
VOLVO sebenarnya sudah lama lari daripada imej old school yang berkotak-kotak. Penampilan model-model baharu keluarannya cukup kontemporari, elegan dan tidak membuatkan golongan muda berasa seperti orang tua ketika memandunya.
Saya pernah meminati Volvo generasi baharu selepas memandu uji sedan kompaknya, S40 dengan enjin bersesaran 2.4 liter suatu ketika dahulu. Secara peribadinya, saya berpendapat kereta itu lengkap serba-serbi. Ada prestasi, reka bentuk menarik dan sarat dengan sistem keselamatan.
Namun, perasaan itu tidak lama selepas Volvo melancarkan model yang menggunakan enjin bersesaran 2.0 liter dan dipadankan dengan kotak gear Powershift. Ia agak mengecewakan kerana kereta itu terasa malas dan tidak seronok dipandu.
Persepsi itu masih ada ketika saya hendak mengambil Volvo V60 T4 untuk dipandu uji. Apatah lagi jentera besar itu hanya dibekalkan dengan unit enjin turbo bersesaran 1.6 liter. Enjin berkuasa 180hp dan tork 240Nm itu dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan enam automatik Powershift.
Skeptikal hilang
Terima kasih kepada maklum balas enjin yang responsif, rasa skeptikal terhadap keupayaan V60 T4 hilang sedikit demi sedikit. Malah ia diganti dengan rasa seronok dan teruja. Ini kerana kuasa enjin tersebut dilihat cukup sepadan dengan dinamik pemanduan dan pengendaliannya.
Maklum balasnya pantas, stereng juga memberikan rasa yang meyakinkan ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi. Lebih menarik lagi, walaupun pedal minyak ditekan keras, tahap penggunaan bahan apinya masih boleh dianggap munasabah jika dinilai pada nisbah berat kuasa jentera tersebut.
Kelebihan station wagon itu pasti lebih mudah dihargai jika anda memandunya secara santai dan tidak tergopoh-gopoh. V60 T4 memang cemerlang ketika berada di lebuh raya dan dipandu pada kelajuan sederhana. Ia ternyata selesa walaupun terpaksa menempuh perjalanan yang jauh.
Berada di dalam V60 T4 anda akan mengalami perasaan yang sedikit berbeza. Pemanduan jitu dan senarai sistem keselamatan yang panjang pada brosur boleh membuatkan sesiapa sahaja berasa selamat ketika berada di dalam kabinnya.
Sistem keselamatan aktif yang dinyatakan itu bukan sekadar untuk membuatkan bakal pembelinya rasa kagum, malah ia dapat berfungsi sebagaimana yang didakwa.
Saya sendiri secara tidak sengaja mengaktifkan fungsi Amaran Pelanggaran, Brek Automatik Sepenuhnya dan Pengesanan Pejalan Kaki. Ciri tersebut membrek kenderaan secara automatik apabila mengesan objek di hadapan ketika dipandu pada kelajuan rendah.
Pemandu dan penumpang pasti berasa senang berada di dalam V60 T4. Menggunakan warna hitam sebagai latar utama, ruang kabinnya nampak mewah dan tahan lasak.
Mengenali sebuah Volvo, anda boleh mengharapkan rekaan papan pemuka yang ringkas. Walaupun butang kawalannya banyak, ia tetap disusun kemas pada stereng dan konsol tengah yang nipis itu.

Saya suka unit audio dengan paparan digital yang boleh memainkan muzik daripada format MP3 dan cakera padat itu. Kualiti bunyi yang dikeluarkan oleh lapan unit pembesar suara juga nyata memuaskan.
Beralih ke bahagian luarannya, station wagon yang dibina atas platform sedan S60 itu memang menarik perhatian. Bahagian hadapan nampak moden dan maskulin dengan gril radiator krom yang dipadankan bersama sepasang lampu utama jenis HID.
Sementara lampu Day Running Lights (DRL) diposisikan di sebelah lampu utama dan bukannya di bahagian bawah bampar sebagaimana biasa dilihat pada kenderaan lain.
Dipandang dari arah sisi, Volvo mereka bentuk V60 T4 dengan profail sebuah jentera coupe dan bukannya seperti station wagon konvensional. Biarpun begitu, rekaan itu langsung tidak menghilangkan fungsinya sebagai jentera yang mampu mengangkut barang pada kapasiti tinggi.
Cuma, rekaan itu mungkin kurang mesra buat penumpang yang bertubuh besar dan tinggi. Sebabnya mereka akan berasa ruang kepala sedikit terhad dan sempit.
Pendek kata, jika anda mahukan sebuah station wagon yang cantik, selamat dan berkuasa, inilah jenteranya. Anda tidak akan tersilap.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: