Sunday, July 22, 2012

Penyertaan pelbagai usia

pix_middle

‘MAN jadda wa jadda’ - kata-kata hikmat Arab bermaksud ‘siapa yang bersungguh-sungguh akan berjaya’ - adalah ungkapan terbaik menterjemahkan kesungguhan anak muda bersaing dalam pertandingan Nasyid bahasa Arab.

Hadir seawal jam 9 pagi, sekumpulan anak muda segak mengenakan baju Melayu sambil mengenakan tarbus atau songkok dihias kemas di kepala menarik perhatian siapa saja yang memandang.

  • Foto

    UNIK...kumpulan terdiri ahli keluarga sendiri iaitu ibu bapa serta anak.

  • Foto

    TARBUS...imej padang pasir dibawa oleh wakil Al-Kauthar.

  • Foto

    WAKIL...kumpulan Sautul Imtiyaz dari MRSM Felda Trolak, Perak.

  • Foto

    REBANA...antara alat muzik kumpulan Al-Farabi.

Kelompok gadis cilik pula tersenyum simpul sambil melantunkan suara lunak bagi memikat juri yang tekun meneliti persembahan peserta di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Rasa takjub kerana irama padang pasir itu mampu didendang fasih oleh peserta sekecil usia lapan tahun. Turut memeriahkan pertandingan, ada penyertaan kumpulan ahli keluarga seperti ibu bapa serta anak. Ia memberi pengalaman berbeza, meskipun sebahagian kumpulan pernah menyertai pertandingan nasyid Arab sebelum ini.


Bagi Muhammad Ashraf Sahari, pertandingan nasyid itu memberi pengalaman berbeza meskipun dia sering mewakili sekolah dalam pertandingan nasyid.


“Saya tetap rasa gemuruh walaupun sering mewakili sekolah dalam pertandingan nasyid. Saya yang bersekolah aliran agama pernah dihantar pihak sekolah ke beberapa siri pertandingan seperti Majlis Istifal antara Sekolah Agama peringkat negeri.

“Namun pengalaman kali ini masih berbeza kerana pesaing saya membabitkan pelbagai latar belakang. Saya lihat ada peserta semuda murid sekolah rendah hinggalah usia belia,” kata pelajar tingkatan lima, Sekolah Menengah Agama (Arab) Kota Tinggi, Johor itu.

Tampak menyerlah dalam persalinan baju Melayu warna merah bersama tarbus di kepala, dia berkata, kumpulannya mendapat bimbingan Ustaz Fahmi Kamaruddin.

“Lirik dua lagu digubah oleh Ustaz Fahmi sering membimbing kami dalam pertandingan nasyid. Manakala melodi nasyid, saya dan rakan menyumbang bersama supaya ia sesuai dengan suara kami.

“Alhamdulillah, selepas dua tiga kali latihan, kami mampu menghafal lirik dan mungkin kelebihan kerana kami bersekolah Arab menyebabkan ia kelihatan mudah.

“Namun kami perlu menjaga formasi supaya persembahan dapat memikat hati juri,” katanya yang turut hadir bersama Ustaz Fahmi serta pengurus kumpulan, Muzaidi Muzamil.

Nor Zulfa Sainal, 14, pula kelihatan teruja dengan penyertaan sulungnya mewakili Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Trolak, Perak. Hadir bersama 10 rakannya, dia berkata, ini kali pertama dia memasuki pertandingan nasyid Arab.

“Seronok dan perasaan gemuruh bercampur gaul. Namun mengingatkan peluang serta pengalaman dapat mewakili sekolah, saya bertekad melakukan yang terbaik untuk sekolah.

“Sekolah memilih saya daripada sesi uji bakat khusus untuk menubuhkan kumpulan nasyid terbabit. Ditambah lagi dengan kesusahan menghafal dan berlatih formasi selama tiga minggu bersama rakan meyakinkan saya untuk membuat persembahan,” katanya yang bakal mendendangkan lagu bertajuk Hiwayati atau hobi.

Muhammad Luqman Haquim, 19, pula berkata, dia tambah bersemangat kerana lagu yang dipersembahkan adalah nukilan sendiri sambil dibantu rakannya, Aizil Aswadi Shukor, 29.

“Meskipun hanya tiga hari berlatih lirik, lagu serta formasi sesuai sempat dihasilkan.

“Mujur sembilan ahli lagi kumpulan mempunyai asas bahasa Arab, jadi mereka cepat menguasai lirik dan formasi, sekali gus membantu menyerikan persembahan,” katanya.

Luqman berkata, dia berpuas hati melihat kerja keras dan komitmen rakan sepasukan dalam memberi persembahan terbaik.

Tidak terkecuali, kehadiran kumpulan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Mohd Redza, Seremban, Negeri Sembilan bersama ‘prop’ menarik membuatkan kredit diberikan terhadap kumpulan terbabit.

Menurut ketua kumpulan Iltizam, Muhammad Thaqif Amzar, dia menghargai kesungguhan ustazah membimbing kumpulannya, Hasnah Mansur.

“Ustazah banyak memberi dorongan dan membantu persiapan ‘prop’ dalam persembahan. Walaupun ada penonton tidak tahu makna lagu kami, mereka faham apa yang cuba kami sampaikan,” katanya yang berlatih bersama rakan selama dua minggu selepas sesi sekolah.

Sementara itu, Pengarah Urusan Saffron Integrated Marketing, Ahmad Fauzi Mohamad berkata, sambutan sangat menggalakkan, malah ada yang sanggup datang dari Johor serta Kedah untuk menyertai pertandingan.

“Melihat kesungguhan peserta menyertai pertandingan ini membuatkan objektif penganjuran, iaitu memperkasakan program pengajaran dan pembelajaran JQAF (singkatan kepada Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain), terutama membabitkan bahasa Arab dengan kaedah muzik, tercapai.

“Bagi yang menang, kita akan tawar peluang merakam album Arab di studio dan ia akan diletakkan sebagai artis bawah pengurusan syarikat kami.

“Kita juga akan meneruskan penganjuran pertandingan ini pada tahun depan pada skala lebih besar,” katanya.



PROFIL 1:

NAMA: Muhammad Luqman Haquim
UMUR: 19 tahun
ASAL: Batu Pahat, Johor
KUMPULAN: Al-Farabi
LAGU: Al-Quran An Jabbar Tahmilul Ummah (Al-Quran menjana transformasi ummah)


PROFIL 2:

NAMA: Nor Zulfa Zainal
UMUR: 14 tahun
ASAL: Felda Trolak, Perak
KUMPULAN: Sautul Imtiyaz
LAGU: Hiwayati (Hobi)


PROFIL 3:

NAMA: Muhammad Ashraf Sahari
UMUR: 17 tahun
ASAL: Pasir Gudang, Johor
KUMPULAN: A- Kauthar
LAGU: Tarakib Tarhib (Ucapan Harian)


PROFIL 4:

NAMA: Muhammad Thaqif Amzar
UMUR: 14 tahun
ASAL: Seremban, Negeri Sembilan.
KUMPULAN: Iltizam
LAGU: Nazalam Mathor (Hujan Turun) dan Sadiqi (Sahabatku)


INFO:

  • Pertandingan Nasyid Bahasa Arab 2012 anjuran Saffron Integrated Marketing.

  • Diadakan di Dewan Solat Bawah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.

  • Disertai 12 kumpulan dari seluruh negara.

  • Johan menerima RM3,000, naib johan RM2,000 dan ketiga RM1,000 manakala yang lain menerima sagu hati.
  • 1 comment:

    Tinggalkan Komen Anda Sini: