PEMBATALAN Konsert Salaam Sami Yusuf yang dijadualkan pada 14 Julai lalu meninggalkan impak yang bukan sedikit. Biarpun wakil penganjur yang berpejabat di Singapura membuat penjelasan panjang lebar, kegagalan Sami mengadakan persembahan sangat mengecewakan peminat yang sudah membeli tiket. Sami dikritik banyak pihak termasuk artis nasyid tanah air. Ada yang melabelkan dirinya sebagai cerewet dan kurang profesional.
Berbeza pula halnya dengan syarikat pengurusan Sami, ETM International (ETM) di London. Dakwa mereka, banyak laporan media yang disiarkan berhubung pembatalan konsert Sami itu tidak tepat.
Dalam sepucuk e-mel yang dihantar kepada Pengarah Urusan Arteffects International, Hafiz Hamidun selaku wakil rasmi Sami di Malaysia, Singapura dan Brunei, ETM membuat satu kenyataan penjelasan.
Dalam e-mel berkenaan, pihak Sami memberitahu Hafiz bahawa sebelum penyanyi itu meninggalkan Malaysia, pihak ETM terlebih dulu mengarahkan pihak peguam mereka untuk memberikan notis kepada OEP iaitu penganjur yang bertapak di Singapura, berkaitan beberapa perkara yang telah melanggar kontrak persembahan Sami di Malaysia.
Pihak OEP bagaimanapun gagal memberi maklum balas kepada notis peguam berkenaan. Perkara itu disedari sendiri oleh Sami, sebaik sahaja dia tiba di Kuala Lumpur. Secara jelas pihak OEP tidak menangani isu tersebut seperti yang diharapkan.
OEP didakwa gagal untuk mempromosi konsert secukupnya dan menyediakan kempen secara komprehensif di media seperti yang dituntut di dalam kontrak.
Jurucakap ETM, Liza Palana berkata, mustahil untuk konsert itu diteruskan disebabkan isu kontrak yang bercanggah.
"Kurangnya kesedaran khalayak tentang konsert itu telah mendorong kami untuk menawarkan agar konsert itu ditunda ke suatu tarikh yang lain supaya sebuah pasukan promosi yang baharu berpeluang untuk mempromosikan semula konsert di Stadium Melawati, dengan sepenuh sokongan kepada Sami.
"Pihak kami bersedia menawarkan pakej pampasan kepada pembeli tiket persembahan. Malangnya, OEP memilih untuk menolak semua pilihan tersebut."
Walaupun Sami tidak sabar untuk meneruskan persembahan di Malaysia, percanggahan dan masalah dengan OEP menyebabkan ETM tidak mempunyai sebarang pilihan, keculi terpaksa membatalkan persembahan yang telah dijadualkan.
Sami dalam e-mel sama turut memberi kenyataan berhubung sejarah hitam itu.
"Saya sangat sedih kerana tidak dapat membuat persembahan kepada saudara saudari di Malaysia. Saya telah menunggu peluang untuk bersama dengan mereka selama hampir lapan tahun.
"Namun, saya tidak mahu hadir dengan persembahan yang tidak professional. Saya telah pun berusaha keras untuk menjadualkan semula persembahan di Malaysia pada masa akan datang. Saya mahu peminat saya dapat menikmati dan merasai pengalaman konsert Sami dengan cara yang sepatutnya. Saya berusaha untuk menjadikan ia kenyataan dalam masa terdekat," tulis Sami dalam e-mel yang sama.
Dalam perkembangan terbaharu, Sami akan kembali ke Kuala Lumpur bagi mempromosikan album terbaharunya Salaam yang bakal dikeluarkan melalui Arteffects. Material terbaharu itu boleh ditonton di www.SamiYusufOfficial.com dalam beberapa hari lagi.
Arteffects juga merancang menganjurkan showcase eksklusif Sami bersempena dengan pelancaran album Salaam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: