HARAPAN...kanak-kanak Muslim Kemboja, terutama golongan Zahideen perlu bimbingan agama.
SUDAHLAH daif dari segi material, mereka juga daif dalam asas agama. Golongan Zahideen percaya, selain daripada kitab al-Quran, kononnya ada buku lain yang menjadi panduan umat Islam, iaitu gyude.
Begitupun, golongan Zahideen sebenarnya bukan masyarakat yang mengamalkan ajaran sesat, sebaliknya mereka adalah sekumpulan umat yang tidak menerima ajaran Islam secara sempurna.
Ketika mengikuti rombongan media dalam misi mendekati umat Islam di negara itu, penulis berpeluang mengenali lebih dekat masyarakat Zahideen dengan pertemuan bersama Hassan Soleh, 30, bekas pengamal cara hidup golongan ini.
“Mereka (golongan Zahideen) bukan sesat. Cuma ilmu agama mereka tidak cukup,” kata Hassan yang fasih berbahasa Melayu dan Arab.
Hassan terus mengamalkan cara hidup masyarakat Zahideen hinggalah dia melanjutkan pengajian ke sekolah tinggi dan seterusnya ke Madinah ketika berusia awal 20-an.
“Selepas melanjutkan pengajian dan mendalami Islam, baru saya sedari apa diamalkan masyarakat Zahideen sebenarnya menyimpang daripada ajaran Islam sebenar,” katanya.
Daripada apa yang Hassan fahami, kepercayaan Islam dalam masyarakat Zahideen sama saja dengan orang Islam lain, cuma amalan ibadat mereka tidak betul.
Menurutnya, golongan ini menganggap solat hanya perlu pada hari Jumaat saja, dan untuk hari lain cukup sekadar sematkan dalam hati. Pada Ramadan, mereka hanya berpuasa pada tiga hari awal, tiga akhir pertengahan dan tiga hari terakhir.
“Masih ramai berpegang pada ajaran salah ini hinggakan di beberapa kampung, mereka mempunyai imam sendiri dan ada negeri melantik mufti di kalangan orang Zahideen.
“Kesilapan itu perlu diperbetulkan dalam masyarakat Zahideen supaya mereka tidak terus silap dalam mengerjakan ibadat mengikut ajaran Islam sebenar,” katanya.
Kini, Hassan giat mengambil inisiatif menjalankan aktiviti dakwah untuk memperbetulkan semula cara hidup Islam yang diamalkan golongan Zahideen.
Untuk tujuan itu, dia menjalin kerjasama dengan Koperasi Muslim Kemboja (KMK) bagi menjalankan aktiviti dakwah terhadap golongan berkenaan.
Dalam KMK, Hassan adalah Pengurus Bahagian Pendidikan dan Dakwah yang memainkan peranan untuk merealisasikan tujuan itu.
Dia turut menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Jamiliah al-Hidayah yang bertanggungjawab khusus untuk berdakwah di kalangan golongan muda dan kanak-kanak Zahideen.
“Saya percaya, untuk membawa mereka (Zahideen) ke jalan Islam sebenar, ia perlu bermula dengan generasi muda. Jika tidak, generasi akan datang akan terus menerus hidup dengan ajaran Islam yang terpesong,” katanya.
Buat masa ini, tidak dapat dipastikan berapa ramai umat Islam di Kemboja tergolong dalam golongan Zahideen.
Begitupun, golongan Zahideen boleh ditemui di 96 perkampungan di seluruh Kemboja membabitkan empat wilayah utama.
Di wilayah Chhnang ada 40 perkampungan, wilayah Battambang (30), wilayah Pursat (20) dan enam perkampungan di wilayah Kompot.
Bagi sebilangan umat Islam Kemboja, golongan Zahideen dianggap ‘orang asli’.
Golongan ini juga didakwa berasal dari Vietnam, bahkan ada sebuah perkampungan di Vietnam bagi penempatan golongan ini di Wilayah Bang Rang.
Hassan berkata, setakat ini dia bersama KMK mendapat sedikit halangan untuk meneruskan dakwah di kalangan golongan Zahideen disebabkan kekangan kewangan.
Katanya, untuk berdakwah di 96 perkampungan itu membabitkan belanja besar, dan pada masa sama umat Islam di seluruh Kemboja masih memerlukan bantuan dan perhatian.
“Walaupun sumber kewangan terhad, kami (KMK) akan membuka lebih banyak madrasah di perkampungan terbabit bagi menarik golongan muda mempelajari ilmu Islam sebenar.
“Ia bukan perjalanan mudah untuk kami, tetapi ia juga bukan halangan untuk kami meneruskan impian mengukuhkan dakwah Islamiah di bumi Kemboja,” katanya.
Di setiap wilayah berkenaan, pendakwah dan ahli KMK, termasuk Pertubuhan Jamiliah al-Hidayah, kini giat menggerakkan dakwah terhadap golongan terbabit di setiap madrasah dan masjid untuk anak-anak Zahideen.
Hassan turut mengerahkan kudratnya berdakwah terhadap anak-anak Zahideen di beberapa perkampungan di Wilayah Chhnang dan sekitar Phnom Penh.
“Masyarakat Islam bagaikan baru bangkit di bumi Kemboja. Selain ingin keluar daripada kemiskinan, kami dalam usaha mengukuhkan kembali syiar Islam di sini,” katanya.
INFO:
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: