'Status baru' bukan penghalang
Paula ketika ditemui di majlis ramah mesra anjuran Sony Music di Red Box The Garden, Isnin lalu

PAULA Allodya Item atau lebih dikenali Audy bukanlah lagi nama asing dalam industri muzik seberang malah bakat dan kebolehannya juga turut mendapat perhatian daripada peminat di Malaysia.

Memiliki pakej dan vokal tersendiri menjadi kelebihan buat dirinya untuk terus kekal dalam industri muzik.

Selain itu, bakatnya tidak hanya terbatas dalam bidang nyanyian sahaja, bahkan Audy juga memiliki kebolehan dalam menulis dan menggubah lagunya sendiri.

Ia terbukti apabila album terbarunya 'Selalu Terdepan' telah menampilkan beberapa buah lagu hasil tulisannya sendiri.

"Album ini telah dilancarkan di Indonesia sejak 2010 lagi dan sekarang baru ada kesempatan untuk melancarkannya di Malaysia.

"Apa yang menariknya tentang album ini adalah kebanyakan lagu yang terkandung adalah hasil ciptaan saya sendiri," katanya.

Menurut Audy, minat yang mendalam terhadap bidang muzik telah membuka ruang untuk dirinya berkarya dengan sebaik mungkin.

"Selagi terdaya, saya mahu teruskan karier ini kerana muzik sudah sebati dengan jiwa saya sejak dahulu lagi.

"Bagaimanapun, saya mengharapkan peminat di luar sana tidak kiralah di Indonesia mahupun Malaysia akan sentiasa memberi sokongan kerana tanpa mereka saya tidak akan berada di industri ini," katanya ketika ditemui di majlis ramah mesra anjuran Sony Music di Red Box The Garden, Isnin lalu.

Sebalik 'Pencuri Hati '

SIAPA sangka lagu 'Pencuri Hati' yang ditulisnya menjadi kenyataan setelah penyanyi berusia 29 tahun ini menemui jodohnya bersama pelakon, Iko Uwais, 29.

Menurutnya, perkenalan yang mengambil masa selama tiga bulan itu bermula dari laman sosial Twitter semasa Iko membintangi filem The Raid.

"Saya kagum dengan filem itu sehingga berkongsi perasaan bangga di laman Twitter. Tidak sangka Iko memberi respons dan dari situlah hubungan kami bermula.

"Saya bersyukur kerana hubungan ini berjalan lancar dan kami tidak mengambil masa lama membuat keputusan menamatkan zaman bujang bersama," jelasnya yang melangsungkan pernikahan pada 25 Jun lalu.

Sebagai selebriti, pasangan ini pastinya tidak terlepas daripada pandangan negatif beberapa pihak terhadap pengenalan singkat mereka.

"Saya dan suami tidak pernah peduli dengan pandangan negatif yang diberikan kepada hubungan ini malah kami bersyukur kerana apa yang kami rancang akhirnya dapat berjalan dengan baik.

"Semuanya telah diaturkan oleh Tuhan. Apa yang penting kami berdua sentiasa mengharapkan kebahagiaan ini akan terus berkekalan," katanya.

Mini konsert d i Malaysia

MENYENTUH mengenai perkembangan semasa dan perancangannya dalam karier nyanyiannya, Audy berkata, dia kini sibuk dengan projek pembikinan album kompilasi terbarunya.

"Pembikinan album ini akan dilakukan secepat mungkin jika tidak berlaku sebarang masalah.

"Beberapa buah lagu hit sepanjang saya bergelar penyanyi akan disatukan dalam album ini," katanya.

Selain itu, penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Menangis Semalam' ini juga turut berkongsi hasratnya ini mengadakan mini konsert di Malaysia.

"Jika diberi peluang, saya teringin sekali mengadakan konsert untuk bertemu dan menghiburkan peminat saya di sini," katanya.