Saturday, July 7, 2012

Varian lengkap Peugeot 508



SEWAKTU pengedar jenama Peugeot, Nasim Sdn. Bhd. (Nasim) memperkenalkan 508 sedan pada Oktober 2011, ramai yang agak ragu-ragu dengan kemampuannya.

Rasa skeptikal itu memang bersebab kerana 508 merupakan satu-satunya sedan segmen D yang menggunakan enjin bersesaran 1.6 liter. Sedangkan pesaingnya yang lain masih bersikap konservatif dengan memasang enjin bersaiz besar.

Jika dibandingkan dengan rakan-rakannya dari Eropah, 508 duduk sebaris dengan Volkswagen Passat, Citroen C5 dan Skoda Superb. Sekiranya diadili dari segi harga dan spesifikasi yang ditawarkan pula, Peugeot 508 memang sukar untuk dinafikan tarikannya.

Jadi, tidak keterlaluan jika saya dikatakan bahawa Peugeot 508 boleh menjadi pilihan terbaik untuk mereka yang mahu lari daripada memiliki sedan eksekutif dari Jepun atau Korea. Tetapi pada masa yang sama tidak mempunyai cukup dana untuk membeli sebuah jentera dari Jerman atau Sweden.

Itulah sebenarnya profail ringkas pemilik Peugeot, mahukan kualiti sebuah kereta Eropah tanpa perlu berbelanja terlalu banyak untuk sebuah kereta.

Isnin lalu, Nasim memperkenalkan varian lengkap 508 di lapangan terbang Subang Skypark. Majlis pelancaran penuh gah itu menyaksikan penambahan empat varian baharu 508 iaitu 508 GT, 508 SW GT, 508 SW dan 508 Standard. Varian-varian tersebut menyertai model 508 dedan yang kini dinamakan sebagai 508 Premium.

Versi GT


BUTANG kawalan audio, navigasi, media dan urutan kerusi diletakkan di satu lokasi agar mudah dioperasi.


Ada beberapa perkara yang perlu anda ambil perhatian di sini. Tawaran Nasim kali ini cukup menarik kerana ia merangkumi varian Station Wagon (SW) dan GT dengan enjin diesel!.

Ini merupakan kali pertama Nasim menawarkan model diesel ke dalam pasaran tempatan. Tindakan itu saya fikir amat sesuai dan amat dialu-alukan terutama oleh para peminat jentera diesel dalam negara (trak pikap adalah terkecuali). Malah, harga yang ditawarkan Nasim untuk membolehkan anda memiliki jentera dengan enjin bercekapan tinggi itu juga munasabah.

Enjin diesel HDi FAP bersesaran 2.2 liter itu berupaya menghasilkan kuasa sehingga 204hp @ 3,500rpm dan tork puncak 450Nm pada putaran enjin cuma 2,000rpm. Kalau anda pernah memandu sebuah kereta dengan enjin diesel, membayangkan kuasa tarikannya mungkin lebih mudah.

Jika belum pernah, apa kata pergi ke mana-mana bilik pameran Peugeot dan cuba varian GT itu. Saya yakin anda tidak boleh berhenti tersenyum dan kagum dengan kemampuannya. Bukan sahaja berkuasa, malah penjimatan minyaknya adalah jauh lebih baik berbanding enjin petrol.

Lebih tepat lagi, 8.0 liter bagi setiap 100 kilometer jika dipandu di bandar, 4.4 liter (ekstra urban) dan 5.7 liter untuk gabungan pemanduan di bandar dan lebuh raya. Sementara emisi karbon dioksida (CO2) pula 150g/km (508 GT) dan 154g/km bagi varian 508 SW GT. Kelajuan maksimum dihadkan kepada 235 kilometer sejam (km/j).

Memang betul, penerimaan terhadap kereta yang dipasang dengan enjin diesel di Malaysia masih kurang memuaskan. Mungkin perlu ada kempen kesedaran yang lebih efektif mengenai kelebihan enjin diesel yang maju dan bersih.


BUMBUNG kaca panoramik membuatkan ruang kabin berasa begitu luas.


Itu pun kalau kualiti diesel kita boleh dinaikkan kepada sekurang-kurangnya pada penarafan Euro 4 atau Euro 5 dan tidak perlu menunggu terlalu lama untuk direalisasikan.

Harus tahu bahawa enjin diesel Peugeot itu ialah enjin yang menepati penarafan Euro 5. Biarpun begitu, Nasim menyatakan ia tiada masalah untuk meneguk kualiti diesel tempatan yang kini hanya berada pada tahap Euro 2M.

Unit enjin tersebut dipadankan dengan kotak transmisi automatik enam kelajuan konvensional (torque converter). Pemandu boleh menukar kedudukan gear secara menual menerusi paddle shifter yang dipasang pada bahagian belakang stereng.

Ditanya mengenai kemungkinan varian lain dengan enjin diesel akan diperkenalkan kepada pengguna di Malaysia, Ketua Pegawai Operasi Nasim, Datuk Samson Anand George menyatakan walaupun pihaknya teruja untuk memperkenalkan enjin diesel, namun Nasim mahu melakukannya secara berpeingkat-peringkat.

Sekiranya sambutan daripada pengguna terhadap jentera dengan enjin diesel memuaskan, tidak mustahil lebih banyak varian diesel akan menyusul.

Selain enjin diesel, GT juga bermakna anda akan mendapat beberapa kelebihan lain. Antaranya ialah aplikasi sistem suspensi jenis double wishbone untuk roda hadapan, brek hadapan lebih besar (340mm), penggunaan rim aloi bersaiz 19 inci dan talaan suspensi sporty.

Menambah kemewahan versi GT adalah ciri-ciri seperti bumbung kaca panoramik, sistem kemasukan tanpa kunci pintar dengan butang push start, Peugeot Smart Beam Assistance yang membantu memberikan pencahayaan terbaik ketika memandu pada waktu malam dan bantuan ketika memakir, dikenali sebagai Available Space Measurement (ASM) Aid.

Mengenai sistem keselamatan, kedua-dua versi GT itu dilengkapi brek parkir elektrik, Hill Start Assist, ESP, ABS, EBD, anti-skid regulation (ASR), Dynamic Stability Control (DSC) dan Emergency Brake Assist (EBA).

Kulit Cohiba Nappa


TEMPAT duduk dibalut kulit Cohiba Nappa yang eksklusif dan selesa.


Menjengah ke dalam ruang kabin, varian GT menggunakan kulit Cohiba Nappa untuk membalut tempat duduknya. Tempat duduk itu juga hadir bersama fungsi urutan bagi memberikan keselesaan maksimum kepada pemandu dan penumpang hadapan.

Paparan maklumat pemanduan dipaparkan dengan penuh gaya menerusi HUD (Head-Up Display) berwarna. Bagi penggemar muzik, sistem bunyi yang terdiri daripada pemproses bunyi digital Arkamsys, sepuluh unit pembesar suara JBL dan amplifier berkapasiti 500W pasti mampu memuaskan selera besar anda.

Untuk varian SW, ruang kargo yang ditawarkannya cukup luas. Dengan kapasiti 660 liter dan menjadi 1,865 liter apabila tempat duduk belakang dibaringkan, ia lebih daripada cukup untuk membawa kuih dan baju raya sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.

Proses mengeluar dan memasukkan barang ke dalam kabin juga menjadi bertambah mudah dengan adanya butang untuk membuka pintu belakang itu secara elektrik.

Sekiranya model GT tidak berada dalam jangkauan anda, masih ada tiga varian 508 yang boleh dipilih. Sama ada 508 Standard, 508 Premium atau 508 SW, ketiga-ketiga versi itu mungkin boleh memenuhi ekspektasi anda.

Kesemua model tersebut menggunakan khidmat enjin petrol bersesaran 1.6 liter turbo bertekanan tinggi yang turut dipasang pada Peugeot 308 Turbo dan 408 Turbo. Enjin yang dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan bersama paddle shifter itu berupaya menghasilkan kuasa maksimum 156hp dan 240Nm tork.

Sama seperti 508 SW GT, varian 508 SW menggunakan bumbung kaca panoramik.

Suspensi hadapannya bagaimanapun ditukar dengan topang MacPherson. Roda belakang pula menggunakan sistem suspensi jenis multi-arm, sama seperti varian 508 Standard dan Premium.

Apa yang membezakan 508 SW dengan varian petrol lain ialah lampu utama bi-xenon (bersama pembersih), Smart Beam Assistance, LED Day Time Running Lights, alat pengesan parkir, rim aloi 18 inci, Available Space Measurement Aid, kerusi dibalut kulit dan banyak lagi.


PAPAN pemuka dan konsol tengah yang sarat dengan pelbagai butang kawalan.


Mengakui pasaran untuk kenderaan station wagon masih terlalu kecil, Samson bagaimanapun menyatakan Nasim optimis untuk mengembangkan segmen tersebut.

Mengenai 508 Standard dan 508 Premium pula, apa yang membezakan kedua-duanya dengan varian lebih mahal ialah ciri yang tiada padanya.

Pendek kata, Peugeot 508 memberi nafas baharu kepada segmen D tempatan. Ia pasti membuatkan bakal pembeli kereta semakin keliru dan pening kepala.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: