Habib yakin capai jualan RM50 juta
Meer Sadik (tengah) bersama barisan artis dan model menggayakan Koleksi Rantaian Kasih 2012, di Kuala Lumpur.

HABIB Holdings Sdn Bhd (Habib) yakin capai sasaran jualan RM50 juta sepanjang tempoh berlangsungnya kempen Rantaian Kasih Habib bermula 16 Julai sehingga hari raya pertama.

Pengarah Urusannya, Datuk Meer Sadik Habib berkata, secara purata, Habib mencatatkan jualan keseluruhan RM25 juta setiap bulan dan optimis sasaran tersebut akan dapat dicapai berikutan pelbagai koleksi baru dan harga promosi ditawarkan kepada pelanggan.

“Tahun ini Habib menampilkan kelainan iaitu menggabungkan perhiasan diri dan pelaburan. Kami cuba menghasilkan kualiti dan rekaan terbaik pada harga berpatutan kerana dua elemen ini merupakan nilai paling hebat.

“Sebagai memeriahkan lagi musim perayaan kali ini, Habib menawarkan diskaun RM5 hingga RM20 per gram untuk emas dan potongan sehingga 70 peratus bagi pembelian berlian dan batu permata,” katanya ketika majlis pelancaran Rantaian Kasih di Kuala Lumpur.

Sementara itu, bagi mengukuhkan operasi, Habib akan membuka tiga cawangan baru di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti seperti di Alor Setar dan Seri Kembangan dengan nilai pelaburan RM35 juta, sekali gus melengkapkan sasaran untuk membuka 30 cawangan tahun ini.

Menurut Meer Sadik, pembukaan cawangan itu juga adalah strategi syarikat dalam mengukuhkan lagi kedudukan Habib di pasaran tempatan sesuai dengan kedudukannya sebagai antara lima jenama terkenal di Asia bagi kategori runcit (barang kemas).

Dalam pada itu, Koleksi Rantaian Kasih 2012 tahun ini lebih istimewa kerana menampilkan lima warna tema iaitu ungu, merah, hijau, firus dan kuning yang membawa maksud kepada nilai dan jiwa koleksi tersebut.