Sunday, July 1, 2012

Timbul tanda tanya

pix_middle
pix_topright

DI saat kita memperuntukkan waktu malam untuk beristirehat meluangkan masa bersama orang tersayang, sama ada di rumah mahupun di luar, berbeza keadaan bagi segelintir insan kurang bernasib baik apabila terpaksa menantikan kegelapan malam meninggalkan kediaman demi mencari sesuap nasi menampung kehidupan.

Berbekalkan beg silang dipenuhi bungkus tisu disangkut ke bahu, tangan kanan menggenggam erat produk jualan bakal diserahkan kepada pelanggan, di kirinya memegang tongkat putih, lelaki berusia lewat 40-an berpakaian sedikit lusuh itu perlahan-lahan melangkah mengunjungi setiap meja diduduki orang ramai di sebuah restoran di ibu kota.

Enak menjamu selera sambil menyaksikan perlawanan bola sepak di kaca televisyen, suapan pelanggan terhenti dek terdengar salam dilantunkan lelaki cacat penglihatan sambil menghulurkan sebungkus tisu muka.

Lantas, dikeluarkan wang kertas bernilai RM1 untuk diberikan kepada lelaki berkenaan sebelum mengambil barang jualan orang kelainan upaya (OKU) itu.


Itu antara sinopsis tinjauan wartawan Metro Ahad selama seminggu di sekitar ibu kota merangkumi Gombak, Setapak serta Cheras bagi menyelami kehidupan peminta sedekah yang berselindung di sebalik penjualan tisu.


Hasil tinjauan itu, banyak persoalan timbul, terutama peranan sebenar si pemandu arah dan kelibat pemandu teksi yang setia menanti, seolah-olah wujud satu pakatan tidak sihat.


HARI PERTAMA

Sebelum bermula siri tinjauan, penulis kerap mengunjungi restoran di sekitar Sri Gombak dan pasti kelibat si buta bersama sahabatnya si celik, kelihatan untuk menjana pendapatan dengan meminta sedekah di sebalik penjualan tisu.

Kunjungan atas tanggungjawab kerja, penulis tiba di restoran jam 9 malam menanti ketibaan si OKU, hampir 30 minit menunggu, penulis membuat keputusan berjalan di kawasan sekitar untuk menghidu kehadiran mereka.

Keputusan diambil membuahkan hasil apabila penulis bertembung dengan pasangan si buta dan si celik itu di pertengahan jalan sebelum mereka memasuki restoran makanan India.

Timbul tanda tanya di fikiran penulis, sebelum ini beranggapan proses ‘perniagaan kecil-kecilan’ itu hanya dijalankan di kedai makan dikunjungi umat Islam.

Sejurus berakhir sesi jualan, lelaki buta ini ditarik keluar oleh pengiring perempuannya menuju ke restoran dikunjungi penulis sebelum itu.

Langkah diatur pasangan itu terlalu laju, seolah-olah kesuntukan masa, hinggakan penulis yang mengekori terpaksa mempercepatkan langkah, khuatir bayangan subjek hilang di sebalik kegelapan malam.

Lelaki kurang daya penglihatan itu ditarik oleh pengiringnya menuju ke meja diduduki pelanggan restoran, berdiri tegak di sisi, memberi salam sambil menghulurkan bungkusan tisu.

Ada yang bermurah hati menghulurkan wang kertas berwarna biru sambil mengambil tisu dijual dan ada juga ikhlas memberikan sumbangan, sebahagian pula hanya menggelengkan kepala.

Kemudian, pasangan berkenaan berjalan laju menuju ke arah restoran Cina Muslim berhampiran dan mengulangi rutin sama.

Penulis yang mengekori dalam jarak 100 meter menyedari si buta dan si celik itu kemudian memasuki kedai runcit bersebelahan restoran terbabit selama 10 minit.

Sebotol air mineral di tangan lelaki buta, dengan rakusnya dia meneguk seolah-olah ingin menghilangkan kehausan teramat sangat. Ketika itu, penulis dapat merasai kepenatan dialami insan tidak bernasib baik itu dalam mencari rezeki menampung kehidupan keluarga.

Kedua-dua mereka didapati menuju ke perhentian bas berdekatan dan sangkaan penulis, pasangan terbabit menantikan kedatangan bas untuk pulang ke rumah.

Sebaliknya, mereka pantas menaiki sebuah teksi tidak dihidupkan enjin yang seolah-olah menanti kehadiran pasangan terbabit sebelum berlalu pergi.

Tinjauan penulis pada hari pertama dikategorikan tidak bernasib baik apabila gagal mendapatkan nombor plat teksi dinaiki pasangan itu. Persoalan yang timbul, adakah si celik dan pemandu teksi berkenaan mempergunakan insan tidak bernasib baik itu demi mengaut keuntungan tanpa perlu mengerah tenaga? Di manakah lokasi perniagaan seterusnya?


HARI KEDUA

Berbekalkan maklumat hari pertama tinjauan, penulis tidak lagi menunggu kehadiran si buta bersama pengiringnya di restoran, sebaliknya memilih perhentian bas (tempat si buta mengambil teksi) dengan harapan dapat mengesan kewujudan teksi sebelumnya.

Penantian bermula jam 9 malam hingga 10.30 malam ternyata sia-sia apabila kelibat si buta mahupun teksi yang sama tidak kelihatan di lokasi terbabit.

Berikutan itu, penulis bergegas menuju ke Danau Kota, Setapak yang dikatakan antara lokasi popular pasangan si buta si celik.


HARI KETIGA

Sebaik tiba di lokasi, penulis memerhati dari bahu jalan bertentangan restoran popular di Danau Kota berbanding duduk di bangku restoran sambil menempah makanan mahupun minuman, dibimbangi terlepas peluang mengekori si buta dan pemandu arahnya.

Selepas beberapa minit menunggu, pasangan peminta sedekah muncul, cuma beza kedua-duanya perempuan. Melakukan rutin hampir sama, mengunjungi setiap meja pelanggan dan kebanyakan pembeli tidak lokek menghulurkan wang sekurang-kurang RM1 biarpun nilai sebungkus tisu hanya mencecah 30 sen.

Apabila berakhir sesi jualan, pasangan terbabit keluar dari restoran berkenaan menuju ke kopitiam berdekatan tetapi tidak memasuki premis perniagaan itu sebelum menghilangkan diri daripada pandangan mata penulis.

Menyedari mereka ‘hilang’, penulis bersama teman membuat keputusan mencari si buta si celik secara berasingan, malangnya hampir tiga kali berkeliaran di kawasan berkenaan, kami terpaksa menerima hakikat bahawa pasangan itu mungkin berniaga di lokasi berlainan.


HARI KEEMPAT

Menyedari sesi operasi peminta sedekah seakan-akan aktif pada waktu malam, penulis membuat keputusan meninjau beberapa lokasi, termasuk Damansara dan Gombak, bagi mengenal pasti sama ada mereka juga melakukan ‘operasi’ di siang hari.

Sebaik melabuhkan punggung di kerusi sebuah restoran India Muslim di Damansara, soalan pertama diajukan penulis kepada pelayan, adakah mereka menyedari kelibat penjual tisu buta bersama temannya.

Pelayan dikenali sebagai Abdul, 32, mengakui pasangan terbabit pernah mengunjungi restoran berkenaan pada waktu tengah hari, namun penulis tidak berpeluang bertembung dengan mereka.

Kemudian, penulis menuju ke Gombak sambil berharap bertemu peminta sedekah bersama pemandu arahnya. Tiba di gerai minuman, soalan sama diajukan kepada pemilik kedai berkenaan dikenali sebagai Salmiah, 40.

Menurut Salmiah, penjual tisu buta kerap mengunjungi setiap gerai berdekatan, terutama pada waktu malam.

Kelihatan ragu-ragu dengan soalan penulis, Salmiah teragak-agak untuk meneruskan perbualan, mungkin bimbang kenyataannya disalah tafsir.

Baginya, kehadiran peminta sedekah di gerainya tidak memberi kesan negatif terhadap perniagaan, sebaliknya berkongsi rezeki yang diperoleh daripada kunjungan pelanggan.

Mengerti dengan kekurangan dimiliki insan tidak sempurna itu, Salmiah tidak pernah menghalau penjual buta itu daripada mengunjungi gerainya.

Selepas beberapa kali meronda kawasan berkenaan menaiki motosikal, penulis pulang ke pejabat dengan satu kesimpulan - operasi dijalankan golongan si buta bersama ‘teman’ lebih aktif pada waktu malam dan hanya segelintir berkeliaran di siang hari.


HARI KELIMA

Seawal jam 8.30 malam, penulis bersama jurugambar berjanji untuk bertemu di sebuah gerai sup popular di Cheras yang dikatakan kerap dilawati peminta sedekah bersama pemandu arahnya.

Sempat menghabiskan semangkuk sup, penantian berakhir apabila dua perempuan berbaju kurung, dengan seorang daripadanya OKU penglihatan, mula mendekatkan diri dengan pelanggan gerai itu.

Jurugambar yang menyedari kehadiran si buta dan si celik kemudian meninggalkan meja dan mencari lokasi sesuai untuk merakam gambar.

Apabila tiba di meja penulis, wanita buta berwajah lembut berusia lingkungan awal 30-an memberikan salam sambil menghulurkan sebungkus tisu. Sambil mengeluarkan duit, pantas penulis bertanyakan dari mana mereka datang.

Seakan-akan terkejut dengan pertanyaan itu, wanita buta yang memakai kad OKU dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tergagap-gagap menjawab dari Brickfields, manakala pemandu arahnya, diyakini warga Indonesia, pantas menarik lengan si buta menuju ke gerai seterusnya.

Reaksi ditonjolkan penjual buta itu mengundang persepsi sama ada dia tidak pernah berbual dengan pembelinya atau tidak menyangka ada insan mempersoalkan kedatangannya ke gerai terbabit.

Pasangan si buta si celik itu kemudian mengunjungi setiap gerai makanan berdekatan stesen LRT Salak Selatan sebelum melintas jalan untuk ke bangunan rumah kedai berdekatan.

Menariknya, ketika mengekori penjual buta terbabit, penulis bertembung satu lagi pasangan peminta sedekah perempuan berusia lewat 30-an dari arah bertentangan menuju ke barisan gerai makan sama.

Fokus terhadap pasangan pertama, penulis terus mengekori sebelum mendapati mereka menuju ke jalan utama seolah-olah operasi perniagaan berakhir. Hampir lima minit berada di bahu jalan raya, sebuah teksi berhenti dan membawa mereka meninggalkan lokasi berkenaan.


HARI KEENAM

Hasrat ingin mengintip kelibat wanita sama menjual tisu hampir gagal. Penulis tiba untuk makan di medan selera sama lebih awal daripada hari sebelumnya.
Sebenarnya ingin melihat sama ada teksi membawa sepasang wanita ditemui semalam adalah sama.

Penulis meletak kenderaan di kawasan berhampiran bagi meninjau kelibat si buta dan si celik.

Hampir dua jam berlalu, langsung tidak kelihatan orang yang dinanti, menyebabkan penulis terpaksa mengesat peluh berkali-kali.

Jam hampir menunjuk 10 malam menyebabkan penulis resah lalu menghidupkan enjin kereta dan meronda kawasan sekitar.

Sebaik tiba di deretan rumah kedai baru, terpandang dua wanita berjalan pantas melintas jalan terus menuju teksi bandar yang sedia menunggu di seberang.

Tidak pasti mereka ‘teman subahat’, penulis terus mengekori.

Perjalanan tidak sampai 10 minit itu rupa-rupanya berhenti di satu persinggahan baru. Kali ini medan selera di kawasan berhampiran menjadi destinasi pilihan buat meneruskan kerja menjual tisu.

Sebaik diturunkan, pasangan si celik si buta pantas menuju ke deretan kedai makan masih dipenuhi penduduk sekitar.

Modus operandi sama, dengan riak wajah sayu sambil tangan menghulurkan tisu, si buta berjaya memancing pelanggan menghulurkan sekeping not biru.

Sedar tidak sedar, tugasan mereka di deretan warung makan berkenaan selesai.

Kali ini tangan melambai tinggi dan teksi menghampiri dan membawa mereka kembali menuju ke jalan utama mengarah ke bandar raya.

Terus mengekori, namun misi menjejaki terhenti apabila teksi diekori hilang daripada pandangan apabila menyusup laju di celah-celah kenderaan.


HARI KETUJUH

Pada jam 9 malam, di Jalan Jernai 2, Gombak, penulis ternampak satu lagi pasangan peminta sedekah melakukan modus operandi sama iaitu restoran, melewati meja pelanggan, hanya bertutur dengan memberi salam, menghulurkan tisu dan mengulangi rutin sama, manakala temannya sibuk mengheret insan OKU ke meja seterusnya tanpa sempat mengucapkan terima kasih kepada pembeli.

Sebaik menyedari mereka mula meninggalkan restoran, penulis bersama teman mengekori dan mendapati pasangan ini menuju ke sebuah restoran menyajikan makanan Arab.

Biarpun menerima sedikit gangguan daripada lelaki dari negara padang pasir yang juga pelanggan restoran, si buta tetap meneruskan operasi.

Restoran Arab itu menjadi destinasi akhir ‘perniagaan’ si buta dan si celik ini yang kemudian berpatah balik sebelum berhenti di sisi sebuah kereta keluaran tempatan yang diletakkan berdekatan.

Pemerhatian penulis yang berada di seberang jalan mendapati, si buta duduk mencangkung berhampiran tayar belakang manakala pengiringnya, dipercayai warga seberang, berdiri di bonet sambil memerhati keadaan sekeliling.

Hampir 10 minit dalam keadaan demikian, muncul seorang lelaki dan wanita berjalan mendekati kenderaan terbabit.

Wanita bertudung merah itu kemudian duduk di tempat pemandu, lelaki di bahagian penumpang depan manakala si buta dan si celik bergegas masuk ke dalam kereta berwarna kelabu itu sebelum meninggalkan kawasan terbabit.

Berbekalkan maklumat jenis kereta dan nombor plat, penulis menuju ke lokasi strategik yang mungkin menjadi tumpuan peminta sedekah iaitu Danau Kota tetapi tidak berjaya menemui pasangan mahupun kenderaan sama.

Berdasarkan siri pemerhatian penulis, timbul banyak persoalan bukan saja mengenai insan kurang bernasib baik itu, malah individu di belakang mereka.

Siapakah sebenarnya lelaki mahupun wanita yang lengkap berbaju kurung dan kepala dilitupi tudung mengiringi insan tidak bernasib baik itu?

Ada yang mengatakan kebanyakan ‘pengiring’ berstatus warga Indonesia berdasarkan iras wajahnya.

Apakah hubungan yang terjalin antara mereka? Jika benar wujudnya ikatan perkahwinan sah, seharusnya ia tidak memberi kesan kerana isteri digalakkan meringankan bebanan suami. Namun bagaimana pula jika sebaliknya?

Benarkah pemandu arah ini ikhlas membantu golongan OKU atau sekadar ingin mengaut keuntungan bersumberkan pendapatan jualan si buta? Bagaimanakah pembahagian antara mereka dilakukan? Bagaimana pula tanggapan masyarakat terhadap golongan OKU yang terdesak mencari rezeki halal tetapi dimanipulasi insan celik, sekali gus menutup periuk nasi mereka?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: