Sunday, July 15, 2012

Taubat call girl Melayu


KATA Nina, dia tidak perlu bersusah payah mencari pelanggan sebaliknya cukup menunggu satu panggilan. - Gambar hiasan


NINA yang berasal dari negeri Kelantan tidak menyangka dia akan melalui kehidupan seperti ini. Selepas mendapat keputusan sekadar cukup makan dalam Sijil Pelajaran Malaysia, pilihan yang ada baginya ialah melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi swasta sahaja.

"Keluarga saya bukanlah mewah, tetapi jika setakat mahu menanggung pengajian satu-satunya anak mereka ini, mereka masih mampu," ujar Nina.

Nina diberi peluang melanjutkan pengajian di sebuah universiti swasta di Lembah Klang.

Bagaimanapun, kebenaran itu bersyarat iaitu Nina mesti tinggal di rumah ibu saudaranya di Ampang, Selangor walaupun jarak kampus tempat Nina belajar ialah kira-kira 35 kilometer dari situ.

"Yelah, saya tidak pernah berpisah dengan keluarga sebelum ini, mereka bimbang tentang keselamatan dan pergaulan saya jika dibenarkan duduk bersama kawan-kawan," kenang Nina yang pada masa itu baru berusia 19 tahun.

Selama setahun Nina memandu sendiri kereta untuk pergi kuliah. Disebabkan penat berulang-alik dari rumah ke kampus, Nina sekali lagi memujuk keluarga supaya membenarkannya tinggal di rumah sewa berhampiran universiti itu. Walaupun keluarganya agak keberatan untuk membenarkan Nina tinggal sendirian tanpa ada siapa yang mengawasi, mereka akhirnya akur dengan desakan Nina.

"Selain penat berulang-alik, saya sebenarnya mahu merasai keseronokan hidup tanpa kongkongan keluarga," akui Nina.

Tidak lama selepas tinggal di rumah sewa, dia mengenali Zack, lelaki yang menurut Nina telah mengubah 360 darjah kehidupannya.

"Sikapnya yang sangat mengambil berat dan penyayang itu membuatkan saya benar-benar jatuh cinta. Sepanjang menjalinkan hubungan dengan Zack, saya dilayan bak seorang puteri raja. Apa sahaja yang saya inginkan pasti dia akan penuhi. Dia mengaku sangat menyayangi dan tidak mahu kehilangan saya.

"Saya yang betul-betul naif mempercayai sahaja kata-katanya apatah lagi dialah lelaki dan cinta pertama saya," tutur gadis bertubuh sederhana dan berkulit putih ini.

Berubah

Nina dan Zack ibarat belangkas. Di mana ada Zack, di situ pasti ada Nina. Begitupun, hubungan mereka retak selepas Zack meragut perawan Nina tanpa rela.

Selepas peristiwa hitam itu, Nina berubah menjadi liar kononnya disebabkan tertekan dan berasa jijik dengan dirinya sendiri. Dia sudah pandai ponteng kuliah yang merupakan tujuan asal dia datang ke ibu kota. Dia juga mula pandai meneguk air kencing syaitan manakala kain tudung yang membaluti kepalanya selama ini hilang entah ke mana.

"Saya tidak tahu di mana Zack sekarang kerana saya bertindak memutuskan terus hubungan dengannya kerana saya tidak sanggup lagi melihat wajahnya yang pura-pura baik itu.

"Saya mula bercampur dengan rakan yang tidak tentu arah. Setiap hujung minggu kelibat kami pasti ada di kelab-kelab malam sekitar Kuala Lumpur," dedah Nina.

Hendak dijadikan cerita, di kelab malam juga Nina bertemu Ika, gadis yang tidak berpendidikan tinggi tetapi mampu hidup mewah. Apa yang menghairankan ialah tiada siapa pun tahu pekerjaan Ika.

Tanpa diduga, Nina dan Ika menjadi rapat sehinggalah Nina mengambil keputusan untuk berhenti belajar dan tinggal bersama-sama Ika. Dari situlah Nina mengetahui pekerjaan sebenar Ina sebagai call girl iaitu gadis yang menawarkan perkhidmatan seks dengan hanya satu panggilan.

"Saya jadi gelap mata memikirkan habuan mencecah ribuan ringgit yang bakal diterima. Saya memasang angan-angan untuk menjadi seperti Ika yang duduk goyang kaki sahaja sambil menunggu panggilan daripada pelanggan di rumah tetapi mampu memakai barangan berjenama dan tinggal di kondominium mewah.

"Bermodalkan wajah yang cantik serta potongan badan menarik, saya jadikan itu sebagai umpan untuk memerangkap lelaki berhidung belang. Sejak itu, bermulalah kehidupan saya sebagai seorang call girl," cerita Nina.

Menurut Nina, dia bergerak secara sendirian untuk mencari pelanggan. "Saya tidak menggunakan ejen sebagai orang tengah seperti call girl lain yang ada di Malaysia. Sesetengah call girl itu juga mewujudkan laman web tertentu yang membolehkan mereka dihubungi pelanggan. Sebaliknya, Ika banyak membantu memperkenalkan saya kepada rakan-rakan pelanggannya," tutur Nina.

Bergerak sendiri lebih mudah kerana habuan yang diperoleh tidak perlu diserahkan kepada ejen, fikir Nina. Tidak seperti pelacur jalanan yang menunggu di lorong gelap, menjadi call girl lebih mudah kerana Nina cuma perlu menunggu panggilan di rumah sebelum pergi mendapatkan pelanggan.

Insaf

Perbuatan terkutuk itu dilakukan Nina selama hampir setahun. "Keluarga tidak pernah tahu saya telah berhenti belajar apatah lagi menghidu kegiatan saya sebagai call girl," ujarnya yang menganggap kehidupan di kota lebih menyeronokkan.

Bagaimanapun, langit tidak selalunya cerah. Sewaktu pulang daripada berhibur di kelab malam, Nina yang memandu dalam keadaan mabuk ditimpa kecelakaan. Dia pengsan kerana kehilangan banyak darah.

"Saya beruntung kerana tidak cedera parah, hanya mengalami sedikit gegaran di kepala menyebabkan saya tidak sedarkan diri selama beberapa hari. Keluarga juga tidak tahu saya terlibat dalam kemalangan itu.

"Sepanjang tidak sedarkan diri, saya bermimpi meminta ampun daripada ayah dan ibu atas semua perbuatan saya sebelum ini tetapi mereka langsung tidak mengendahkan saya. Akhirnya saya tersedar daripada mimpi dan mendapati saya berada di katil hospital," beritahu Nina.

Ibarat mati hidup semula, Nina, 26, bersyukur kerana diberi peluang kedua untuk lebih menghargai hidup yang pernah disia-siakannya dahulu.

"Saya sangat kesal mengenangkan dosa yang saya lakukan semata-mata untuk hidup mewah. Kini saya tekad untuk berubah dan mahu menyambung kembali pengajian yang tertangguh dahulu selain membina hidup baharu," katanya dalam nada sedih.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: