Setelah dua tahun menyepi tanpa lagu baru, kini Bunkface kembali mengubat rindu peminat terhadap mereka.
Namun kembalinya Bunkface kali ini mempunyai satu tujuan yang sangat kuat malah dalam masa yang sama mahu memartabatkan muzik tanah air dan menolak muzik luar.
Mungkin perkara ini sudah biasa didengar, namun Bunkface mengambil tindakan berterus terang melalui barisan lagu yang disampaikan dalam album terbaru mereka, Bunk Not Dead.
Jika sebelum ini lagu Panik pernah diharamkan untuk dimainkan di corong radio milik kerajaan, Bunkface tidak mahu menganggap perkara tersebut sebagai halangan untuk menyatakan suara mereka kepada pendengar.
Menurut vokalisnya, Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Annuar, 25, kehadiran mereka kali ini dianggap lebih berani dan tidak berselindung.
"Apa yang cuba kami sampaikan kali ini adalah bersifat terus terang dan kami tidak mahu cakap lagu ini ditujukan kepada sesiapa dan boleh jadi kepada semua orang.
"Tapi kalau ada pihak yang terasa dengan lagu tersebut, sedar-sedar sendirilah.
"Apa yang kami cuba sampaikan ialah mengenai penindasan oleh kuasa besar dan mangsa terhadap keadaan tersebut," jelas Sam bersungguh ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbaru mereka di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
Ditanya mengapa mengambil pendekatan sebegitu, Sam menyatakan kini masyarakat terlalu disogok dengan rangkaian lagu cinta yang tidak berkesudahan di pasaran.
"Kami menggunakan muzik kami untuk meluahkan perasaan kepada masyarakat. Apa yang terdapat dalam album itu merupakan isi hati kami.
"Jadi, kami mahu lakukan sesuatu yang berbeza dan tidak pernah orang lain lakukan atau suarakan," tambah Sam.
Rasanya apa yang diluahkan oleh kumpulan Bunkface merupakan masalah bersama yang sememangnya dihadapi oleh semua pejuang dan penggiat muzik tanah air.
Siapa yang tidak sakit hati apabila ada sahaja persembahan yang berskala besar, pasti artis luar yang menjadi pilihan.
Paling hairan, demam dan tsunami Korea bagaikan tidak pernah surut dan dalam masa yang sama turut menenggelamkan kebolehan anak tempatan.
Namun, berapa kerat sangat yang berani bersuara. Silap hari bulan, satu lagu pun tidak dibenarkan ke udara di corong-corong radio.
Mungkin apa yang dikatakan oleh barisan anak muda ini merupakan salah satu suara kebanyakan daripada mereka yang merasa tertindas dalam industri seni tanah air.
Tapi mungkin juga kerana darah muda yang masih panas dan mahukan sesuatu yang dianggap dapat mengembalikan kegemilangan muzik tempatan.
Walau apa pun alasan, tujuannya hanya satu iaitu menaikkan kembali lagu buatan tangan sendiri dan diterima di bumi sendiri.
Malah Sam sendiri mengakui dia berharap agar industri seni tanah air akan kembali seperti sedia kala dan jika boleh mahu pengaruh muzik K-Pop khususnya dapat dikurangkan.
"Kami akan berusaha menaikkan kembali industri muzik tanah air dan kami akan mulakan dengan berperingkat-peringkat.
"Insya-Allah kami merancang untuk mengadakan persembahan di universiti awam dan juga swasta bagi meneruskan usaha ini.
"Apa yang kami lakukan adalah demi industri muzik tanah air dan kalau boleh, kami mahu menggerakkan semula gig yang pernah mendapat sambutan menggalakkan sebelum ini," ujar Sam penuh bersemangat.
Apa yang jelas, sebagai pejuang yang mahu menaikkan kembali muzik tempatan, tidak salah kiranya suara anak muda ini diberi perhatian demi menyelamatkan industri yang tidak seberapa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: