Sunday, July 22, 2012

Muzik unik Nanta Cookin’

KENANGAN...delegasi media dari Malaysia, Indonesia dan Vietnam yang menyertai 2012 LG Home Appliances Green Health Plus Press Tour.
KENANGAN...delegasi media dari Malaysia, Indonesia dan Vietnam yang menyertai 2012 LG Home Appliances Green Health Plus Press Tour.

PERILAKU melagakan perkakas dapur seperti pisau, kuali, periuk mahupun penyapu sememangnya mampu membuatkan individu mengalami tekanan gara-gara bunyi menyakitkan telinga, selain tidak sopan mengikut norma kehidupan masyarakat Timur.

Bagaimanapun, masyarakat Korea Selatan menganggap perbuatan itu sebagai satu muzik, keseronokan, kreativiti dan drama dalam kehidupan mereka.

  • Foto

    HADIAH...cenderamata dari negara K-Pop.

  • Foto

    SESAK...masyarakat Korea yang membanjiri lokasi tumpuan pelancong Myeong Dong.

  • Foto

    FESYEN...tarikan mampu membuatkan golongan wanita rambang mata.

  • Foto

    LAMBAKAN...lambakan butik kosmetik memenuhi Myeong Dong.

Ia terbukti dengan penerimaan menggalakkan daripada orang ramai terhadap siri persembahan muzikal pentas, Nanta Cookin’ yang kali pertama diadakan di Hoam Art Hall, Seoul pada Oktober 1997.

Kunjungan ke Korea Selatan buat kali kedua menggalas tanggungjawab kerja menyertai kempen 2012 LG Home Appliance Green Health Plus Press Tour anjuran LG Electronics (LG), baru-baru ini, mempertemukan penulis dengan seni muzik baru hasil inspirasi masyarakat negara kimchi.


Berlatar belakangkan tiga lelaki bersama seorang wanita beruniform putih bersih, apron tersemat kemas di badan dan kepala pula dihiasi topi chef yang sibuk memotong kobis menggunakan pisau panjang di atas papan pemotong masing-masing, tiba-tiba seorang daripada tiga pembantu chef tidak sengaja ‘menerbangkan’ cebisan sayuran ke arah teman di sebelah.


Tidak berpuas hati dengan kecuaian dan kelalaian si teman, pembantu chef pertama cuba mengetuk kepala lelaki berkenaan menggunakan pisau dipegang namun apabila me­nyedari reaksi itu, secara spontan bakal mangsa mengangkat pisau cuba menghalang perbuatan itu, lantas terhasilnya ‘muzik’.

Apabila mengetahui pembantunya mula leka bermain di dapur, ketua chef mengetuk pisau di tangan ke atas papan pemotong dan tindakan sama dilakukan pembantu perempuan dengan niat menghentikan pergaduhan mereka.

Permulaannya, telinga penulis menangkap bunyi yang sangat membingitkan tetapi apabila setiap ketukan menggunakan perkakas dapur disusun mengikut tempo dan giliran tertentu, terhasillah irama muzik menarik serta unik, sekali gus tepukan penonton mengiringi alunannya.

Kira-kira lima minit ‘muzik’ dimainkan, kemudian muncul lelaki bermisai memakai kot sambil tangan di pinggang, riak wajahnya menzahirkan perasaan marah menyaksikan kelakuan pekerja di dapur restorannya.

Dengan pantas, pengurus itu mengejar keempat-empat stafnya menggunakan penyapu tersandar di dinding hingga menyelerakkan bahan mentah di lantai, lantas mengundang tawa hampir 386 penonton.

Selepas menerima hukuman, dua pekerja yang membuat onar pada permulaannya ditugaskan membersihkan ruang dapur supaya kerja memasak dapat diteruskan.

Sekali lagi, perbalahan antara mereka timbul dan perkakas dapur dijadikan senjata pertahanan diri, serentak muzik indah itu bergema memenuhi dewan khas Myeong Dong Theater, Seoul.

Penyertaan penulis bersama delegasi media dari Malaysia, Indonesia dan Vietnam bukan satu-satunya kelompok warga asing yang menyaksikan persembahan berkenaan, sebaliknya ramai pelancong, terutama dari Eropah, memenu­hi tempat duduk.

Sedikit kecewa apabila hasrat penulis untuk merakam gambar sebagai tanda kenangan tidak dapat dipenuhi apabila larangan dinyatakan sebelum memasuki dewan.

Persembahan ‘bisu’ dan hanya sesekali pelakon berbahasa Korea atau Inggeris, Nanta Cookin’ sebenarnya memiliki nama besar di kalangan masyarakat Korea, apatah lagi ia turut dikatakan satu persembahan paling lama diadakan dalam sejarah negara berkenaan.

Menariknya, persembahannya bukan saja memperkenalkan elemen muzik baru, bahkan turut diserikan dengan tarian akrobatik, silap mata, komedi, pantomim dan juga penyerta­an antara pelakon bersama pengunjung.

Pernah dipentaskan di 18 negara seluruh dunia, termasuk New York, muzikal Nanta Cookin’ sebenarnya menceritakan tiga tukang masak cuba memenuhi tempahan majlis perkahwinan dalam jangka masa terhad.

Akibat kekangan itu, pengurus restoran memasukkan anak saudaranya yang tidak berkemahiran menyertai dapur, sekali gus menimbulkan masalah di kalangan kakitangan.

Pengalaman pertama penulis menyaksikan kehebatan pelakon melahirkan muzik dan melakukan aksi akrobatik meninggalkan kesan mendalam dan menarik untuk dikongsikan bersama, malah tempoh satu jam 30 minit persembahan berlangsung tidak terasa lama mahupun bosan.

Nyata keputusan tidak pulang berehat di Hotel Millennium Seoul Hilton tajaan LG selepas mengunjungi Menara Namsan yang terkenal dengan kunci cinta, membuka kesempatan kepada penulis untuk mengenali satu lagi sisi istimewa di Korea.

Pelancong yang berhasrat ke Korea disaran menyaksikan Nanta Cookin’ biarpun harganya mahal iaitu antara RM100 hingga RM160, namun anda pasti berpuas hati sejurus tirai pentas persembahan dilabuhkan.

Lokasi hotel yang terletak berdekatan pusat tumpuan pelancong, Namdaemun membuatkan penulis tidak sabar-sabar mahu menerokai keistimewaannya serta mencari buah tangan untuk dibawa pulang ke tanah air.

Agak menyedihkan apabila ‘syur­ga dunia’ itu hanya ber­operasi dari 10 pagi hingga sembilan malam, berbeza de­ngan Myeong Dong yang sentiasa ‘hidup’ sehingga awal pagi.

Kesibukan menghadiri sesi taklimat dan temubual bersama individu penting LG, malah terbang ke Busan untuk melihat lebih dekat proses pembuatan mesin basuh tidak menghalang niat penulis mengunjungi Namdaemun biarpun jam mencecah 10 malam.

Bersama wakil media dari TV3, berbekalkan baju sejuk nipis, kami menyusuri setiap lorong pasar pelancong yang menawarkan harga barangan jauh lebih murah antara RM3 hingga RM20 bergantung kepada jenis cenderahati.

Seperti disaksikan menerusi siri drama Hallyu, ada gerai kecil menjual makanan dan ‘soju’ (minuman beralkohol Korea) dilitupi plastik jernih membentuk ruangan pelanggan dipenuhi warga Korea memakai kot berbual dengan nada suara kuat.

Ada segelintir pekedai mengajak penulis dan teman memanaskan badan di gerainya, namun kami hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala sebelum pulang ke hotel bersama cenderahati dari Korea selepas dua jam menerokai lorong Namdaemun.

Kesempatan mengunjungi Myeong Dong yang juga lokasi kegemaran pelancong di Seoul sememangnya peluang dinantikan penulis, apatah lagi kunjungan kali pertama atas tiket bercuti sebelum ini gagal memuaskan hati gara-gara kesuntukan masa.

Biarpun kunjungan dilakukan pada hari bekerja dengan harapan lokasi berkenaan tidak dipenuhi orang ramai, namun sebaliknya berlaku apabila hampir setiap pelosok Myeong Dong dikerumuni masyarakat Korea sama ada pekerja, pelajar, anak muda mahupun golongan dewasa sibuk membeli-belah.

Paling membuatkan penulis tertarik ialah fesyen pakaian warga Korea yang tampak menarik dan bergaya tanpa mengira perbezaan umur, sukar melihat mereka memakai baju, seluar mahupun kasut yang sama rekaannya, sekali gus menunjukkan identiti personaliti berlainan.

Rambang mata melihat pelbagai fesyen ditawarkan lebih 200 kedai di Myeong Dong, penulis menasihatkan supaya kerap melakukan tinjauan harga sebelum membeli kerana terselit premis busana menawarkan harga jauh lebih rendah. Jika bernasib baik, anda boleh mendapat harga antara RM15 hingga RM30 untuk pakaian sama.

Juga diingatkan supaya pelancong mengetahui saiz baju mahupun seluar ingin dibeli kerana kebanyakan butik mahupun kedai di Myeong Dong tidak membenarkan pelanggan mencuba terlebih dulu, selain tiada unsur penawaran harga.

Mengetahui pengaruh kuat artis Korea Selatan terhadap masyarakat dunia, hampir kebanyakan pekedai memanfaatkan kelebihan itu dengan meletakkan gambar pelakon dan penyanyi terkenal untuk menarik perhatian pelancong memasuki premis masing-masing.

Di Myeong Dong juga, pelancong digalakkan mengunjungi butik kecantikan yang memenuhi lorong di kawasan berkenaan. Selain mempunyai banyak pilihan sama ada Skin Food, Etude House dan Nature Republic, harga ditawarkan jauh lebih murah berbanding di Malaysia, malah ia juga boleh dijadikan cenderamata untuk teman.

Menyedari persaingan sengit antara jenama, hampir di depan setiap premis kecantikan, seorang wanita muda cantik akan memanggil dan mengalu-alukan kedatangan pelanggan, selain tidak kedekut memberikan pek percubaan seperti krim BB dan pelembap wajah kepada pengunjung.

Permulaannya, penulis tidak mengharapkan pengalaman menarik dalam kunjungan kali kedua ke Korea Selatan kerana yakin ia hanya menjurus kepada tugasan diberi.

Namun, kesempatan menge­nali keistimewaan sama ada daripada segi budaya dan kesenian negara berkenaan membuatkan penulis tidak teragak-agak menjadikan Korea satu destinasi pelancongan pilihan di masa depan kerana banyak perkara lain mahu ditempuhi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: