PETALING JAYA: Pelakon dan penerbit drama Sheila Rusly berkata keputusan untuk kembali berlakon selepas hampir setahun berehat semata-mata kerana projek istimewanya bersama rakan aktres Datin Sofia Jane.
Sheila, 41, berkata, dia terpanggil untuk berlakon semula dalam telefilem berjudul Jane Jamilah itu demi memenuhi keinginan Sofia yang bersetuju untuk membintangi karya genre komedi buat julung kalinya.
“Saya bersetuju untuk berlakon semula kerana rakan lama, Sofia Jane yang buat pertama kalinya bersetuju membintangi telefilem komedi berjudul Jane Jamilah.
“Telefilem ini adalah projek istimewa kami untuk tayangan selepas Hari Raya nanti dan kini berada dalam proses suntingan,” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Ditanya mengenai tindakannya berehat daripada lakonan sebelum ini, Sheila berkata, dia selesa memberikan tumpuan kepada kerja-kerja belakang tabir syarikat produksinya dan suami Azman Yahya (Jinggo) iaitu JS Pictures.
“Kalau diikutkan sudah hampir setahun saya tidak berlakon langsung kerana sibuk membantu Jinggo dalam kerja-kerja belakang tabir drama-drama terbitan syarikat kami.
“Sebenarnya, saya kasihan pada suami yang sering tidak cukup tangan dengan pelbagai komitmen. Kebetulan pula, saya juga mempunyai ilmu dan kemahiran dalam bidang itu, apa salahnya saya bantu apa yang patut,” katanya.
Mengenai sambutan Ramadan pada kali ini, Sheila berkata, syarikat produksinya tidak melakukan sebarang penggambaran sepanjang bulan puasa dan lebih menumpukan pada proses pra-produksi drama bersirinya akan datang.
“Macam biasa, syarikat produksi saya akan berhenti berehat daripada penggambaran sepanjang bulan Ramadan.
“Selain untuk fokus pada ibadah, saya sibuk dengan kerja-kerja pra-produksi drama bersiri Cinta Adam & Hawa yang akan memulakan penggambaran selepas Hari Raya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: