PETALING JAYA: Program bual bicara terbaru Fiqh Wanita membawa kelainan apabila setiap topik atau permasalahan yang dibahaskan akan disertakan dengan sesi praktikal dan demonstrasi dengan melibatkan penyertaan penonton di studio.
Penerbit Eksekutif Fiqh Wanita, Mohd Naim Niamat berkata, sesi tersebut pastinya akan memudahkan penonton memahami persoalan yang dibincangkan oleh ahli panel jemputan.
"Selain berinteraksi bersama penonton di studio, penonton di rumah juga boleh melontarkan persoalan mereka kepada panel menerusi laman sosial Facebook Fiqh Wanita," katanya dalam satu kenyataan di sini kepada mStar Online.
Menggantikan program Al-Hidayah yang bersiaran pada setiap Jumaat pada pukul 1.30 petang, Fiqh Wanita yang akan disiarkan di TV3 turut membincangkan mengenai kepentingan hukum Islam dalam kehidupan wanita Muslim seperti bersuci, ibadat dan kewajipan lain berkaitan wanita dengan lebih jelas.
Dalam pada itu, Mohd Naim berkata, program bual bicara itu akan membuka segala persoalan serta memberi penyelesaian kepada para penonton khususnya kaum wanita untuk menjalani sebuah kehidupan yang lebih baik.
"Lebih menariknya lagi, program 30 minit ini lebih memfokuskan kepada topik dan isu yang boleh dijadikan panduan dan amalan buat seseorang Muslimah dalam meneguhkan iman, takwa dan kerohanian," katanya.
Telah menemui penonton sejak 6 Julai lalu, Fiqh Wanita dihoskan oleh Shadiya Abbas.
Antara panel yang dijemput ke program tersebut ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Zaleha Kamarudin, Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Asmak Husin, Noraslina Jusin, Nourul Iman Niamat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: