|
SEBELUM ini, pengimport rasmi kenderaan Audi di Malaysia, Euromobil Sdn. Bhd. (Euromobil) pernah memperkenalkan keluarga siri Q iaitu Q5 dan Q7.
Mendapat sambutan memberangsangkan untuk kedua-dua model tersebut, Euromobil mengambil inisiatif untuk memperkenalkan pula SUV kompak premiumnya, Audi Q3 baru-baru ini.
Jika dilihat pada tawaran terbaharu itu, Euromobil sememangnya memiliki tawaran lengkap untuk semua peminat Audi. Jika mahukan kompak mewah, ada A1. Penggemar sedan pula boleh memilih antara model A4, A5, A6, A7 dan A8. Kalau wang tidak menjadi masalah, ada pula model sport TT dan R8.
Berbeza dengan tawaran di pasaran Eropah yang lengkap dengan pilihan enjin diesel, anda hanya boleh memilih dua varian Q3, normal atau S Line di Malaysia. Dengan tambahan harga sebanyak RM21,000 varian S Line dipasang dengan pelbagai aksesori termasuklah stereng tiga jejeari, rim aloi 18 inci dan beberapa kemasan lain.
Kalau ada duit lebih lagi, anda juga boleh memilih aksesori lain seperti comfort key (RM2,500), bumbung panoramik (RM6,000), warna dengan efek mutiara (RM3,500) dan sistem audio BOSE berharga RM5,000.
Audio Concert Audi
Q3 memiliki penampilan seperti sebuah coupe. Biarpun ia nampak seperti Q5 yang dikecilkan, jentera itu tetap dibina sebagai sebuah Audi. Maksudnya, kualiti luaran, dalaman dan perincian terhadap perkara-perkara kecil yang ada padanya cukup impresif.
Saiznya yang kompak bagaimanapun boleh menampung lima orang penumpang dengan selesa. Sekiranya perlu untuk mengangkat lebih barang, lipat sahaja tempat duduk belakang. Ruang kargo yang pada asalnya hanya 460 liter bertambah kapasiti kepada 1,365 liter dengan sekelip mata.
Sesiapa pun akan berpuas hati dengan kualiti material yang diaplikasikan pada kabin Q3. Sebahagian besarnya dibalut kulit. Jika tidak, kemasan krom akan mengambil tempat.
Anda suka menghadiri konsert? Dengan Q3, anda boleh pergi ke konsert setiap kali masuk ke dalam kokpit Q3. Sistem audio Concert Audi menawarkan bunyi berkualiti tinggi. Ia terdiri daripada pemain cakera padat tunggal, slot kad memori SDHC, selain boleh membaca muzik daripada format MP3, AAC dan WMA. Sistem itu juga memiliki input AUX dan 6 CD Changer.
Bunyi daripada stesen radio atau cakera padat akan disalurkan menerusi amplifier enam saluran kepada sepuluh unit pembesar suara yang berkuasa total 180 watt.
Menyalin semula reka bentuk luaran model-model Audi yang lain, penampilan luaran Q3 menyerlah melalui lampu utama jenis Xenon dan butiran lampu LED. Pada bahagian belakang, lampu berbentuk tiga segi nyata menarik perhatian. Sementara ekzos berkembar dan spoiler nipis cuba membuktikan bahawa ia mampu untuk menjadi sebuah SUV kompak yang sporty.
Hasil daripada reka bentuk pengurangan berat yang sistematik, berat SUV crossover itu tidak melebihi 1,500 kilogram. Bonet dan bahagian belakangnya dibuat menggunakan aluminium. Sementara ruang penumpang dibina dengan keluli regangan tinggi.
Rekaan yang earodinamik juga membolehkan Q3 mendahului kelasnya dengan pekali seret (drag doefficient) cuma 0.32Cd, angka yang boleh dibanggakan untuk sebuah SUV.
Menurut Koordinator Pembangunan Audi Q3, Thomas Soppa, struktur Q3 secara asasnya adalah gabungan antara platform PQ46 (Passat CC) serta PQ35 (Tiguan dan Mark VI Golf). Pendek kata, apa yang membentuk Q3 terdiri daripada komponen-komponen terbaik daripada model-model keluaran Volkswagen.
Enjin bercekapan tinggi
Seperti biasa, Audi memasang Q3 dengan enjin bercekapan tinggi TFSI bersesaran 2.0 liter yang dipadankan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan S tronic. Berupaya menjana kuasa sehingga 170hp, ia tetap menawarkan penjimatan minyak menerusi teknologi pancitan terus bahan api, sistem Start/Stop dan sistem pemulihan kuasa.
Audi mendakwa Q3 hanya memerlukan 7.7 liter untuk setiap 100 kilometer. Lebih menyeronokkan, kuasa tork 280Nm itu dapat dicapai ketika jarum rpm hanya mencecah 1,700 hingga 4,200rpm.
Jentera itu mengaplikasikan sistem pacuan empat roda, sebab itulah ada emblem bertulis perkataan Quattro pada bahagian belakangnya. Bagi memastikan pengendalian yang mantap, Q3 dipasang dengan suspensi jenis multi-link untuk roda hadapan dan belakang.
Sistem Quattro mula dibina Audi sejak tahun 1982. Harus tahu bahawa ia merupakan sistem pacuan semua roda yang pertama dibangunkan untuk meningkatkan prestasi kawalan jentera di atas jalan raya.
Tidak cukup dengan itu, sistem suspensi tersebut dipakejkan sekali dengan Electronic Stability Program (ESP) yang bertanggungjawab mengagihkan kuasa tork kepada roda sekiranya tayar mula hilang cengkaman.
Bagi menambah keyakinan ketika memandu, Q3 turut dipasang dengan pelbagai sistem keselamatan aktif dan pasif. Misalnya, enam beg udara, brek antikunci (ABS), Electronic Brake force Distribution (EBD) dan Brake Assist (BA).
Kita memandu mengikut mood. Adakalanya santai dan ada masanya ingin memandu dengan sedikit aggresif. Jadi, Q3 memberi pilihan kepada pemandu untuk memilih karekteristik pemanduan melalui ciri Audi Drive Select. Ciri tersebut akan mengubah pemetaan enjin, pendikit, penukaran gear dan maklum balas stereng. Mode yang boleh dipilih adalah auto, comfort, dynamic dan efficiency.
Saya tidak fikir pembeli Q3 akan memandunya di laluan off-road. Kalau ada pun, mungkin bilangannya terlalu kecil. Namun begitu, sebagai persediaan, ketinggian Q3 telah dinaikkan kepada 170 milimeter, memadai untuk meredah banjir kilat yang tidak berapa serius di Kuala Lumpur.
Diimport sepenuhnya (CBU) dari kilang Audi di Sepanyol, Euromobil meletakkan sasaran untuk menjual 100 unit Q3 pada tahun ini dengan 70 peratus daripadanya terdiri daripada varian S Line.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: