Monday, July 2, 2012

Peragaan busana tradisi Borneo

FERDINAND mengenakan pakaian tradisinya serta lengkap dengan aksesori.


FESTIVAL Enggang Borneo yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula pada 6 hingga 8 Julai ini bukan sahaja mempromosikan kebudayaan masyarakat Sabah dan Sarawak, malah pengunjung berpeluang menyaksikan peragaan pakaian tradisi yang berusia ratusan tahun.

Festival yang akan berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur itu menampilkan peragaan pakaian lebih 20 suku kaum di Sabah dan Sarawak.

Lebih unik lagi, pakaian tradisi tersebut hakikatnya sukar diperoleh kerana ia hanya disimpan oleh waris terdekat suku kaum terbabit.

Seorang peserta, Ferdinand Rayner, 27, bakal memperagakan pakaian milik datuknya yang berusia lebih 100 tahun pada pertandingan pakaian tradisi Keling yang berlangsung pada 7 Julai ini.

Anak jati Kuching, Sarawak itu sebelum ini pernah menjuarai beberapa kali pertandingan seumpamanya di Kuching. Ferdinand mengakui keaslian pakaian milik datuknya itu menjadi faktor kemenangannya.

Gaya pahlawan

"Bagi pertandingan seperti ini, keaslian pakaian amatlah penting selain memiliki aksesori unik serta kreatif menggayakan tarian," kata lelaki berketurunan Bidayuh itu ketika ditemui pada sesi latihan di Matic baru-baru ini.

Tambahnya, peserta lelaki berhadapan dengan cabaran yang besar kerana mereka perlu menggayakan diri sebagai seorang pahlawan selain menonjolkan diri menerusi tarian.

Walau bagaimanapun, kakitangan swasta itu memberitahu, dia sudah bersedia untuk melakukan persembahan dan tidak meletakkan sebarang sasaran dalam pertandingan itu.

"Saya memang suka menyertai pertandingan seperti ini. Lagipun, ia merupakan tanggungjawab kami (masyarakat Sabah dan Sarawak) untuk memperkenalkan budaya kami kepada orang luar," jelasnya.

Bagi bekas juara pertandingan Kumang Gawai 2011, Velentine Hellyiza Stephen, 22, dia mahu menggayakan pakaian milik nenek moyangnya yang juga mencecah usia lebih 100 tahun.

Bagi anak tunggal itu, penyertaannya dalam pertandingan tersebut kerana kedua-dua ibu bapanya masih menyimpan pakaian tradisi itu.

"Daripada ia tersimpan, lebih baik saya memperagakannya untuk tatapan umum, lagipun hasil tenunan pakaian seperti itu amat sukar ditemui sekarang,"katanya.

Begitupun, gadis yang tidak lekang dengan senyuman itu mengakui pertandingan itu bukan sekadar mempromosikan budaya masyarakat Borneo, malah kesemua peserta yang terlibat dalam pertandingan itu menggalas tanggungjawab besar.

Ketika ditanya mengenai persiapannya, gadis manis keturunan Iban itu memberitahu, dia berusaha mengumpul maklumat sebanyak mungkin daripada ibu, bapa dan neneknya.

"Saya banyak bertanya kepada mereka mengenai sejarah masyarakat Iban dan cara pemakaian kostum yang betul," ujarnya.

Pada festival itu, seramai 68 peserta akan mengambil bahagian dalam pertandingan Kumang Iban, Keling, Kumang Bidayuh dan Keligit serta pertandingan tarian Sabah dan Sarawak.

Juara pertandingan bakal menerima wang tunai RM1,500, trofi, tiket penerbangan ke Seoul dan sijil; tempat kedua; wang tunai RM700, trofi dan sijil manakala tempat ketiga pula RM500, trofi dan sijil.


TIGA juara pertandingan Kumang Iban yang dianjurkan tahun lalu.


Sementara itu, Penyelaras Persatuan Warisan Sarawak Kuala Lumpur dan Selangor, Paren Nyawi berkata, orang ramai yang mahu menyaksikan acara tersebut perlu membayar RM30 untuk sekali masuk.

"Ini bermakna jika pengunjung mahu menonton persembahan etnik Sabah mereka perlu membayar RM30 dan kadar tersebut tetap sama pada hari-hari seterusnya," jelasnya.

Sepanjang festival itu juga terdapat gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis makanan, pakaian dan hasil kraf tangan dari Sabah dan Sarawak.

"Gerai-gerai akan dibuka pada pukul 5 petang dan produk-produk tersebut dijual pada harga yang berpatutan,"ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: