|
IA hampir sama seperti adegan filem adi wira tetapi aksi Yves Rossy tidak melibatkan sebarang kesan khas.
Baru-baru ini, rakyat Switzerland yang dikenali sebagai Lelaki Jet itu mengejutkan penumpang sebuah pesawat vintaj apabila dia terbang bersama mereka pada kelajuan 205 kilometer sejam selama kira tujuh minit menggunakan sepasang sayap yang dipacu kuasa jet.
Walaupun bekas juruterbang berusia 53 tahun itu tidak lagi asing untuk aksi seperti itu, ini merupakan kali pertama beliau terbang bersebelahan pesawat penumpang, Douglas DC-3 ketika pesawat tahun 1940-an itu melintasi Tasik Lucerne di Switzerland.
Untuk aksi terbaharunya pada Jumaat minggu lalu, dia terjun daripada sebuah helikopter pada ketinggian 6,000 kaki.
Semasa jatuh, bekas kapten Swiss International Airlines itu menstabilkan dirinya dengan sebuah beg sandang Kevlar karbon yang keras berupa sepasang sayap yang dilengkapi empat enjin jet yang dianggap sebagai sebahagian daripada tubuhnya.
Dia kemudian terbang pada ketinggian 4,500 kaki bersebelahan Douglas DC-3 dan boleh dilihat dengan jelas oleh penumpang kapal terbang dua kipas itu.
Apabila kehabisan minyak, Rossy membuka payung terjun dan mendarat di Lapangan Terbang Buochs, Nidwalden, tengah Switzerland.
Menurut laman web Rossy, www.jetman.com, dia merupakan orang pertama dan satu-satunya manusia dalam sejarah yang terbang menggunakan sayap berkuasa jet.
Kerjaya Rossy bermula sebagai juruterbang pesawat pejuang selama 18 tahun. Selepas itu, dia menjadi kapten bagi beberapa penerbangan komersial.
Laman web itu berkata, dia telah menghabiskan semua masa lapangnya untuk terbang dan bereksperimen dengan segala bentuk sayap yang akan membawanya terbang bebas di angkasa.
Rossy telah melintasi Banjaran Alps di Switzerland termasuk Tasik Geneva pada tahun 2002 dan pada 2008 dia menyeberangi Selat Inggeris. Kesemua rekaannya kini sudah diperhalusi supaya semuanya berada dalam keadaan selamat di samping alat kawalan yang kecil di tangannya.
Projek
Sayap itu bukan sahaja direka dan dimajukan oleh Rossy sendiri bagi membolehkannya terbang tetapi dia turut menguji alat itu sejak 11 tahun yang lalu.
Pada Jun 2004, Rossy berjaya menerbangkan sayap berenjin yang diletakkan di belakangnya selepas terjun daripada sebuah pesawat Pilatus pada ketinggian 4,000 meter.
Beberapa saat selepas itu Rossy mula membuka sayapnya dan menghidupkan enjin serta mengambil masa selama 30 saat untuk menstabilkan badannya.
Selepas berjaya mengawal sayap, Rossy akhirnya berjaya terbang pada ketinggian 1,600 meter dan meluncur beriringan dengan pesawat Pilatus pada kelajuan 180 kilometer sejam.
Sepanjang penerbangan selama empat minit itu, Rossy perlu menggerakkan badannya untuk mengemudi pergerakan sayap sama seperti yang dilakukan oleh seekor burung.
Sejak penerbangan sulung itu, Rossy telah terbang sebanyak lebih 50 kali.
Projek Rossy itu memperoleh permit daripada Pejabat Persekutuan untuk Penerbangan Awam Switzerland (FOCA) dan dilindungi insurans. Projek itu ditaja oleh syarikat pembuat jam terkemuka Switzerland, Breitling.
Rossy gemar menggambar dirinya seperti seekor burung. "Saya tidak mempunyai bulu tetapi kadangkala saya berasa seperti seekor burung," katanya.
Bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan, Rossy berkata seseorang perlu mengambil masa selama beberapa tahun sebelum boleh terbang sepertinya.
Relaks
"Meluncur di udara adalah berbahaya dan rumit. Tetapi sebaik sahaja anda terbang, segalanya menjadi mudah," katanya kepada laman berita Jerman, Spiegel Online pada tahun 2008.
Menurut Rossy, perkara paling getir semasa berlepas ialah membetulkan sayap ketika berada di dalam kapal terbang sebelum terjun.
"Berat sayap itu kira-kira 55 kilogram. Selepas enjin dihidupkan, saya biarkan seketika supaya deruman enjin itu stabil kemudian barulah saya membuat lompatan.
"Memang sukar untuk membetulkan kedudukan daripada jatuh menjunam kepada terbang secara mendatar dan dalam masa yang sama memecut enjin. Bagaimanapun, apabila sayap yang saya cipta ini betul-betul bagus dan mudah dikawal nanti, pada masa itu nenek saya pun boleh terbang," katanya ketawa
Adakah seseorang memerlukan keadaan fizikal tertentu untuk menjadi Lelaki Jet? Ia hanya diperlukan pada permulaan, kata Rossy.
"Ia sama seperti menyelam. Selagi anda tidak berada di dalam air, keadaannya sama seperti burung penguin yang berjalan terkedek-kedek di pantai.
"Namun, sebaik sahaja masuk ke dalam air, semuanya berjalan lancar dan bersahaja. Saya terbang secara relaks, tanpa perlu mengerah otot dan tenaga. Hakikatnya, tubuh saya merupakan sebahagian daripada objek terbang," beritahu Rossy.
Ketika ditanya apa perasaannya dapat terbang seperti burung, Rossy menjawab dia betul-betul rasa bebas.
"Saya sudah terbang dengan bermacam jenis pesawat tetapi saya dikelilingi pelbagai peralatan yang perlu dikawal. Dengan sayap ini, seolah-olah saya sendiri sedang terbang," ceritanya yang tidak menganggap dirinya sebagai seorang kamikaze.
Bagaimanapun, Rossy hanya boleh berada di udara selama kira 10 minit. Selain kehabisan minyak, suhu panas enjin membuatkan tubuh Rossy berbahang apatah lagi dia perlu mengenakan sut lengkap sama seperti yang dipakai pemandu kereta lumba atau ahli pasukan bomba.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: