Sunday, July 29, 2012

Rintihan etnik Rohingya


LEBIH 100,000 umat Islam Rohingya tinggal di khemah penempatan sementara di Rakhine berhampiran sempadan Bangladesh.


VIDEO mengenai penindasan ke atas umat Islam Rohingya di Myanmar oleh etnik Rakhine tersebar di internet minggu ini. Seorang aktivis Islam Rohingya mendakwa puak berkulit putih itu sewenang-wenangnya menyerang dan membunuh orang Rohingya.

Banyak masjid dibakar manakala wanita-wanita dirogol. Gambar kanak-kanak yang bergelimpangan mati dengan tangan mereka diikat antara satu sama lain turut dimuat naik ke laman-laman sosial.

Realitinya, kesengsaraan etnik Rohingnya di Myanmar sudah bermula sejak tahun 1962 lagi.

Pada masa itu, tentera Myanmar di bawah Jeneral Ne Win merampas kuasa dan menjalankan tindakan kekerasan terhadap penduduk Islam Rohingya.

Malah, penduduk Myanmar berpendirian etnik Rohingya bukan penduduk peribumi sebaliknya penduduk Bengali beragama Islam yang berasal dari Pakistan Timur (kini dikenali sebagai Bangladesh) yang menetap di Rakhine semasa Myanmar belum merdeka.

Pihak tentera mendakwa, penduduk Bengali itu memanipulasi fakta sejarah dengan mendakwa mereka peribumi negeri Rakhine atas nama etnik Rohingya.

Etnik Rohingya pula berhujah, mereka merupakan masyarakat peribumi keturunan Rohang, nama asal bagi Arakan, Burma.

Penindasan

Pertelingkahan itu tidak membawa apa-apa erti kerana pada tahun 1982 junta tentera melaksanakan Undang-Undang Kewarganegaraan Burma yang membatalkan kerakyatan penduduk Rohingya.

Derita yang dihadapi umat Islam ini bukan calang-calang.

Sebelum ini mereka terikat dengan dasar tidak berperikemanusiaan melalui NaSaKa atau Jawatankuasa Perkampungan Tentera.

Antara peraturan yang dikenakan ialah pembinaan masjid dilarang dan kerja membaik pulih masjid lama perlu mendapat kelulusan NaSaKa dengan dikenakan yuran tertentu.

Sebagai pengenalan diri pula, penduduk Rohingya diberikan Kad Putih yang menandakan mereka penduduk sementara, manakala penduduk Rakhine diberikan Kad Merah Jambu.

Penduduk yang memiliki Kad Merah Jambu dibenarkan bergerak ke mana sahaja termasuk pergi ke ibu negara Yangon, tetapi mereka yang memiliki Kad Putih, pergerakan mereka terbatas di kampung itu sahaja.

Walaupun penduduk Rohingya dibenarkan bekerja dalam projek kerajaan, mereka cuma diambil bekerja sebagai buruh kasar tanpa dibayar gaji.

Malah, semua perniagaan mereka dirampas di bawah program pemilikan negara syarikat-syarikat swasta yang dilancarkan oleh Jeneral Ne Win pada tahun 1964.

Presiden Organisasi Hak-Hak Asasi Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (Merhrom), Zafar Ahmad Abdul Ghani, 42, memberitahu, derita etnik Rohingya telah berlaku sekian lama.

“Kaum wanita dirogol malah ramai kaum lelaki yang hilang secara misteri, rumah dibakar serta berlakunya sekatan makanan dan perubatan,” katanya kepada Jurnal.

Zafar memberitahu, tuduhan terhadap etniknya perlu dihentikan kerana mereka tidak sekali-kali ingin bertindak seperti pengganas bagi mewujudkan sebuah negara sendiri.

“Kami hanya ingin diiktiraf sebagai penduduk negara Myanmar dan tidak dinafikan hak-hak sebagai warganegara,” ujarnya.

Tutur Zafar, mereka juga bukan orang Bengali yang berasal dari Bangladesh.

“Kami telah lama menetap di Myanmar iaitu sejak ratusan tahun dahulu malah sebelum negara ini mencapai kemerdekaan.

“Jika kami dari Bangladesh mengapa kami lebih fasih bertutur bahasa Myanmar selain tidak diterima di Bangladesh sendiri?” kata Zafar.

Tiada gaji

Ketua Persatuan Islam Untuk Kemajuan Rohingya (UNIROD) di Malaysia, Muhammad Islam Sultan Ahmad memberitahu, imam dan masjid serta rumah masyarakat Islam Rohingya dibakar oleh kumpulan tertentu.

“Kebanyakan pelarian yang menghadapi kebuluran kini berada di sempadan Bangladesh, tetapi negara itu tidak membenarkan kami memasuki sempadan,” katanya.

Koordinator Program Jawatankuasa Pelarian Rohingya Arakan (ARRC) Malaysia, Mohamad Sadek Ali Hossain, berkata, kehidupan di Arakan seolah-olah neraka dunia kepada mereka.

“Sejak tahun 1962 kami ditindas oleh rejim tentera Burma. Mereka tidak membenarkan kami menunaikan solat di masjid, serta dihalang mendapat pendidikan dan menerima rawatan perubatan.

“Sebaliknya, kami dipaksa bekerja sebagai askar dan perlu membayar duit kepada pemerintah bagi tujuan pembinaan kuil-kuil Buddha sedangkan kami beragama Islam.

“Masyarakat Rohingya juga dihalang berkahwin untuk mengelakkan perkembangan zuriat dan keturunan.

“Dari sudut pekerjaan pula kami wajib bekerja secara percuma tanpa gaji,” katanya.

Dianggarkan kira-kira 750,000 etnik Rohingya menetap di kawasan pergunungan utara di wilayah Rakhine atau Arakan yang bersempadan dengan Bangladesh.

Warna kulit mereka agak gelap berbanding rakyat Myanmar yang berkulit cerah.

Di Malaysia, hanya 26,000 pelarian Rohingya diiktiraf oleh UNHCR.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: