Sunday, July 22, 2012

Tidur berminggu-minggu


KIRA-KIRA 1,000 remaja di selurh dunia yang menghidap sindrom Sleeping Beauty.


WATAK-WATAK puteri yang cantik dalam cerita dongeng kanak-kanak sering menjadi dambaan ramai budak perempuan. Biarpun terpaksa tidur selama 100 tahun kerana melanggar pantang larang seperti dalam cerita Sleeping Beauty, kecantikan puteri tersebut sering menjadi angan-angan mereka.

Apatah lagi sang puteri yang lama terlena di atas sebuah menara istana tersedar daripada tidur setelah dikucup oleh seorang putera yang kacak. Walaupun ia sebuah kisah dongeng, keadaan yang dialami oleh puteri tersebut turut dialami oleh kira-kira 1,000 orang remaja di seluruh dunia kerana masalah neurologikal kompleks.

Menurut Institut Kesihatan Nasional (NHI), Amerika Syarikat, seseorang yang melalui beberapa episod tidur yang panjang sehingga 20 jam sehari dikenali sebagai Sindrom Klein-Levin (KLS) atau popular digelar sindrom Sleeping Beauty.

Seorang gadis berusia 17 tahun dari Greater Manchester, England, Shannon Magee yang menghidap sindrom tersebut pernah tidur selama 12 hari.

Dia yang mengalami episod tersebut pada setiap bulan selalunya akan tidur selama 22 jam sehari dalam masa 12 hari tersebut.

"Saya berasa seperti baru sedar daripada koma. Keadaan itu membawa saya jauh daripada dunia dan seperti saya hidup dalam dunia sendiri. Saya tidak bertemu orang sekeliling dalam tempoh itu.

"Walaupun hanya 22 jam sehari, saya berasa seperti tidak sedar selama 12 hari," kata Magee yang mempunyai enam orang adik-beradik.

Ketika sedar seketika daripada lena, sifatnya akan berubah menjadi seorang yang agresif dan akan meminta banyak coklat dan manisan untuk dimakan sebelum kembali tidur. Magee juga memerlukan perhatian yang lebih daripada ibu bapanya ketika episod tersebut biarpun sudah berusia 17 tahun.

Autoimun

Masalah itu turut mengganggu ingatan pada zaman remaja kerana dia menghabiskan waktu untuk berhibernasi sepanjang hari.

Magee sering mengalami masalah ingatan kerana terlebih tidur.

"Saya tidak suka memberitahu sesiapa sahaja di sekolah. Jadi saya lebih suka menyendiri dan sering gagal dalam peperiksaan kerana selalu berasa mengantuk.

"Saya pernah menghantar 50 mesej pesanan ringkas (SMS) kepada ibu untuk menyatakan perkara yang sama dalam masa sehari," katanya.

Selepas dikenal pasti menghidap KLS, Magee masih mencari penawarnya sekalipun pakar perubatan menjelaskan bahawa penyakit tersebut tiada ubat.

Seorang lagi pesakit di Britain, Stacey Comerford mengalami tidur yang panjang bermula April sehingga Jun lalu. Dia yang bangun seketika untuk makan akan meneruskan tidur untuk hari berikutnya dalam masa hampir dua bulan.

"Sindrom Sleeping Beauty ini membuatkan saya terlepas sembilan kali peperiksaan dan menyambut hari lahir saya pada November lepas," kata Comerford.

Ibu gadis berusia 15 tahun itu memberitahu, masalah itu mampu membuatkan anaknya itu mengantuk tanpa mengira waktu. Comerford boleh terlena pada bila-bila masa sahaja tanpa diduga.

"Masalah itu tiada tanda amaran. Dia boleh terlena secara tiba-tiba di atas lantai dapur. Keadaan itu berlaku secara berepisod.

"Apabila episod penyakit itu berlaku, dia boleh bangun untuk ke bilik air atau minum. Tetapi dia sebenarnya dalam keadaan tidak sedar. Walaupun saya menggoncang badannya, dia tetap tidur," kata ibu Comerford, Bernie.

Setelah sedar daripada lena yang panjang itu, Comerford berasa seolah-olah dia bangkit pada sehari kemudian biarpun telah tidur selama berminggu-minggu.

Walaupun banyak pihak yang tidak mempercayai masalah yang dihidap oleh pesakit seperti Magee dan Comerford, pakar menjelaskan keadaan itu belum ada penawar.

Pusat Narkolepsi, Universiti Stanford, Amerika Syarikat, berkata KLS merupakan satu penyakit tidur yang jarang berlaku. Keadaan itu selalunya dialami golongan remaja. Bagaimanapun, simptom tersebut akan hilang seiring dengan peningkatan usia.

Sebab kepada masalah tersebut masih kabur. Namun, saintis di universiti tersebut percaya ia merupakan satu penyakit autoimun.

NHI berkata, pesakit kerap menggunakan kaedah 'tunggu dan lihat' untuk mengatasi masalah neurologikal kompleks itu kerana ia akan pulih dengan sendiri.

Pengarah Unit Gangguan Tidur, Hospital Umum Singapura, Dr. Lim Li Ling berpendapat, kes tersebut adalah terpencil dan kompleks.

"Keadaan itu sangat jarang berlaku. Saya sendiri hanya sekali pernah menemui pesakit yang berdepan masalah tidur dan tiada bukti yang menyatakan dia mengalami masalah itu.

"Keadaan itu begitu kompleks apabila KLS perlu didiagnosis dengan mengetahui maklumat sejarah ubatan yang diambil, ujian fizikal dan mengambil data tidurnya untuk merumuskan keadaan tersebut," kata Li Ling.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: