|
|
LELAKI dengan nama Daing Zairi Ma'arof yang mahu dikenali sebagai Ery Ma'arof ini memilih cara tersendiri untuk bergaya. Dalam kebanyakan penampilannya ketika mengadakan persembahan mahupun sesi fotografi, Ery dilihat lebih selesa mengenakan kemeja lengan panjang. Dia yang mengalami masalah rabun juga tidak lekang dengan sepasang cermin mata.
Kumis dan janggut pula tersisir rapi agar sisi maskulinnya lebih menyerlah. Selesa dengan gaya sebegitu, Ery tidak boleh lari daripada dikritik cara pemakaiannya. Dia dikatakan canggung mengalirkan diri sebagai seorang penyanyi pop.
Tidak kurang juga, Ery dilabel sebagai penyanyi nasyid berdasarkan raut wajah dan cara berpakaian. Apatah lagi lagu single pertamanya yang kedengaran seperti naskhah ketuhanan, Astaghfirullah Al Azim turut mempengaruhi pandangan khalayak.
"Saya selesa dengan keadaan sekarang walaupun ada yang menyangka bahawa saya seorang penyanyi nasyid apatah lagi lagu single pertama saya judulnya seperti lagu nasyid.
"Jika ada yang menegur untuk kebaikan apa salahnya untuk saya mengubah penampilan kepada cara yang lebih sesuai dengan konsep saya," katanya kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.
Lagu pertama tersebut merupakan ciptaan komposer Saari Amri yang dikeluarkan pada tahun lalu.
Biarpun namanya masih belum meniti bibir khalayak, namun penampilan sebegitu sedikit sebanyak mengisytihar kepada orang ramai mengenai identitinya.
Lantas Ery pantas menjelaskan bahawa dia tidak mahu dikenali dengan gelaran penyanyi genre terbabit kerana tumpuan kerjayanya tertumpu kepada rentak universal.
"Saya bukan penyanyi nasyid. Walaupun judul lagu saya, Astaghfirullah Al Aizim kedengaran seperti sebuah lagu nasyid, tetapi irama dan liriknya berentak muzik antarabangsa.
"Dengan lagu single kedua berjudul Melukis Awan yang baru sahaja dikeluarkan beberapa bulan lalu, saya berharap pendengar akan lebih mengenali siapa saya," kata anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu.
Penghasilan dua lagu tersebut menjadi tanda aras buat pemegang Ijazah Sarjana Bahasa Melayu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu untuk menghasilkan sebuah album penuh.
Oleh kerana ingin mengimbangi antara kerjayanya sebagai seorang pensyarah di UKM dan dunia nyanyian, Ery terpaksa menangguhkan seketika perancangan tersebut.
Dia kini menumpukan perhatian terhadap projek di universitinya sebelum memberi tumpuan terhadap penghasilan album yang asalnya dijadualkan lebih awal.
"Sepatutnya saya mahu melancarkan album penuh itu pada Jun lepas, tetapi kerana terpaksa memberi laluan kepada kerja sebagai pensyarah yang sedikit sibuk memaksa saya menangguhkan seketika perancangan itu.
"Kini saya dalam proses akhir untuk menyiapkan album yang saya jangka akan dipasarkan pada Ogos depan. Album itu akan memuatkan dua buah lagu single tersebut dan empat buah lagu lain," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: