
KEJAYAAN sekumpulan kanak-kanak melarat di New Delhi, India, yang melaksanakan sistem kewangan persendirian yang dapat memberikan jaminan masa hadapan sepatutnya boleh menjadi pembuka mata kepada ramai pengurus mahupun pemilik bank di seluruh dunia.
Dengan hanya beroperasi dari rumah perlindungan untuk kanak-kanak dan remaja gelandangan di bandar tersebut, mereka mengaplikasikan sistem berdikari yang unik di mana pelaksanaannya diuruskan sepenuhnya oleh mereka sendiri.
"Mereka ialah buruh kanak-kanak dan remaja yang perlu bekerja demi kelangsungan hidup.
"Demi keselamatan, mereka menyimpan duit upah yang mereka terima di bank ini.
"Pelanggan bank bukan hanya buruh tetapi kanak-kanak yang bernasib baik dan mampu ke sekolah juga boleh menyimpan wang mereka di sini," ujar Satish Kumar.
Menurut remaja belasan tahun itu, dia telah dilantik oleh rakan-rakannya yang lain untuk menguruskan bank pembangunagan belia tersebut, yang dipanggil sebagai Khazana atau harta dalam bahasa India.
"Saya memberi khidmat perbankan kepada lebih 9,000 kanak-kanak dan remaja gelandangan merentasi Asia Selatan.
"Kami juga mempunyai 77 cawangan di India," katanya.
Selain menyimpan demi kebajikan masa hadapan, kebanyakan pelanggan menyimpan wang di Khazana kerana ingin mengumpul modal berniaga atau membeli buku sekolah.
Pelanggan Khazana, Sameer Hassan, 13, memberitahu, sekiranya dia tidak menyimpan wang di dalam bank tersebut, dia cenderung untuk berbelanja kepada perkara yang tidak perlu.
"Saya tidak mahu membazir duit kerana saya bekerja keras untuk mendapatkannya.
"Kalau saya simpan di sini, sekurang-kurangnya duit yang terkumpul nanti boleh digunakan bagi membeli baju baharu untuk Syawal nanti," kongsinya.
Seorang lagi pelanggan, Mohammad Shah, 12, memberitahu, selain menyimpan, dia juga telah meminjam wang daripada bank tersebut sebanyak tiga kali.
"Kali pertama saya pinjam 500 rupee (RM29) untuk membeli uniform dan keperluan sekolah.
"Kali kedua pula, saya meminjam 1,000 rupee (RM58) kerana ibu saya sakit. Saya ambil wang tersebut dan bawanya berjumpa dengan doktor.
"Kali ketiga, saya pinjam wang daripada Khazana kerana mahu membayar hutang bapa kepada kawannya yang memberikan modal untuk membuka kedai," katanya yang menaruh harapan agar wang upah yang dikumpulnya hasil menjual air botol setiap malam itu dapat membiayai pelajarannya.
Pinjaman
"Saya perlu fikirkan masa hadapan dan kerana itu, saya mesti menyimpan wang.
"Keluarga saya hidup dalam kedaifan, jadi saya harus berusaha sendiri untuk mencapai cita-cita bergelar pegawai polis suatu hari nanti," katanya.
Sementara itu, Ram Singh, 17, yang hanya memperoleh 55 rupee (RM3) hasil menjual 100 cawan teh di Stesen Keretapi Delhi tidak pernah lupa untuk menyimpan wang upahnya setiap petang di Khazana.

"Selepas habis bekerja, saya akan simpan sebahagian daripada pendapatan di dalam bank.
"Bila wang simpanan sudah cukup, saya akan gunakannya sebagai modal berniaga pula," katanya.
Pelanggan Khazana akan bermesyuarat sebulan sekali. Pada waktu itu, pengurus bank, penilai pinjaman serta ketua yang dilantik dalam kalangan pelanggan akan menilai permohonan pinjaman daripada pelanggan lain sebelum meluluskannya.
Kriteria penting yang dinilai sebelum pinjaman diberikan termasuklah rekod simpanan wang dan pendapatan serta berapa cepat peminjam boleh membayar semula pinjaman mereka.
Kecekapan remaja gelandangan ini menguruskan wang, mengagih faedah, melabur dan mengawal aliran tunai ternyata mengejutkan penyelia rumah perlindungan yang mereka duduki.
"Mereka boleh menjadi contoh terbaik dalam kalangan remaja mahupun orang dewasa, sama ada di India atau pun di negara lain.
"Saya tidak sangka mereka boleh pergi sejauh ini. Pada mulanya inisiatif Khazana diperkenalkan untuk mengelak kecurian wang memandangkan mereka tidur di jalanan.
"Sebagai penyelia, saya hanya memantau dan memberi pendapat tentang pengurusan wang yang betul.
"Namun, hasil usaha dan muafakat mereka bersama, penghuni rumah perlindungan ini bukan sahaja pandai menyimpan wang, malah semakin bijak berbelanja.
"Malah, mereka lebih tahu perbelanjaan yang perlu diutamakan, tidak seperti kebanyakan orang dewasa yang selalu mengikut nafsu apabila berbelanja," kata Sharon Jacob, penyelia rumah perlindungan dan badan sukarela membela nasib kanak-kanak, Butterflies.
Atas inisiatif wanita inilah, Khazana diasaskan pada tahun 2001 dengan matlamat untuk mendidik remaja gelandangan membela nasib mereka sendiri.
"Mereka bekerja sebagai pembantu kedai dan pengangkat barang. Sungguhpun upah yang mereka terima kecil, mereka tidak ada tempat yang selamat untuk menyimpan wang.
"Mereka juga sering ditipu dan menjadi mangsa samun," jelas Sharon.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: