ALBUM ataupun lagu yang bertemakan patriotik boleh berperanan memberi semangat bukan sahaja kepada para atlet tetapi juga pendengar dan penonton yang menghayatinya.
Lagu berjudul 1Inspirasi ciptaan Keroz Nazri misalnya, dicipta sesuai dengan kedatangan temasya Sukan Olimpik 2012 yang bakal berlangsung di London, United Kingdom mulai 27 Julai ini.
Menurut komposer berusia 28 tahun ini, lagu itu yang didendangkan ramai penyanyi termasuk bintang Akademi Fantasia seperti Farhan dan Maulana diterbitkan kena pada masanya.
"Lagu 1Inspirasi ciptaan saya itu mempunyai elemen patriotik dan ia dipersembahkan dalam genre muzik pop. Dalam lirik lagu itu ada semangat tentang perjuangan, keamanan dan setia kawan.
"Ia sesuai digunakan untuk bahan siaran selingan di radio dan televisyen termasuklah pada sepanjang sukan Olimpik kali ini berlangsung," katanya kepada Hits baru-baru ini.
Keroz berkata, lagu itu yang merupakan salah satu daripada lagu dalam album berjudul 1Inspirasi diterbitkan oleh Majlis Belia Malaysia dengan kerjasama Orlaith Inc. Sdn. Bhd.
Album itu yang telah dilancarkan di Putrajaya sempena sambutan Hari Belia pada 23 Mei lalu telah dicetak sebanyak 2,000 unit yang kebanyakannya diedarkan secara percuma.
Jelas Keroz atau nama sebenarnya Khairul Nizam Nazri, dia mengambil masa hampir tiga minggu untuk mencipta lima lagu dan menerbitkan album itu yang diterbitkan dalam bentuk cakera padat.
"Album itu telah diedarkan secara percuma kepada para belia sewaktu sambutan Hari Belia yang lepas tetapi pada masa sama ia juga dijual di tempat lain dengan harga RM10 seunit.
"Duit jualan cakera padat itu telah didermakan kepada Persatuan Austisme Malaysia. Selain menerapkan semangat patriotik album ini juga diterbitkan untuk tujuan amal," ujarnya.
Selain dalam bentuk album, 1Inspirasi juga diterbitkan dalam bentuk klip video mula ditayangkan di stesen-stesen televisyen terutama RTM sejak 23 Julai lalu.
Penerbit Eksekutif album itu yang juga wakil Orlaith Inc. Sdn. Bhd., Azam Ismail Bakri, 48, berkata lagu 1Inspirasi dan album itu bukan setakat untuk menaikkan semangat kesukanan sahaja.
Sebaliknya, mesej lirik lagu itu juga boleh dikaitkan dengan pelbagai situasi seperti bagi menggalakkan generasi muda menuntut ilmu dan juga semangat cintakan tanah air.
"Lagu itu juga boleh dimuat turun di laman YouTube di Internet secara percuma sejak 23 Mei lalu manakala klip videonya telah disiarkan RTM pula sejak 23 Julai lepas," jelasnya lagi.
Selain 1Inspirasi, antara lagu yang turut dimuatkan dalam album yang mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan itu adalah Hope, Aman dan Young Happy.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: