Wednesday, July 25, 2012

Silat Gayung Fatani pikat Eropah

Dr. Aziwahija bertarung menggunakan parang dengan Imre.

SETELAH berpusing-pusing beberapa kali mencari kediaman Pengarah Teknikal Antarabangsa, Persatuan Silat Gayung Fatani, Dr. Azimahija Yeop di Kampung Melayu Subang Tambahan, Shah Alam, akhirnya penulis ternampak tiga orang pemuda berambut perang dan seorang gadis Eropah siap berpakaian seragam silat mengatur langkah silat.

Dalam hati, ini tentulah rumah Dr. Aziwahija! Terpegun seketika melihat pergerakan anggota tubuh mereka yang tangkas menahan dan menepis serangan lawan.

"Beginilah setiap tahun semasa cuti musim panas di Eropah, beberapa orang penuntut Persatuan Silat Gayung Fatani dari sana akan datang ke sini untuk mendalami ilmu persilatan," kata Dr. Aziwahija.

Beliau menambah, kini seni bela diri tempatan seperti silat telah menjangkau jauh memikat warga muda antarabangsa seperti Austria, Perancis, Switzerland, Algeria dan United Kingdom untuk mempelajarinya.

Minat Dr. Aziwahija yang mendalam terhadap silat bermula sejak berusia belasan tahun apabila mengikuti kisah datuknya yang mempertahankan tanah air daripada ancaman komunis menggunakan silat.

Apabila semakin dewasa, cintanya terhadap silat semakin mendalam.

"Silat amat unik kerana setiap pergerakan mempunyai maksud tertentu dan sebab itu juga bangsa asing yang berpengalaman dalam seni bela diri mengakui silat mempunyai banyak kelebihan dan keunikan berbanding seni bela diri lain," katanya.

Pergerakan silat, jelasnya adalah sama walaupun ketika melakukan serangan, pukulan atau bela diri.

Semuanya terangkum di dalam tujuh elemen iaitu bunga, jurus, tapak, belebat, buah pukul, tempur seni dan tempur bela diri.

Walaupun setiap jenis silat itu mempunyai pelbagai nama, pergerakan di dalam silat berlaku di dalam tujuh elemen ini.

Menurut Aziwahija, pada 1985 beliau berusaha membangunkan silat di rantau Eropah dan menjadikan silat sebagai salah satu bidang sukan kegemaran ramai.

Beliau memperkenalkan silat Gayung Fatani di Austria, Switzerland, Perancis, Jerman, Thailand dan Algeria serta memberikan kursus ilmu persilatan di Itali, Jerman dan Amsterdam.

Tidak mengenal jemu, beliau berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Eropah semata-mata untuk memperkenalkan seni bela diri silat di sana.

Usahanya membuahkan hasil apabila menjuarai beberapa kejuaraan silat sedunia dianjurkan Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat) dan kejuaraan di peringkat Eropah.

"Usaha berterusan itu secara tidak langsung mempopularkan silat di mata dunia," katanya.

Beliau juga menempa kejayaan di peringkat antarabangsa dengan mengangkat silat Malaysia sebagai juara ketika kejohanan antarabangsa berlangsung di Pyongyang, Korea Utara pada 2004, Perugia, Itali (2005), Jerman (2004) dan Bercy, Paris (2010).

Imre Ne'meth, 32, yang menjalankan perniagaan pengangkutan kecil-kecilan di Hungary mula berminat dengan seni mempertahankan diri judo di sebuah gimnasium di sana.

"Selepas itu jurulatih gimnasium memperkenalkan saya dengan seni bela diri silat.

"Memang pada mula saya lihat pergerakan silat agak lembut berbanding dengan sini bela diri lain tetapi lama kelamaan baru saya mengenali silat dan terpikat dengan seninya," katanya yang kini telah mencapai peringkat empat dalam Silat Gayung Fatani.

Beliau yang berlatih silat sejak enam tahun lalu merasakan silat mempunyai segalanya yang tidak ada dalam seni bela diri lain.

"Saya bercadang membuka gelanggang silat di kampung saya Hungary selepas saya mendapat tauliah sebagai jurulatih," katanya.

Sementara itu Roland Lorene, 41, jurulatih silat dan gimnasium di Austria mula belajar silat lapan tahun lalu.

"Mulanya saya melihat silat seperti tarian kerana ketika itu saya tidak tahu tarian yang saya lihat adalah langkah-langkah silat," katanya.

Tapi apabila mula mengenal silat, beliau dapat melihat seni yang ada dalam silat dan tidak ada pada seni pertahanan diri lain.

"Kini saya menjadi jurulatih silat di gimnasium tempat saya bekerja dan saya mempunyai lebih 20 orang pelajar silat," katanya yang telah empat kali datang ke Malaysia.

Markus Arnold, 15, dari Vienna, Austria, pula sukakan silat kerana ia memberikan keseimbangan kepada tubuh.

"Saya belajar silat tiga kali seminggu dan telah mencapai tahap kedua dan bercadang untuk mengambil bahagian dalam pertandingan silat Eropah di Belgium tahun depan," katanya.

Martina Watcher, 15, yang baru setahun setengah belajar silat turut terpikat semasa pertama kali melihat pergerakan silat.

Beliau yang baru pertama kali datang ke Malaysia amat berharap dapat mendalami ilmu persilatan di sini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: