya membuatkan perut terasa kenyang.
Bukan itu saja, buah kurma juga kaya dengan vitamin A, vitamin B kompleks, niasin (asid dalam vitamin B kompleks), zat besi dan asam nikotimik iaitu garam aluminium asid yang baik untuk usus. Ini termasuklah kandungan magnesium, potasium, kalsium dan kalium.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: