Wednesday, July 25, 2012

Simpan rapi majalah lama

JAPRI dan isterinya, Zuridah Abdul Rahaman sering membelek majalah lama simpanan mereka di waktu lapang.

SIAPA sangka bahan bacaan seharian kita seperti majalah hiburan atau gaya hidup mampu dijadikan satu khazanah berharga suatu hari nanti.

Majalah yang dulunya hanya bernilai 50 sen senaskhah kini ada pembeli yang sanggup melabur puluhan hingga ratusan ringgit!

Itulah realiti yang dihadapi Japri Din, 44, apabila ada kenalannya yang sanggup menyerahkan sejumlah besar wang demi majalah usang miliknya tetapi tidak dilayan Japri kerana menyayangi koleksinya itu.

Melihat kepada koleksi majalah milik Japri antaranya majalah Wanita, Suasana Bintang Film, Muzik & Filem, Utusan Radio & TV serta URTV, timbul rasa kagum atas kesungguhannya memelihara bahan bacaan tersebut.

Ada yang berusia sehingga 50 tahun!

Cerita Japri, hobi menyimpan majalah lama bermula secara tidak sengaja kerana dia sememangnya seorang yang rapi dalam menyimpan barang.

"Antara majalah yang sememangnya disimpan dari dulu ialah majalah URTV kerana ia sememangnya bahan bacaan kami di usia remaja.

"Kemudian, saya membeli majalah-majalah hiburan lama yang lain kerana pada asalnya mahu mencari rujukan berkenaan album piring hitam yang saya kumpul.

Minat"Lama-lama, minat menyimpan majalah lama turut bercambah melihat kepada keunikan cara penyampaian berita serta susun letak muka suratnya yang menarik.

"Majalah-majalah yang ada zaman sekarang juga berkemungkinan akan menjadi khazanah yang amat berharga di masa hadapan," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Meru, Klang, baru-baru ini.

Ceritanya, dia tertarik dengan evolusi penyampaian berita serta isi kandungan sesuatu majalah apabila ada majalah yang kini sering memaparkan wajah artis pada muka depan sedangkan suatu ketika dulu wajah orang ternama menjadi penghias muka depan.

Majalah Wanita keluaran April 1976 yang memaparkan wajah isteri Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn iaitu Tun Suhaila Tan Sri Mohamed Noah antara koleksi berharga miliknya.

Selain itu, ketelusan cara penyampaian berita majalah pada zaman dahulu serta keberanian mereka memaparkan pelbagai isu menarik minatnya.

Menurut Japri, selain majalah, dia memiliki kira-kira 1,000 keping piring hitam dari tahun 1950-an dan pelbagai lagi barang antik seperti perabot, set pinggan mangkuk, barangan tembaga, radio dan pelbagai lagi.

Hobinya memburu barang antik membawa dia ke merata tempat sehingga ke pelosok kampung dan dia turut berkongsi minat dengan orang ramai apabila turut menjualnya jika mempunyai koleksi berlebihan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: