Sunday, July 29, 2012

Cliff Umar, bukan Boy



SI Adam dengan tubuh badan tinggi lampai, berambut panjang menutup mata dan kulit sawo matang ini pernah atau mungkin masih menghambat rasa suka kaum Hawa pada vokal dan dirinya melalui lagu Wanita Seluruh Dunia.

Gaya vokalis grup Projek Pistol ini menyanyi dengan memuja-muja wanita melalui lagu hasil tulisannya itu mendapat perhatian mata dan hati para gadis. Itu salah satu pancingan lagu-lagu Projek Pistol yang membuka mata khalayak kepada kewujudan grup yang digawangi Edrie Hashim, Zam dan Pa'e tersebut.

Namun untuk sebuah kepuasan yang lebih maksimum, sang vokalis ini melangkah keluar sementara daripada kotak Projek Pistol. Bukan meninggalkan tetapi bergerak atas nama projek solo perdananya sendiri. Mencari sisi kepuasan berdiri atas nama solo bukan hanya permainan vokal tetapi juga ideologi dan warna lagu-lagu yang dibawanya dengan jiwa sendiri. Ibarat sebuah pohon dengan dahan-dahan menjalar ke arah matahari, mencari cahaya dalam cabang yang berlainan.

Asal Cliff Umar

Berjalan solo dengan menggembleng tenaga dua individu sebagai produser dan penyusun lagu, nama Jason Voo dan Fariz masuk dalam barisan tenaga bersepadu projek perdana Boy atau selesa menggunakan nama Cliff iaitu nama sebenarnya untuk projek ini.

"Orang kenal Boy melalui Projek Pistol, jadi biarlah saya bergerak dengan nama saya sendiri untuk projek solo. Ini adalah idea saya, diri saya sebenar, ini adalah Cliff," ujarnya yang mengekalkan menggabungkan dua namanya.

"Nama asal saya Clifford Hugh Joseph dan nama Islam saya Abdullah Umar Joseph Abdullah. Jadi saya gabungkan Cliff dan Umar untuk projek ini," ujar Cliff yang suka membaca kisah sahabat nabi, Saidina Umar al Khattab.

Sebagai salam introduksi kepada sebuah muzik, Cliff mempertaruhkan dua buah single. Menariknya single pertama dan kedua ini mengangkat tinggi harga sebuah kekeluargaan.




"Single Hanya Kau saya tujukan kepada isteri manakala single Cahaya memang khas buat anak saya," ujarnya yang tampil dengan suara dan jiwa balada melalui lagu Hanya Kau.

Dua buah single ini merupakan intro kepada sebuah album yang bakal dihadiahkan kepada para peminatnya penghujung tahun ini. Cliff membayangkan lagu-lagunya cenderung ke arah pop rock dengan suntikan world music dan muzik house serta ditambah ramuan elektro oleh Jason Voo.

Tanpa disokong Projek Pistol, Cliff kini pasrah jika perjuangan solonya gagal.

Sambil melibas rambutnya yang panjang mengurai, Cliff berkata: "Saya tidak fikir ke arah itu. Jujur dan ikhlasnya memang tidak memikirkan itu. Saya buat lagu-lagu ikhlas untuk ibu, anak, isteri dan orang sekeliling. Ini sebuah album yang terlalu peribadi buat saya dan setiap lagu sangat bermakna. Ia seperti saya dan gitar bergerak membikin setiap lagu-lagu."

"Mungkin saya akan kehilangan peminat dengan hadirnya album ini kerana ia sangat berbeza dengan Projek Pistol. Tapi itulah, saya memang mahu dan gemar membikin lagu," tambahnya yang menganggap kewangan bukan masalah untuk album ini kerana semuanya dilakukan bersama pasukan kerjanya.

Sebelum menyertai Projek Pistol, Cliff sudah berjalan dalam dunia nyanyian kelab sejak berusia 18 tahun. Pelbagai pengalaman dunia tersebut didalami hingga membuatkan dirinya bertemu dengan benang merah muziknya sendiri.

Menyentuh tentang tema dalam album yang dikeluarkan oleh syarikat Neo Magik ini, Cliff menjawab tenang: "Dalam Projek Pistol dah cukup rock. Jadi cukuplah rasanya berada dalam persalinan rock. Kali ini temanya relaks kerana jadi dan ikhlas dengan diri sendiri."

"Dua single dan kemudian sebuah album. Ini adalah kebebasan dan di mana saya boleh menjadi kepala kepada setiap keputusan yang dibuat. Bila saya kata 'ya' baru semuanya bergerak. Fariz yang merupakan produser album ini juga merancang strategi pemasaran untuk album ini," kata Cliff tentang album bertajuk 2012 yang mengandungi 12 buah lagu.

Islam tiga tahun

Selain menebarkan rasa cinta dalam etimologi lagu-lagunya, lelaki ini tidak lupa memasukkan beberapa buah lagu ketuhanan dalam albumnya. Sesuatu yang mahu dikongsi bersama para pengikut albumnya kelak.

Susur masuk ke dalam topik tersebut, Cliff berkongsi cerita tentang bagaimana dia bertemu nur Islam tiga tahun lalu.

Bermula dengan zaman kanak-kanak, dia membawa pulang ke zaman tersebut sewaktu dia banyak bergaul dengan kawan-kawan Melayu sejak usia 7 tahun.

"Sejak kecil saya ikut kawan-kawan Islam pergi mengaji. Waktu itu tidak serius tetapi memang sudah bercampur dengan keadaan sebegitu," ujar bapa kepada Alif Iskandar , 3, dan Arif Eskandarian, 5 bulan.

"Saya bertemu dengan ramai orang. Belajar membezakan yang betul dan tidak. Mahu ke kiri atau kanan. Tetapi saya mengambil semuanya dengan cara perlahan-lahan. Hinggalah saya rasa berjumpa dengan jalan yang benar.

"Bila saya dewasa ada perkara-perkara yang menunjukkan bahawa saya ikut jalan yang tidak betul jadi bila sedar, saya ambil keputusan untuk mendalami dan memeluk Islam tiga tahun lalu," tambahnya yang banyak membaca untuk menggali ilmu dan kefahaman dirinya.


DUA buah single akan diberikan kepada khalayak sebagai penilaian sebelum muncul dengan album solo bertajuk 2012.


"Maksud saya di sini, semua orang mempunyai cerita sedihnya dan saya melalui fasa itu. Saya bertemu sebuah kehidupan dan menjalani itu kini, menjadikan semua bertambah baik dan saya bersyukur. Alhamdulillah," ujarnya yang mula belajar berpuasa penuh tahun lalu.

Dia belajar banyak perkara daripada pengamatan dan pembacaan. Juga belajar menghormati wanita yang menurutnya adalah salah satu sumber ilhamnya.

"Daripada supermodel hinggalah mak cik pencuci pejabat, semua adalah ilham buat saya," jujurnya bersuara.

Apabila ditanya adakah Cliff pemuja wanita? Dia ketawa, mengenyit mata menandakan dia setuju.

"Saya terpisah dengan ibu sejak kecil dan selepas SPM baru saya bertemu dengannya. Selepas itu kami jadi sangat rapat dan saya sangat menghormati kaum Hawa. Bagi saya kalau tanpa wanita, hidup lelaki memang tidak akan lengkap," ujarnya yang menganggap wanita memberi impak paling besar dalam dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: