Saturday, July 7, 2012

Kelahiran semula sebuah legenda


CAMARO baharu ini tetap mengambil gaya rekaan Camaro klasik yang kekal segar.


JIKA ditanya model klasik Proton yang melekat di minda ramai orang, pasti Saga adalah jawapannya. Jika ditanya model Volkswagen pula, pasti Beetle menjadi jawapan. Atau pun jika ditanya model motosikal Honda yang klasik, pasti Honda Cub adalah jawapannya.

Namun apa pula jawapannya untuk jenama Chevrolet atau lebih senang disebut Chevy sahaja? Jawapannya ialah Camaro. Nama Camaro begitu kuat hingga saya tidak pasti adakah ramai orang di sebelah benua Asia tahu bahawa Chevy yang sinonim dengan kereta massa adalah pengeluar Camaro.

Chevy Camaro ialah sebuah kereta muscle Amerika Syarikat (AS) yang berjaya mencuri hati ramai orang di serata dunia. Model itu begitu ikonik hinggakan imejnya berada di mana-mana. Dicetak pada kemeja-T, poster dinding, filem dan kini ia sudah menjangkau usia empat dekad.

Selepas tempoh yang panjang itu, Camaro bakal memasuki semula pasaran Eropah secara rasminya dan secara tidak langsung membawa juga budaya AS. Model baharu Camaro tampil dengan imej yang lebih kontemporari dengan ekspresi warisan Camaro,

'Hidungnya' berbentuk V, badannya lebar, kedudukannya teguh, manakala 'bahu' belakangnya juga lebar. Menariknya, lampu LED belakang apabila dinyalakan susunan cahaya lampunya berbentuk seperti kaca mata hitam Ray-Ban Wayfarer.

Ciri-ciri rekaan Camaro memberi tabik hormat kepada Camaro klasik dan menempatkan rekaan baharu ke dalam dunia reka bentuk moden.

"Camaro adalah lambang kepada prestasi, kuasa dan teknologi. Ia menawarkan nilai untuk wang yang tidak boleh ditandingi oleh pesaing kami," kata Presiden dan Pengarah Urusan Chevrolet Eropah, Susan Docherty.

Kemasukan semula Camaro ke dalam pasaran Eropah bukan kerja tangkap muat sahaja. Ini kerana model itu diuji di litar Nurburgring di Jerman dan ditala semula untuk menepati cita rasa pemandu Eropah.

Hasilnya, Camaro menggunakan suspensi baharu dan menerima pelbagai penambahbaikan. Di atas kertas, Camaro dengan transmisi manual miliki kuasa 432PS dengan 569Nm tork pada 4,600rpm. Kuasa tersebut disumbang oleh unit enjin 6.2 liter V8.

Pecutan dari sifar hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya mengambil masa 5.2 saat untuk model coupé dan 5.4 saat untuk model convertible.

Camaro dengan transmisi automatik, kuasanya bagaimanapun lebih rendah iaitu 405PS dengan 556Nm tork pada 4,300rpm. Namun, kuasa pecutan 0-100km/j hanya 0.4 saat lebih perlahan daripada versi manual.

Sementara pecutan model convertible pula adalah 5.6 saat. Kelajuan maksimum yang mampu dicatatkan oleh Camaro pula adalah 249km/j.

Jika ada yang bertanya apakah perbezaan antara Camaro versi Eropah dan AS, jawapannya ialah model itu memiliki intipati yang sama dengan model Camaro 2SS di AS.

Walau bagaimanapun, versi Eropah mempunyai talaan suspensi tersendiri. Talaan tersebut dibuat dengan kekenyalan suspensi dioptimumkan dan kestabilan pergerakan lateral untuk pemanduan pada kelajuan tinggi supaya kereta mudah dikendalikan.

Pakej sistem suspensi baharu itu mempunyai talaan semula pada damper depan dan belakang. Bar penstabil hadapan juga lebih padu, bersaiz 23mm untuk depan dan 24mm pada belakang. Sistem suspensi yang diberi nama FE4 itu begitu popular dan turut akan ditawarkan pada model domestik AS (USDM).

"Objektif kami adalah untuk membina suspensi sport yang lebih jitu dan berkeupayaan jika dinilai pada aspek pengendalian.

"Kami mengaplikasikan pengalaman daripada ujian di litar untuk menambah baik geometri suspensi bagi membolehkan selekoh diambil dengan lebih yakin, keseimbangan ebih neutral semasa pusingan selekoh yang keras dan mengurangkan pembelokan kurang (understeer) ketika prestasi kemuncaknya," kata Ketua Jurutera Camaro, Al Oppenheiser.

Janaan kuasa yang tinggi daripada enjin V8 dijinakkan di atas jalan raya oleh roda aloi bersaiz 20 inci dengan tayar Pirelli P-Zero. Untuk menghentikan beratus kuasa kuda itu, Camaro memerlukan brek Brembo empat omboh yang digabungkan dengan StabilitiTrak dan kawalan cengkaman. Ini bagi memastikan pemberhentian yang lebih efektif, selain sewaktu mengambil selekoh dengan laju.

Harga sebuah Camaro Coupe di UK bermula dari RM174,000 hingga RM206,000 seunit, bergantung kepada versi dan spesifikasi.

Untuk pengetahuan anda, walaupun Camaro boleh dikatakan sebagai kereta yang sukar ditemui (rare) namun sudah ada rakyat tempatan yang memilikinya.

Pada saya, bukan sebab apa pun, kereta itu mempunyai pengaruh yang kuat sebagai sebuah lagenda, semuanya dek kerana pengaruh imej Camaro semasa zaman kanak-kanak, tidak begitu?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: