DI sebalik seorang atlet yang komited, pasti ada ibu yang tidak pernah penat menjaga anak-anaknya menjadi individu yang cemerlang.
Begitu juga pemain skuasy wanita nombor satu dunia- Datuk Nicol Ann David yang berkongsi kisah bagaimana ibunya yang penyayang, Ann Marie David mempengaruhi setiap langkahnya dan membantu menjadi ahli sukan bertaraf antarabangsa seperti mana sekarang.
Nicol telah mencatat sejarah sebagai pemain Asia pertama yang memegang gelaran juara bertahan pemain skuasy wanita nombor satu dunia sejak 2006.
Sejak kecil lagi, bakat Nicol sangat menyerlah dalam arena skuasy.
Beliau telah berjaya menjadi juara enam kali berturut-turut di Kejohanan Terbuka Dunia dan juga terpilih sebagai Pemain Tahunan Terbaik WSA (Women's Squash Association) selama enam tahun berturut-turut dari tahun 2005 hingga 2010.
Nicol juga diberi penghormatan untuk membawa obor Olimpik Malaysia semasa Olimpik Athens 2004. Pada tahun 2008, Nicol menjadi individu termuda menerima gelaran datuk apabila beliau dianugerahkan pingat Darjah Bakti sempena pencapaiannya yang amat membanggakan dalam bidang sukan.
Bapanya, Desmond David adalah seorang jurutera awam, bekas atlet negara dan penjaga gol Malaysia. Ibunya, Ann Marie David adalah seorang guru sekolah. Beliau mempunyai dua adik-beradik, Lianne dan Cheryl yang juga pemain skuasy.
"Saya adalah anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik perempuan. Bukan senang untuk menjaga saya kerana saya sangat hiperaktif dan sentiasa mahukan perhatian.
"Skuasy adalah aktiviti terbaik untuk saya memandangkan ia membolehkan saya bergerak aktif di gelanggang dan tidak memanjat di sana-sini," katanya.
Ketika berusia lima tahun, Nicol mula bermain skuasy bersama kakak-kakaknya. Beliau mewarisi bakat sukan bapanya dan dalam usia seawal lapan tahun, beliau telah memulakan latihan skuasy secara rasmi.
Ketika berlatih di Bukit Dumbar Squash Centre, bakat Nicol telah dikenal pasti oleh Ee Phoeh Hoon, yang kemudian membawa Nicol dan kakak-kakaknya untuk mewakili negeri kelahirannya, Pulau Pinang.
Nicol merupakan seorang ahli sukan yang rajin dan berdedikasi tinggi. Tiada siapapun dapat mempertikaikan segala kejayaan yang dikecapinya hari ini.
Bagaimanapun Nicol yang dikenali dengan sikat rendah diri, menganggap ibunya sebagai punca kejayaannya selamat ini.
"Keluarga, terutamanya ibu saya, adalah insan yang bertanggungjawab menerap nilai-nilai positif yang diperlukan untuk berjaya. Sama ada di dalam pelajaran mahupun sukan, ibu telah memberikan saya kebebasan sepenuhnya untuk melakukan yang terbaik.
"Ibu saya percaya yang jika kita betul-betul inginkan sesuatu, kita akan berusaha gigih dan terdorong untuk mencapainya. Ibu tidak pernah memberi tekanan kepada kami adik beradik untuk cemerlang sama ada dalam pertandingan atau pembelajaran.
"Ibu cuma menyuruh kami mencuba apa yang kami suka dan kemudiannya dari situ mengetahui bidang yang sesuai untuk kami," kata Nicol.
Nicol mengakui, ketika di permulaan kariernya, adalah amat mencabar untuk mengimbangi antara skuasy dan pelajaran. Jadual beliau sentiasa padat dengan latihan dan pertandingan.
Bagaimanapun, Nicol cemerlang dalam kedua-dua bidang dengan bantuan ibunya.
"Memandangkan ibu saya seorang guru, beliau memiliki naluri semula jadi untuk membantu saya dengan kerja-kerja sekolah bila saya menemui jalan buntu. Dia merupakan seorang mentor yang hebat. Saya sungguh bertuah kerana mempunyai ibu seperti beliau," katanya.
Ann Marie menyokong sepenuhnya perjuangan Nicol untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang skuasy.
"Bagi memastikan saya sentiasa sihat walaupun berlatih tidak berhenti, ibu memastikan saya mengamalkan diet yang seimbang dan berkhasiat. Dia akan menyediakan sup herba ayamnya yang sangat lazat dan berkhasiat.
"Masakan ketam dan sambal petai juga adalah juadah kegemaran utama saya. Tetapi, dia memberitahu saya yang petai hanyalah hidangan selepas perlawanan, sebagai insentif untuk saya melakukan yang lebih baik dalam perlawanan.
"Ada suatu ketika, saya bertanding di Kuala Lumpur dengan pasukan kebangsaan, semua pemain lebih dewasa daripada saya.
"Saya rasa sangat terasing kerana jauh lebih muda daripada mereka. Ibu saya meyakinkan saya untuk terus bermain kerana ini adalah peluang terbaik untuk saya belajar daripada mereka," katanya.
Di kala susah dan senang, ibu sentiasa berada di sisinya. Nicol tahu yang ibunya menjadi penyorak yang paling kuat di gelanggang. .
"Kejayaan saya adalah bukti kasih, didikan dan sokongan daripada ibu bapa saya. Mereka berhak untuk mendapat pengiktirafan dalam setiap kejayaan saya. Terima kasih, Ibu", katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: