QALISYA...pernah digilap oleh Ajai melalui Wake The Baby.
MENYEPI dan tanpa publisiti tidak bermakna Qalisya Ray, 21, tiada lagi dalam industri, tetapi dia sedang merancang untuk menghasilkan single terbaru di bawah syarikatnya sendiri, The Rays Management yang baru saja ditubuhkan awal tahun ini.
Gadis jelita itu mula dikenali ramai menerusi lagu Satu Januari ciptaan Ajai.
Itulah langkah awal Qalisya dalam arena seni suara tanah air. Bersama single pertama itu di bawah Wake The Baby iaitu syarikat rakaman milik Ajai, dia hadir bersama tiga lagi lagu iaitu Bebaskanlah Cinta, Cerita Cinta dan Takkan Ada.
Bagaimanapun, semua lagu itu hanya platform awal kepada Qalisya dan keadaan itu membuatkan dia terfikir untuk merencana semula perjalanan seninya. Tegasnya, dia akan berusaha mencapai cita-citanya menjadi penyanyi yang berjaya dan turut berhasrat menawan hati peminat di luar negara. Pada usia yang masih muda, Qalisya berasakan yang dia belum terlambat untuk menggapai impiannya itu apatah lagi dengan sokongan keluarga, harapannya pasti akan terlaksana jua, cuma bergantung pada keadaan, rezeki dan tuah.
“Selepas terlepas ikatan daripada Wake The Baby, saya senang bergerak sendiri di bawah pengurusan keluarga terutama kakak saya yang banyak membantu saya dalam urusan kerja. Dia bukanlah pengurus sepenuh masa, tetapi buat masa ini dialah yang banyak menyelaraskan kerja seni saya.
“Insya-Allah, kalau saya jadi buat lagu single dalam Inggeris, saya akan merakamkannya di studio di luar negara, tetapi jika saya hasilkan single dalam bahasa Melayu, saya akan berduet dengan artis Indonesia. Tengoklah, yang mana boleh memberi impak kepada kerjaya seni saya.
“Artis Indonesia itu sudah ada namun kami masih lagi berbincang dan andai kata ia menjadi kenyataan bolehlah saya mencuba pasaran di Indonesia pula. Demi memenuhi harapan yang tinggi ini, saya berhati-hati memilih lagu kerana saya mahu terhasilnya lagu itu nanti dapat menggegarkan persada muzik tanah air.
“Saya serius menyertai bidang seni dan saya akan berusaha yang terbaik. Memang ada keinginan untuk menghasilkan album penuh, tetapi suasana sekarang tidak membenarkan. Kalau kita hasilkan 10 lagu, bukan semua lagu itu akan menjadi hits dan diminati ramai. Keadaan itu hanya merugikan wang yang dikeluarkan untuk pembikinan album itu.
“Lebih saya tumpukan pada satu lagu dulu dan sekiranya permintaannya bagus, saya akan hasilkan single seterusnya. Lagu yang dimuatkan dalam album mini terdahulu bukanlah tidak bagus, tetapi belum mampu meninggalkan kesan yang mendalam di hati peminat,” katanya.
Ketika mula menyertai dunia seni, jelas Qalisya dia masih mentah dan tidak tahu ‘permainan’ dunia, maka segala keputusan diserahkan kepada Ajai.
“Lebih setahun dalam industri, saya belajar dan memerhatikan keadaan sekeliling. Dari situ saya nekad untuk menubuhkan syarikat sendiri dan cari sendiri lagu. Saya cuba mencontohi penyanyi yang sudah berjaya di mana saya lihat macam mana mereka bekerja dan akhirnya memperoleh apa yang mereka idamkan.
“Ada sesetengah perkara kita tak boleh bergantung kepada pendapat dan cita rasa orang lain. Kita perlu ada cita rasa sendiri dan saya tidak pernah putus asa,” katanya.
Ujar Qalisya yang wajahnya mirip artis Bollywood itu dengan rambut panjang melepasi bahu, barangkali ramai yang tidak tahu genap seminggu pelancaran mini albumnya, dia terus mendapat undangan dari Istana Negara untuk mengadakan persembahan pada majlis mesyuarat diraja dan sejak itu dia banyak mendapat jemputan daripada VIP serta acara tertutup yang lain.
“Saya tidak dapat publisiti kerana acara tertutup seperti itu tiada media yang hadir dan untuk merakamkan gambar pun agak sukar. Dek kerana banyak undangan daripada golongan VIP dan korporat, saya jarang berpeluang untuk membuat persembahan di pentas terbuka seperti di Jomheboh dan sebagainya,” katanya.
Bercerita mengenai Ramadan, Qalisya lebih banyak menghabiskan masanya di rumah bersama keluarga.
“Ramadan datang setahun sekali dan rugi kalau bulan yang mulia itu dibiarkan berlalu begitu tanpa pengisian daripada kita sendiri. Saya dan keluarga juga akan balik beraya awal di Pasir Mas, Kelantan kerana selain berhari raya di sana, kami juga akan membuat persiapan majlis resepsi perkahwinan ibu saudara saya yang akan diadakan selepas hari raya,” katanya.
Berbicara dengan Qalisya, tutur katanya lebih matang dari usia dan itu semua adalah hasil didikan ibunya yang juga seorang ahli perniagaan.
“Semua adik-beradik saya seramai empat orang adalah perempuan dan ibu sangat menjaga semua anak perempuannya. Dia banyak memberi tunjuk ajar kepada kakak, saya dan adik untuk menghadapi cabaran hidup hari ini.
“Ibulah idola saya dan saya sangat berterima kasih kepada ibu serta ayah kerana menjadikan kami anak gadis yang kuat semangat dan tidak gentar untuk menghadapi kehidupan ini. Ibu mempersiapkan kami berempat menjadi orang yang boleh berdikari,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: