KEHIDUPAN saya sebelum ini agak hanyut dan lalai dalam menunaikan tanggungjawab terhadap agama. Saya ingin mendapatkan penjelasan ustaz mengenai beberapa perkara tentang hukum puasa yang pernah saya abaikan sebelum ini.
1. Bagaimana saya perlu menggantikan semua puasa yang pernah saya abaikan sebelum ini?
2. Berapa banyakkah fidyah yang perlu saya bayar dan boleh ustaz jelaskan bagaimana nilai fidyah dikira (daripada cupak kepada nilai duit).
3. Adakah fidyah itu perlu saya lakukan setelah saya habis menggantikan puasa saya?
Nazlan, Ampang
JAWAPAN:
Alhamdulillah, syukur kepada Allah Ta'ala yang telah memberi hidayah-Nya kepada saudara. Semoga Allah mengekalkan nikmat hidayah ini untuk saudara dan juga sekelian umat Islam.
Berkenaan dengan puasa yang diabaikan sebelum ini, dapatlah dikategorikan pengabaian dan peninggalan puasa kepada dua bahagian; pertama, puasa yang diabaikan dan ditinggalkan secara sengaja. Puasa jenis ini tidak boleh diganti sama sekali. Akan tetapi apa yang boleh dilakukan oleh saudara untuk menebusnya adalah bertaubat dengan taubat nasuha iaitu taubat yang benar dan jujur. Taubat nasuha mengandungi empat elemen utama iaitu, pertama; menyesal terhadap dosa besar yang dilakukan. Kedua; berazam untuk tidak mengulangi dosa besar itu. Ketiga; memperbanyakkan amalan-amalan saleh. Keempat; jika dosa besar itu berkaitan dengan manusia, maka hendaklah dipulangkan, atau dimohon maaf, atau ditebus.
Bahagian kedua, puasa yang diabaikan dan ditinggalkan secara tidak sengaja dan mempunyai sebab. Pengabaian dan peninggalan puasa jenis ini boleh diganti. Terdapat dua kategori pengabaian puasa yang boleh diganti. Kategori pertama; puasa yang ditinggalkan dan perlu diganti dengan puasa juga.
Kategori orang yang perlu menggantikan puasa mereka dengan puasa ganti di bulan lain ialah orang sakit yang boleh sembuh dan orang yang mengembara. Firman Allah Ta'ala (al-Baqarah 2:184) yang bermaksud: "Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain."
Kategori kedua; puasa yang ditinggalkan dan perlu diganti dengan fidyah iaitu memberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan. Kategori orang yang perlu menggantikan puasa mereka dengan fidyah iaitu memberi makan kepada orang miskin ialah orang lelaki tua yang tidak mampu berpuasa, wanita tua yang tidak mampu berpuasa, orang sakit yang tidak boleh sembuh, wanita yang hamil dan wanita yang menyusukan anak. Firman Allah Ta'ala (al-Baqarah 2:184) yang bermaksud: "Dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin."
Terdapat riwayat daripada Ibnu Abbas yang menerangkan kategori ini seperti berikut: Riwayat pertama bermaksud: Daripada 'Ata' bahawa dia mendengar Ibnu 'Abbas membaca,"Dan wajib atas orang-orang yang diberatkan puasa (kerana tua dan sebagainya maka mereka tidak mampu berpuasa, {membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin,". Ibnu 'Abbas berkata 'Ayat ini tidak mansukh. "Mereka ialah orang tua lelaki dan wanita yang tidak mampu berpuasa maka mereka memberi makan bagi setiap hari seorang miskin," (Hadith riwayat al-Imam al-Bukhari, Kitab Tafsir al-Quran, Bab Qaulih Ta'ala 'Ayyaman Ma'dudat...', No. 4145).
Riwayat kedua bermaksud: Daripada Ibnu Abbas bahawa beliau berkata, "Dibenarkan untuk orang tua lelaki dan wanita tua yang kedua-duanya mampu berpuasa, untuk berbuka jika mereka ingin, dan memberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari itu,". Kemudian perkara itu dimansuhkan dengan ayat ini; "{Maka sesiapa yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu}. Akan tetapi, perkara ini kekal untuk lelaki tua dan wanita tua jika mereka tidak mampu berpuasa, juga untuk wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak jika kedua-duanya khuatir maka mereka berdua berbuka dan memberi makan satu orang miskin bagi setiap hari,". (Hadis riwayat al-Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Jumu'ah, Bab al-Hamil wa al-Murdi' iza Khafata, No. 7464).
Justeru, puasa yang ditinggalkan dengan sengaja hendaklah dikesali dan dilakukan taubat nasuha. Manakala puasa yang ditinggalkan secara tidak sengaja hendaklah diganti sama ada dengan berpuasa atau dengan memberi makan kepada orang miskin mengikut keterangan di atas.
Berdasarkan kepada keterangan di atas, fidyah atau memberi makan kepada orang miskin adalah untuk orang tua yang tidak mampu berpuasa sama ada lelaki atau perempuan, orang sakit yang tidak dapat sembuh, wanita hamil dan wanita yang menyusukan anaknya. Kadar fidyah pula adalah dua cupak atau setengah gantang makanan asasi seperti beras, gandum, kurma dan sebagainya, iaitu bersamaan dengan satu setengah kilogram. Boleh juga dibuat satu set makanan lalu diberikan kepada orang miskin pada kadar seorang miskin untuk satu hari yang ditinggalkan. Akhir sekali, tiada dalil yang menunjukkan fidyah itu perlu digandakan berdasarkan kepada kelewatan menggantikannya. Dalam erti kata lain, satu hari hanya perlu diganti dengan berpuasa satu hari atau dengan memberi makan kepada seorang miskin.
Semoga Allah Ta'ala mengampuni kelemahan kita dan menerima amalan saleh yang kita lakukan.
Soalan 2
Salam
Semoga Ustaz berada dalam sihat-sihat di beri Allah. Saya ada dua kemusykilan.
1. Musykil sikit tentang bacaan al-Quran saya yang merangkak-rangkak, hari-hari saya bersungguh ingin membaca dengan betul. Namun sekarang terdapat banyak alat-alat canggih, saya dengar dari situ dan saya ikut cara mereka baca. Bagaimana pandangan ustaz dan dari hadis-hadis Nabi SAW tentang penggunaan alat-alat ini.
2. Saya tidak jumpa hadis yang menyatakan: Sesiapa mati pada malam/pagi jumaat, maka dia bebas daripada soal jawab dan seksa kubur. Benarkah Ustaz?
Sekian, terima kasih
Salam Ramadan Al Mubarak
Pak Ngah
Jawapan Minggu 4 Soalan 1:
Saya amat terharu dengan kesungguhan Pak Ngah membaca al-Quran walaupun merangkak-rangkak. Teringat saya kepada hadis Nabi SAW di mana baginda bersabda, "Orang yang mahir membaca al-Quran setaraf dengan malaikat yang mulia lagi taat (al-Safarah al-Kiram al-Bararah). Adapun orang yang membaca al-Quran dalam keadaan tersangkut-sangkut dan bersusah payah membacanya, dia akan dapat dua pahala." (Hadis Sahih riwayat al-Imam Muslim, Kitab, Bab, No. 798). Nasihat saya kepada Pak Ngah agar meneruskan usaha mulia ini sehingga akhirnya berdiri setaraf dengan martabat para malaikat.
1. Adapun berkenaan dengan alat-alat canggih yang dijual di pasaran, yang memperdengarkan bacaan al-Quran al-Karim, saya nasihatkan Pak Ngah seperti berikut: Pertama, pastikan alat-alat itu mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri. Jika diluluskan, maka tiada masalah untuk Pak Ngah menggunanya untuk membantu memperelokkan bacaan al-Quran. Menggunakan alat-alat moden ini termasuk dalam urusan dunia, di mana Rasulullah telah bersabda, "Kamu semua lebih mengetahui tentang urusan duniamu." (Hadis sahih riwayat al-Imam Muslim, Kitab al-Fada'il, No. 2363).
Dengarlah bacaan daripada alat-alat itu, kemudian ikutlah membaca. Kedua, walaupun alat-alat itu mendapat kelulusan KDN, Pak Ngah tetap perlu cuba sedaya-upaya untuk memperbetulkan bacaan al-Quran dengan memperdengarkan bacaan Pak Ngah kepada seorang Ustaz yang berkemahiran dalam ilmu tajwid. Ini kerana, alat-alat itu hanya dapat memperdengarkan bacaan dan tidak dapat mengenal pasti kesilapan bacaan kita. Buatlah perkara yang kedua ini walaupun seminggu sekali.
2. Hadis yang dicari oleh Pak Ngah itu bermaksud, "Tiada seorang muslim pun yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat, kecuali dia akan diselamatkan oleh Allah daripada fitnah/azab kubur." Hadis ini diriwayat oleh al-Imam at-Tirmizi dalam al-Sunah, Kitab al-Jana'iz, Bab Ma Ja'a fi Man Mata Yaum al-Jumu'ah, No. 1074. Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal dalam al-Musnad, di dalam Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, No. 6546. Status hadis ini dipertikaikan oleh para ulama. Ada yang menghukumnya daif dan ada yang menghukumnya hasan. Saya lebih cenderung kepada pandangan bahawa hadis ini adalah berstatus hasan. Justeru hadis ini dapat dijadikan sandaran dalam memberi berita gembira bagi orang Islam yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat. Semoga Allah Taala mengurniakan kepada kita husnul khatimah atau kematian yang baik, dan menyelamatkan kita semua daripada azab kubur dan juga azab neraka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: