SAAT SUKAR... satu daripada empat wanita berusia lebih 35 tahun mengalami LUL sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.
DUDUK berjam-jam dalam pesawat, tiada rasa mahu buang air kecil. Namun, sebaik hampir mendarat, tiba-tiba timbul rasa hendak terkucil tidak dapat ditahan.
Mata mulai merah dan kalau boleh, mahu berjoget-joget untuk menahan supaya tidak terkencing dalam seluar. Sebaik melepasi kaunter imigresen, rasa hendak kencing tidak mampu ditahan lagi walaupun jarak tandas yang hendak dituju tidak sampai 200 meter.
Situasi seperti itu bukan asing bagi wanita. Rasa hendak buang air kencing yang datang secara tiba-tiba dan tidak boleh ‘berkompromi’ walau sesaat membuatkan individu itu menjadi kelam-kabut dan tidak sempat hendak ke tandas.
Jika anda sering berdepan masalah sukar mengawal pengeluaran air kencing, ia petanda anda menghadapi Lemah Kawalan Kencing (LUL).
Masalah itu yang juga dikenali sebagai inkontinens urinari, lemah pundi kencing atau terkucil turut berlaku ketika ketawa, batuk, bersin, bersenam dan mengangkat barangan.
Kaji selidik Inkontinens Sedunia 2010 Poise mendapati, 30 peratus golongan dewasa di negara ini mengalami LUL dan 70 peratus daripada mereka ialah wanita.
Satu daripada empat wanita berusia 35 tahun ke atas mengalami LUL sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.
Kaji selidik 2011 Poise pula mendapati, 45 peratus daripada 158 responden malu untuk berbincang masalah LUL yang mereka hadapi dan lebih daripada 40 peratus sanggup mengelak daripada menggunakan produk LUL semata-mata bagi menyembunyikan masalah mereka.
LUL bukan penyakit, sebaliknya gejala disebabkan masalah kesihatan atau kadangkala kesan pengambilan ubatan. Masalah itu menjejaskan keadaan fizikal, emosi dan psikologi wanita.
Wanita mengalami LUL lapan hingga sembilan kali lebih kerap berbanding lelaki.
Dianggarkan 10 peratus daripada 65 orang lelaki menderita masalah ini.
Ada yang menganggap LUL tidak akan menjadi lebih teruk dan akan pulih dengan sendiri. Namun, tanggapan itu salah kerana gejala LUL boleh bertambah teruk jika tidak dirawat.
Untuk mengatasi masalah kerap kencing atau rasa ingin kencing yang tidak dapat ditahan, ada pesakit mengambil langkah mengurangkan minum air.
Apapun, langkah itu menyebabkan masalah lain seperti kepekatan air kencing meningkat dan boleh menyebabkan kerengsaan pundi kencing dan mengakibatkan masalah lebih teruk seperti jangkitan penyakit dan dehidrasi.
Pengurangan pengambilan cecair juga boleh menyebabkan masalah sembelit yang boleh memburukkan keadaan.
Perunding perbidanan dan sakit puan, Dr Seri Suniza Sufian, dalam sebuah klip video pendidikan berkata, wanita lebih berisiko mengalami LUL ketika hamil atau selepas melahirkan anak kerana tekanan rahim terhadap pundi kencing.
Proses melahirkan anak juga kadangkala melemahkan otot pelvik selain pertukaran hormon akibat menopaus.
Bagaimanapun, katanya, wanita yang menghadapi masalah LUL tidak harus terlalu malu kerana ada cara untuk menanganinya seperti menjaga diet, mengekalkan berat badan sihat dan melakukan senaman kegel.
“Wanita juga perlu elak minum air batu yang mudah menyebabkan batuk serta mengambil minuman berkarbonat dan mengandungi kafein yang menyebabkan radang atau kerengsaan pada pundi kencing,” katanya.
Klip video itu ditayangkan ketika pelancaran kempen pendidikan ‘Kami juga mengalaminya’ oleh Poise sempena Minggu Kontinen Sedunia bermula 24 Jun lalu.
Hadir sama, Pengurus Pemasaran Kimberly-Clark Malaysia, Sumeet Parab dan duta Poise, Sharifah Shahira serta duta baru, Raja Azura.
Kempen keempat itu bagi mendidik dan menjemput golongan wanita mengambil langkah proaktif mengenai masalah LUL.
Pendekatan lebih mendalam mengenai LUL ialah melalui siri video pendidikan Poise, buku mini, peraduan Poise dan trak mobil Poise yang akan mengunjungi tempat tumpuan orang ramai.
Siri video pendidikan boleh didapati di laman YouTube Poise Malaysia, http:// www.youtube.com/poisemalaysia dan laman Facebook Poise Malaysia di www.facebook.com/Poise.Malaysia.
Menurut Dr Seri Suniza, sebilangan wanita mengalami pundi kencing terlalu aktif (OAB) yang menyebabkan kerap perlu ke tandas atau lebih tujuh hari sehari.
OAB berpunca daripada kerosakan saraf pada penghujung pundi kencing atau penghidap penyakit yang ada kaitan dengan sistem saraf di kalangan Parkinson, sklerosis multiple (penyakit kronik pada sistem saraf yang dialami orang muda dan pertengahan umur) dan dementia (nyanyuk).
Pakar fisioterapi untuk kesihatan wanita, Neng Shahidah Sabullah, berkata bagi wanita yang mempunyai otot lantai pelvik yang baik, LUL jarang berlaku. Ini bermakna, senaman atau bersukan bukan penyebab LUL.
Bagaimanapun, ia meningkatkan tekanan pada bahagian tengah abdomen dan organ pelvik di mana terletaknya perut, pelvis dan rektum.
Oleh itu, cara terbaik untuk membantu jika seseorang itu mengalami LUL ialah melakukan senaman kegel bagi menguatkan otot lantai pelvik (otot di bawah pundi kencing) dan membantu menghalang kebocoran.
“Senaman kegel ialah rawatan berkesan untuk wanita dewasa yang mengalami lemah kawalan kencing dan tidak mendatangkan risiko kesan sampingan.
“Senaman ini perlu dilakukan dengan betul. Pastikan anda selesa dan bernafas secara normal. Kemudian, kemutkan otot pelvik anda seakan cuba untuk menahan kencing. Tahan otot itu selama 10 saat ketika bernafas normal, kemudian relaks.
Ulangi sebanyak 10 kali, tiga kali sehari,” katanya.
Mengikut kajian dan pengalamannya, Neng Shahidah berkata, keberkesanan senaman kegel bagi mengatasi masalah ini ialah 100 peratus.
Pesakit berusia 30 hingga 40 tahun mengambil masa tiga bulan untuk bebas LUL selepas menjalani senaman ini manakala untuk yang lebih berusia, masa antara empat hingga enam bulan diperlukan untuk pulih.
Jenis inkontinen:
1. Inkontinen jenis tekanan (stres)
2. Inkontinen jenis desakan
3. Inkontinen jenis campuran
4. Inkontinen jenis melimpah
5. Inkontinen disebabkan penggunaan ubat
Ada ubat boleh menjadi punca kegagalan kawalan kencing untuk mengecutkan otot atau menghalang isyarat daripada pundi kencing yang penuh ke otak. Dalam keadaan ini, doktor mungkin menukar jenis ubat yang diambil bagi mengurangkan kesan sampingan dialami.
Apakah yang boleh anda lakukan?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: