Wednesday, July 18, 2012

Pengorbanan marin

Ramli Jusuh (kiri) dan Mardan Misran melihat tangan seorang murid lelaki yang cedera digigit tebuan semasa menjalankan rondaan di Pulau Tinggi.

HANYA berkesempatan tinggal bersama isteri dan anak-anak selama dua minggu dalam sebulan menyebabkan mereka kerap diusik dengan gelaran 'weekend husband' atau 'suami hujung minggu'.

Baki dua minggu lagi dalam sebulan, dihabiskan sebagai 'orang bujang' yang memerlukan mereka memasak, membasuh dan mengemas sendiri kain baju yang dipakai.

Lebih mencabar, mereka terpisah dari dunia luar kerana tempat tinggal hanya dikelilingi lautan biru yang memerlukan berjam-jam perjalanan menaiki bot untuk sampai ke darat.

Tiada kemudahan Internet, restoran dan tempat hiburan. Manakala bekalan air paip diperoleh dari sumber air gunung berhampiran.

Ia antara cabaran ditempuhi oleh anggota Pasukan Polis Marin (PPM) yang diamanahkan tanggungjawab menjaga pondok polis di empat pulau di perairan Mersing, Johor iaitu Pulau Aur, Pemanggil, Tinggi dan Sibu.

Namun bak kata pepatah alah bisa, tegal biasa, rata-rata anggota yang ditugaskan menjaga keselamatan di pulau berkenaan kini sudah biasa dengan kehidupan mencabar itu dan tiada masalah untuk menunaikan tanggungjawab dengan baik sejak hampir empat tahun mengambil alih tugas tersebut daripada anggota tugas am pada 2009.

Koperal Ramli Jusoh, 49, yang bertugas menjaga Pondok Polis Pulau Tinggi memberitahu, tugas menjaga pondok polis di empat pulau itu dijalankan secara giliran iaitu sekali pertukaran setiap dua minggu.

"Tugas menjaga pondok polis di pulau-pulau ini dilakukan oleh dua anggota pada satu masa. Kami akan bertugas di sini selama dua minggu sebelum diganti oleh kumpulan lain.

"Selepas dua minggu bertugas di pulau, kami akan dihantar pulang ke darat untuk menjalankan tugas-tugas lain seperti siasatan kes jenayah di laut, membuat risikan dan kerja-kerja bahagian teknikal," katanya yang berasal dari Machang, Kelantan dan sudah 19 tahun berkhidmat dalam PPM setelah ditukar dari Pasukan Gerakan Am (PGA).

Ramli berkata, di Pulau Tinggi, rutin harian beliau bersama rakan setugas iaitu Koperal Mardan Misran ialah menjalankan rondaan cegah jenayah dengan berjalan kaki di kawasan pulau yang mempunyai empat kampung dihuni 34 keluarga.

Beliau berkata, keseluruhannya terdapat 173 penduduk tinggal di pulau tersebut termasuk 10 guru yang mengajar 17 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Tinggi.

Kata Ramli, asalnya terdapat empat kampung di pulau tersebut iaitu Kampung Tanjung Balang mempunyai 28 keluarga yang menempatkan Balai Polis Pulau Tinggi, Kampung Pasir Panjang dihuni tiga keluarga, Kampung Buluh Kasap yang ditinggalkan kosong sejak awal tahun 90-an dan Kampung Sebirah menempatkan satu keluarga.

Mardan, 48, anak kelahiran Muar, Johor berkata, memandangkan hanya dua anggota bertugas pada satu masa, mereka terpaksa membahagikan tugas.

Jelasnya, jika seorang membuat rondaan cegah jenayah, seorang pula perlu bertugas di kaunter aduan di pondok polis untuk menerima laporan daripada penduduk kampung dan pelancong.

"Kami bertugas 24 jam sehari dan tiada cuti hujung minggu. Kami berjaga malam dan memasak secara bergilir-gilir.

"Hubungan dengan penduduk kampung juga amat rapat kerana sering menghabiskan masa terluang bersama mereka dengan menyertai aktiviti keagamaan, gotong-royong, kenduri dan membantu semasa berlaku kematian," katanya.

Menurut Mardan, semua bangunan pondok polis di pulau-pulau dibina sekali dengan tempat tinggal yang dilengkapi bilik tidur, bilik mandi, dapur dan kemudahan seperti televisyen, peti sejuk, janakuasa elektrik dan sebuah bot enjin sangkut.

Bagaimanapun, katanya, komunikasi mereka dengan dunia luar hanya dihubungkan oleh telefon bimbit kerana tiada kemudahan telefon awam dan Internet di pulau tersebut.

Beliau berkata, ketiadaan komputer dan Internet menyebabkan mereka terpaksa bertugas seperti zaman sebelum era teknologi apabila semua laporan kes-kes diterima daripada penduduk direkodkan secara manual.

"Jika memerlukan bantuan pengawai penyiasat untuk menyiasat kes jenayah yang berlaku, kami akan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing menggunakan telefon bimbit meminta memaklumkan perkara itu ke pejabat PPM di Mersing.

"Sekiranya talian telefon bimbit tiada liputan, kami akan menggunakan alat komunikasi dikenali sebagai 'RMPnet' iaitu sejenis peralatan walkie talkie untuk memaklumkan kes jenayah kepada bilik gerakan," ujarnya.

Sementara itu, Koperal Suhardiman Arifin, 38, yang bertugas sebagai jurumudi berkata, menjaga empat pulau yang menjadi tumpuan pelancong mempunyai kelebihan kerana keindahan dan suasana tenang di situ memberi ketenangan kepada dirinya.

Katanya, beliau mungkin tidak berpeluang untuk 'melancong' ke pulau peranginan yang indah itu jika tidak diamanahkan tugas menjaga pulau-pulau tersebut.

"Perasaan sedih hanya terasa apabila tiba bulan Ramadan kerana berjauhan dengan keluarga dan terpaksa berbuka puasa dengan makanan ala kadar yang dimasak sendiri memandangkan tiada bazar Ramadan terdapat di sini.

"Kami bagaimanapun tetap bersyukur kerana penduduk yang bekerja sebagai nelayan tidak kedekut apabila selalu menjual murah atau memberi percuma ikan dan udang segar untuk dibuat lauk," katanya.

Menurut Koperal Bakhtiar Jamili, 51, yang bertugas di Pondok Polis Pulau Sibu, setiap kali dihantar ke pulau, beliau bersama rakan setugas akan menyediakan stok makanan mencukupi untuk tempoh dua minggu bagi mengelak terputus bekalan terutama semasa musim tengkujuh.

Jelas beliau, mereka perlu menyediakan bekalan makanan yang mencukupi kerana harga barang-barang keperluan harian dijual di kedai di pulau meningkat tiga kali ganda mahal berikutan kos pengangkutan menghantarnya yang tinggi.

Selain itu, katanya, rakan setugas mestilah seorang yang bertolak-ansur dan tidak berkira kerana mereka perlu berkongsi membeli barang keperluan harian dan bergilir-gilir memasak memandangkan tiada elaun khas untuk membeli makanan disediakan bagi anggota PPM yang menjalankan tugas am di pondok polis pulau ketika ini.

Rakan setugas Bakhtiar, Lans Koperal Ibrahim Othman, 56, pula berkata, tugas menjaga Pulau Sibu amat mencabar kerana ia merupakan antara pulau yang mempunyai penduduk yang ramai iaitu 225 orang dari empat kampung iaitu Kampung Duku, Kampung Lingka, Kampung Tagal dan Kampung Tanjung Busung.

Katanya, kawasan perairan pulau itu juga menerima kehadiran pelancong yang tinggi kerana mempunyai beberapa resort terkenal iaitu Sibu Island Resort, Rimba Resort dan Sea Gypsy; Village Resort, Junansa; Villa Resort, Sibu; Coconut Village Resort serta beberapa pulau kecil yang menawarkan kemudahan inap desa.

"Sebab itu sekali dalam seminggu, saya bersama rakan setugas akan berjalan kaki sejauh kira-kira tujuh kilometer melalui jalan hutan pergi melawat resort-resort di sekeliling pulau ini.

"Kami menjalankan tugas rondaan cegah jenayah sambil ramah mesra dan mengenal pasti masalah dihadapi penduduk tempatan serta pelancong," ujarnya.

Ibrahim berkata, kes-kes biasa diterima di balai polis pulau ialah mati mengejut, kes gaduh, kecurian dan lemas membabitkan pelancong.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: