PELUANG berbuka puasa dan bertarawih di Masjid Sultan Ahmad Shah, UIAM, Gombak, Selangor membuka lembaran baru buat penulis yang kali pertama menjejakkan kaki di masjid itu.
Sementara menunggu waktu berbuka, kebanyakan pelajar membasahkan lidah dengan membaca ayat suci al-Quran. Sungguh merdu mendengar lantunan suara mereka membaca ayat suci al-Quran dan lebih unik, gaya pembacaan mereka boleh dikatakan berbeza berikutan kepelbagaian latar belakang.
Pelajar Melayu ada gaya pembacaan tersendiri, begitu rakan mereka dari rantau Asia Barat, Afrika dan Eropah. Namun, matlamat mereka tetap satu mencari keberkatan ketika Ramadan.
Sebaik mendengar azan menandakan tiba waktu berbuka puasa, mereka tidak gelojoh memenuhi selera nafsu, sebaliknya hanya makan kurma dan minum sedikit air sebelum meneruskan solat Maghrib.
Usai solat wajib, baru mereka menjamah makanan berat seperti nasi sebelum meneruskan solat Isyak dan Tarawih. Penulis yang menyertai pelajar di UIAM berbuka puasa tertarik dengan peribadi ditunjukkan.
Penulis akui, jika tidak berbuka puasa di sini, penulis juga akan terus mengambil makanan berat sehingga perut benar-benar kenyang.
Namun selepas menyertai pelajar UIAM berbuka puasa, penulis belajar sesuatu yang akan dijadikan pengajaran sampai bila-bila.
Di sini, ukhuwah yang ditunjukkan pelajar sangat kukuh. Hubungan mereka dilihat seperti keluarga, apatah lagi apabila berbuka secara beramai-ramai.
Bukan hanya rapat dengan pelajar tempatan, malah pelajar antarabangsa turut mendapat layanan sama rata, membuktikan tiada diskriminasi.
Meskipun hanya berbuka dengan sebungkus nasi, segelas air dan dua biji kurma, mereka bersyukur dengan rezeki diberikan yang lebih daripada mencukupi.
Tidak ketinggalan, penulis menyertai solat Tarawih yang diimamkan imam muda dari Arab Saudi. Meskipun bacaannya panjang dan tempoh solat lama berbanding masjid lain, penulis seronok kerana kali pertama merasai pengalaman itu.
Malah, penulis berasakan seolah-olah berada di tanah suci Makkah dek khusyuk mendengar kemerduan suara imam muda itu membacakan ayat suci al-Quran.
Cuma sedikit terkilan apabila ramai kanak-kanak dibiarkan penjaganya bising di satu sudut berdekatan masjid, menyebabkan tumpuan sedikit terganggu.
Pun begitu, ia bukan halangan untuk jemaah meneruskan solat Tarawih hingga rakaat ke-21. Selain itu, tabung khas diedarkan untuk diderma kepada golongan kurang bernasib baik.
Bagi pelajar tahun akhir, Siti Hajar Abdullah, 29, tahun ini adalah tahun ketujuh dia berbuka puasa bersama rakan di masjid itu.
“Saya sudah biasa berbuka puasa di masjid. Selain berkat, ia mengeratkan lagi silaturahim antara umat Islam. Lagipun sebagai pelajar, faham sajalah keadaan ekonomi kami.
“Berbuka puasa di masjid lebih jimat. Lagipun, lebih mudah untuk melakukan solat. Setiap tahun saya berbuka puasa di sini,” kata anak kelima daripada enam beradik itu.
Katanya, daripada membazir membeli makanan di luar, lebih baik dia berbuka di masjid. Selain menjimatkan kos, ia turut memudahkannya bersolat.
“Setiap tahun, masjid di UIAM menyediakan hidangan berbuka puasa. Bukan tidak mahu berbuka di luar, tapi saya rasa lebih selamat dan praktikal di sini.
“Jika buka di luar sudah tentu mengambil masa, silap-silap perkara wajib kita abaikan. Banyak faktor lain juga perlu diambil, misalnya tambang. Agak jauh untuk ke ibu kota dan sudah pasti tambang juga mahal.
“Walaupun tidak semewah makan di luar, saya bersyukur kerana nasib lebih baik daripada mereka yang tiada makanan dan tidak pernah merasai makanan seperti di sini,” katanya.
Menurutnya, sepanjang menuntut di UIAM, dia tidak pernah ketinggalan mengerjakan solat Tarawih di masjid itu dan menganggapnya sebagai pengalaman menyeronokkan.
“Apabila dapat berkumpul bersama rakan dan solat Tarawih bersama, itu adalah saat terindah yang tidak dapat dilupakan.
“Memandangkan saya akan menamatkan pengajian September depan, saya mahu abadikan kenangan ini bersama rakan yang dianggap seperti keluarga sendiri.
“Tidak tahu bila boleh menikmati saat berbuka puasa dan Tarawih bersama selepas ini, namun saya harap ukhwah ini akan berkekalan sampai bila-bila,” katanya yang berasal dari Muar, Johor.
sungguh rindukan uiam..terbaek lah...
ReplyDelete