Saturday, July 7, 2012

Simbol kebangkitan Honda



SEWAKTU menghadiri majlis pelancaran model naik taraf Honda City 2012 di ibu negara baru-baru ini, Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia) membuat satu kejutan yang disifatkan tepat pada masanya.

Pengumuman yang dimaksudkan adalah jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan untuk model Honda City baharu. Tidak cukup dengan itu, Honda Malaysia juga memberikan khidmat servis percuma sebanyak enam kali.

Langkah tersebut pastinya melegakan para pemilik model sedan kompak berwajah baharu itu. Namun begitu, mungkin kurang adil jika segala pujian hanya diberikan kepada pengeluar dari negara matahari terbit itu.

Inisiatif jaminan lima tahun sebenarnya lahir daripada pengeluar kenderaan Korea Selatan, apa lagi jika bukan produk jenama Kia dan Hyundai.

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa pengeluar kenderaan Korea Selatan sudah mula memainkan peranan aktif dalam mengubah landskap industri automotif global.

Malah ada penganalisis yang berpendapat, Korea Selatan ialah Jepun yang baharu (South Korea is the new Japan). Sejauh mana pandangan itu boleh diterima atau tidak, itu hak masing-masing.

Kembali semula kepada Honda City 2012, ia merupakan produk pemasangan tempatan (CKD) pertama kilang Honda Malaysia di Pegoh, Melaka bagi tahun ini.

Sebelum ini, kilang yang mengeluarkan model City, Civic, CR-V dan Accord untuk pasaran tempatan terpaksa digantung operasi ekoran masalah bekalan komponen dari Jepun dan Thailand yang dilanda bencana alam tahun lalu.

CKD Pertama 2012


Ueno, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Rohime Shafie dan Naib Presiden Honda Malaysia, Katsunori Ishii pada majlis pelancaran Honda City baharu di ibu negara baru-baru ini.


Operasi bagaimanapun disambung semula pada April lalu dan dua bulan kemudian, Honda City 2012 kembali menerjah pasaran tempatan. Kali ini, dua varian ditawarkan iaitu Grade S dan E.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno memberitahu, Honda City merupakan model CKD jualan terbaik keluaran Honda Malaysia.

“City ialah kereta ideal untuk rakyat Malaysia yang menghargai rekaan bentuk menarik pada sebuah sedan kompak. Pada masa yang sama mengekalkan praktikaliti, keselesaan dan pemanduan ekonomikal,” katanya pada majlis pelancaran model tersebut.

Honda City generasi ketiga berwajah baharu masih mengekalkan enjin i-VTEC bersesaran 1.5 liter. Begitu juga transmisi jenis automatik lima kelajuannya. Transmisi itu diadun bersama teknologi BDW (Drive-By-Wire).

Transformasi rekaan luaran membabitkan penukaran komponen standard seperti bampar hadapan dan belakang, gril krom hadapan, set lampu belakang baharu dan rim aloi 15 inci.

Perubahan ruang kabin pula membabitkan pengemaskinian papan pemuka dan konsol tengah dengan tema warna baharu. Lampu pencahayaan latar belakang meter kini berwarna biru.

Satu pembaharuan yang dapat dilihat dengan mata kasar ialah ciri ECO. Ia akan menyala sekiranya anda memandu secara efisien.

Tambahan lain termasuklah perehat kepala dan kerusi tengah barisan belakang yang dilengkapi tali pinggang keledar tiga pin ELR.

Teknologi keselamatan yang ada pada City ialah beg udara SRS berkembar, ISOFIX, sistem brek antikunci (ABS) dengan Agihan Kuasa Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA).

Untuk varian Grade E, ia memiliki beberapa komponen tambahan. Antaranya ialah paddle shift bersama alat kawalan audio pada stereng yang dibalut material kulit, lampu kabus dan enam unit pembesar suara.


INSTRUMEN meter dengan latar belakang pencahayaan biru mengurangkan kelesuan mata.


Teknologi VSA

Turut diberikan ialah perehat tangan untuk tempat duduk belakang dengan pemegang cawan, cermin pandang sisi bersama isyarat membelok yang boleh dilipat dengan menekan butang dan rim aloi 16 inci.

Apa yang perlu diberi perhatian ialah aplikasi Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) pada varian Grade E. Buat pertama kalinya, Honda Malaysia memasang teknologi sistem keselamatan aktif itu ke dalam model asasnya.

VSA berfungsi membantu menstabilkan semula kenderaan sekiranya berlaku masalah pembelokan kurang (understeer) atau belok lebih (oversteer).

Untuk itu, pujian harus diberikan kepada Honda Malaysia kerana menyuntik teknologi sedemikian ke dalam kenderaan asas, sedangkan masih banyak kenderaan dalam segmen C dan D yang tidak memiliki ciri berkenaan.


KAWALAN atau tetapan radio boleh dibuat menerusi butang kawalan pada stereng Honda City Grade E.


City 2012 didatangkan dalam lima pilihan warna iaitu coklat, putih, hitam kelabu dan perak. Harga jualan termasuk insurans bagi varian Grade S adalah RM85,980 seunit dan RM90,980 untuk Grade E. Bagi mereka yang ingin memasang pakej bodykit Modulo, anda hanya perlu menambah sebanyak RM2,950.

Ueno mengunjurkan jualan sebanyak 2,000 unit Honda City 2012 setiap bulan.

Walaupun berada dalam segmen B yang amat sengit persaingannya, Honda City masih memiliki kekuatan dari segi kebolehpercayaan produk.

Bagi saya, itulah antara kelebihan penting yang ada pada jenama Honda jika dibandingkan pesaing-pesaing terdekatnya.

Namun, Honda tidak boleh bergantung kepada kekuatan itu selama-lamanya. Jika tiada pembaharuan atau penambahan ciri seperti para pesaingnya, sisi kompetitif Honda pasti tidak mampu untuk kekal lama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: