Wednesday, July 25, 2012

Saiful tidak cerewet

HIdangan berbuka puasa mi sup sayur.

SUKAKAN hidangan yang ringkas ketika berbuka puasa menjadikan selebriti ini seorang individu yang tidak cerewet dalam pemilihan makanan sepanjang bulan Ramadan.

Hidanglah apa jua juadah dia pastinya tidak menolak melainkan lauk-pauk yang dilihat berat seperti kari atau masak lemak.

Ini kerana menurut Saiful Nizam Ismail, 30, pembaca Buletin Utama TV3 ini, setelah seharian berpuasa perut pastinya memerlukan masa untuk menerima makanan agar ia tidak 'terkejut'.

Untuk itu walaupun masih memilih nasi atau menu lain sebagai hidangan berbuka puasa, Saiful lebih senang memilih lauk- pauk yang ringkas.

Begitupun, bagi anak kelahiran Changlun, Kedah ini, sekiranya dia tidak bekerja ataupun mempunyai masa dia seboleh-bolehnya akan memasak sendiri hidangan kegemarannya iaitu mi sup sayur sebagai pembuka selera di bulan Ramadan.

Ketika ditemui di kediamannya di Rawang, Selangor, baru-baru ini, ternyata bapa kepada seorang cahaya mata ini boleh memasak walaupun tidak dikategorikan sebagai seorang yang pandai memasak.

Bagi Saiful, dia lebih suka makan di rumah jika hendak dibanding di luar kerana selain kebersihan terjamin dapat juga dia dan keluarga meluangkan masa bersama.

"Walaupun bukan bulan Ramadan saya sebenarnya seorang individu yang suka menghabiskan masa di rumah.

"Ini kerana setelah penat seharian bekerja tibalah masanya untuk bersama keluarga dan makan bersama-sama merupakan agenda wajib yang tidak boleh ditinggalkan.

"Begitu juga apabila tibanya Ramadan, berbuka puasa di rumah menjadi keutamaan sekiranya tidak mempunyai jemputan untuk berbuka di luar," katanya.

Mengulas lanjut mengenai masakan ataupun menu kegemarannya apabila tibanya bulan Ramadan, Saiful memberitahu dia suka memasak mi sup sayur.

Selain ringkas, ia juga merupakan satu menu yang sihat kerana ada gabungan sayur dengan bahan-bahan lain seperti daging, sotong, udang dan sebagainya.

Bagaimanapun Saiful menjelaskan dia akan berbuka dengan buah kurma, kuih muih dan air dahulu sebelum menikmati hidangan lain.

Saiful juga memberitahu dia bukanlah seorang individu yang kuat makan. Malah dia juga tidak akan mengulang makan seperti kebanyakan orang.

Katanya cukuplah juadah yang dinikmati ketika berbuka dan akan disusuli ketika bersahur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: