Sunday, July 1, 2012

Haiwan ajaib Galapagos


George yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun ditemui mati Ahad minggu lalu.


HARAPAN para saintis untuk melihat Lonesome George - seekor kura-kura gergasi Galapagos, meninggalkan baka berakhir apabila haiwan itu ditemui mati di Puerto Ayora, Pulau Santa Cruz, Ecuador pada 24 Jun lalu.

Puerto Ayora terletak di selatan Taman Negara Galapagos.

Dianggarkan berusia lebih 100 tahun, kura-kura berstatus duta Kepulauan Galapagos itu berjaya menarik lebih 180,000 pelancong untuk mengunjungi pulau itu tahun lepas.

George dipercayai kura-kura terakhir daripada subspesies Geochelonenigra abingdoni. Kepulauan itu masih dihuni kira-kira 20,000 ekor kura-kura gergasi daripada 13 subspesies.

"Pada waktu pagi semasa seorang renjer sedang meronda, dia menemui George mati di pusat pembiakan kura-kura gergasi.

"Kehidupan kura-kura ini telah berakhir, namun kami merancang untuk mengawet bangkainya bagi dijadikan tatapan pelancong pada masa hadapan," kata ketua taman itu, Edwin Naula.

Bangkai haiwan bertaraf selebriti itu ditempatkan di dalam sebuah kebuk sejuk bagi mengelakkannya daripada mereput. Saintis berkata, kematian George akan melenyapkan spesies itu.

George mempunyai kisah hidup yang tersendiri. Ia ditemui pada tahun 1972 di Pulau Pinta, salah sebuah pulau di Kepulauan Galapagos.

Sama seperti namanya Lonesome George, haiwan itu hidup bersendirian dan kesepian sepanjang hayatnya.

George tidak mempunyai anak. Walaupun ia cuba dibiakkan bersama dua kura-kura betina berlainan spesies, hasilnya mengecewakan.

Diburu

Pada tahun 2009, pegawai Ecuador mengumumkan seekor daripada dua kura-kura betina yang tinggal bersama George telah menghasilkan sebanyak lima biji telur. Malangnya kesemua telur itu gagal menetas.

George hidup bersama dengan kura-kura betina daripada jenis Geochlone becki itu sejak tahun 1993.

Populariti George bukan calang-calang bahkan berjaya menarik perhatian ikon terkenal Angelina Jolie dan Brad Pitt untuk melawat taman negara itu.

Lokasi tempat kura-kura itu tinggal juga dikunjungi oleh ribuan pelancong setiap tahun.

Mereka mengambil peluang bergambar dengan makhluk pelik di muka bumi itu.

Bagaimanapun, sejak kedatangan manusia ke kepulauan itu, jumlah kura-kura gergasi menurun secara signifikan.

Ia sering diburu kerana dagingnya manakala habitat semula jadinya turut dirampas oleh gerombolan kambing yang dibawa oleh penternak.


TAMAN Negara Galapagos pernah dikunjungi pasangan selebriti Angelina Jolie dan Brad Pitt (dua dan tiga dari kanan).


Namun, usaha penyelamatan oleh Taman Negara Galapagos dan Yayasan Charles Darwin untuk menambah kembali populasi kura-kura itu mula berhasil.

Secara umum, populasi kura-kura gergasi Galapagos meningkat daripada hanya 3,000 ekor pada tahun 1974 kepada 20,000 ekor sekarang.

Selain kura-kura gergasi, Kepulauan Galapagos juga terkenal sebagai rumah kepada berbagai spesies haiwan dan tumbuhan yang unik.

Keajaiban alam dan kebiasaan kura-kura Galapagos yang boleh hidup sehingga 200 tahun telah mencetuskan idea kepada saintis Britain, Charles Darwin untuk memperkenalkan teori evolusinya.

Ketua Pengarah Zoo Negara, Dr. Mohamad Ngah, berkata usaha untuk memastikan kura-kura gergasi terus hidup sememangnya agak sukar.

"Selain masalah kesihatan kerana usia yang lanjut, haiwan ini sensitif terhadap makanan yang diberikan.

"Selain itu, ia sukar menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran yang berbeza daripada habitat asal," katanya kepada Jurnal.

Jelasnya, pihak Zoo Negara juga mempunyai kura-kura gergasi daripada spesies Aldabran iaitu kura-kura kedua terbesar di dunia selepas spesies Galapagos tetapi usaha untuk membiakkan haiwan itu bukan mudah.

"Namun, itu tidak bermakna kita akan berhenti berusaha membiakkannya sebaliknya banyak lagi penyelidikan saintifik perlu dilakukan," beritahu beliau.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: