Saturday, July 7, 2012

Atmosfera angkasa lepas dalam restoran



SESUAI dengan namanya, restoran berputar yang berada pada ketinggian 282 meter di puncak Menara Kuala Lumpur, Atmosphere 360 menampilkan 99 peratus pembaharuan selepas Asian Kitchen (M) Sdn. Bhd. mengambil alih pengurusan restoran itu sejak pertengahan tahun lalu.

Diberi jenama baharu iaitu Atmosphere 360, makan malam di puncak menara bersaksikan pemandangan ibu kota kosmopolitan Kuala Lumpur ternyata berbeza sama sekali berbanding menikmati sajian di restoran lain.

Dengan konsep dan dekorasi lebih futuristik ia pasti mempesona setiap mata yang memandang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Asian Kitchen (M) Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Sabri Mohd. Nadzir, pembaharuan Atmosphere 360 merangkumi rekaan dalaman, pemilihan tema, pencahayaan dan barisan chef yang mencipta magis di Atmosphere 360.

"Kontrak pengurusan restoran ini diterima Ogos tahun lalu dan proses pengubahsuaian dan renovasi dilakukan hanya dalam masa enam minggu.

"Boleh dikatakan, semua yang bakal anda lihat dalam Atmosphere 360 adalah 99 peratus baharu," katanya semasa sesi temu bual di Atmosphere 360 baru-baru ini.

Jelas Mohd. Sabri, masih ramai yang tidak tahu bahawa restoran berputar di Menara Kuala Lumpur yang dahulunya dikenali sebagai Restoran Berputar Seri Angkasa sudah bertukar pengurusan dan mengalami pembaharuan sepenuhnya.

Atmosphere 360 kini mempunyai enam orang chef yang mempunyai kepakaran masakan berbeza dan mempunyai dapur masing-masing seperti pakar dalam masakan tradisional Melayu, Asia Barat, pastri dan kek selain masakan Jepun dan Cina.

Elemen baharu

"Gabungan elemen-elemen baharu dalam perkhidmatan Atmosphere 360 menjadi satu kombinasi yang memenuhi tema restoran ini iaitu Feel Good, Taste Good, See You at The Top," katanya.

MOHD. ZAIN memperkenalkan hidangan signatur Atmosphere 360 seperti ekor lembu asam pedas dan patin masak tempoyak.


Beliau mahu setiap pelanggan yang berkunjung ke Atmosphere 360 merasai pengalaman menarik dan indah untuk dikongsikan dengan orang lain.

"Restoran ini dicipta mengambil inspirasi sebuah kapal angkasa. Ia lengkap dengan pencahayaan dan pemandangan yang indah dan gentian optik lampu siling seperti gugusan bintang.

"Di dinding restoran pula, terdapat banyak gambar berkaitan angkasa lepas yang dibeli daripada pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dan mendapat rujukan daripada ahli astronomi sebelum dipamerkan," katanya.

Mungkin ramai yang takut berkunjung ke Atmosphere 360 kerana menganggap harganya mahal, namun Mohd. Sabri memberitahu, pengunjung boleh datang mengikut masa-masa tertentu mengikut pakej harga hidangan yang ditawarkan.

Menu istimewa

Selain menyediakan hidangan makan malam secara bufet, pada masa Atmosphere 360 menawarkan bufet makan tengah hari, minum tengah hari, minum petang dan minum malam, koktel serta ala carte.

"Hidangan bufet untuk makan tengah hari adalah RM88 bagi dewasa dan RM68 bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, manakala minum tengah hari berharga RM58 untuk dewasa dan RM48 bagi kanak-kanak.


MENJAMU selera di ketinggian 282 meter di puncak Menara Kuala Lumpur satu pengalaman menarik.


"Harga untuk hidangan minum petang pula adalah RM68 bagi dewasa dan RM48 bagi kanak-kanak, manakala makan malam bufet adalah RM198 bagi dewasa dan RM138 untuk kanak-kanak," katanya.

Pengunjung juga berpeluang menikmati hidangan istimewa serawa durian dan pankek durian yang disajikan secara ala carte.

"Hidangan ini amat laris dan sentiasa habis kerana rakyat Malaysia sememangnya menggemari raja buah itu," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Sabri memberitahu, Atmosphere 360 turut mengadakan promosi makan malam lewat dan minum malam bertemakan hidangan Asia Barat yang bermula pukul 11 malam hingga 2 pagi.

"Promosi ini diadakan bermula bulan Jun lalu hingga Ogos 2012 kerana pada masa sekarang ramai pelancong dari Asia Barat melancong ke Kuala Lumpur dan datang ke Menara Kuala Lumpur.

"Mereka mempunyai budaya makan malam lewat, justeru kami mewujudkan promosi ini bagi mengalu-alukan kedatangan mereka dan pengunjung yang gemar bersantai pada lewat malam," katanya sambil memberitahu 80 peratus pengunjung terdiri daripada pelancong.


SEBANYAK 99 peratus kelainan ditawarkan Atmosphere 360 merangkumi set meja makan, pencahayaan, dekorasi dan tema.


Bagaimanapun katanya, beliau menggalakkan mereka yang berminat datang ke Atmosphere 360 supaya membuat tempahan awal lebih-lebih lagi pada hujung minggu.

"Sempena pengubahsuaian yang diadakan sebelum pembukaan restoran ini, kami telah mengehadkan tempat duduk sebanyak 250 tempat sahaja berbanding 300 sebelum ini bagi memberi lebih privasi kepada pengunjung.

"Disebabkan itu, kami tidak mahu ada pengunjung yang bersusah payah datang ke sini terpaksa menunggu lama dan akhirnya membuat keputusan untuk beredar kerana lewat mendapat tempat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: