Monday, July 23, 2012

Pemudah ibadat dan pelengkap gaya



ALUNAN lagu Kain Pelikat dendangan Anuar Zain dan Ellina pasti menjentik memori lampau. Paduan melodi dan lirik ringkas menjadikan karya muzik itu mudah melekat dalam minda masyarakat sehingga ke hari ini.

Baik kanak-kanak ataupun golongan dewasa, rata-rata menggemari irama lagu Kain Pelikat. Apakah yang menyebabkan sehelai kain basahan digubah membentuk menjadi sebuah lagu? Keistimewaan kain pelikat mungkin dipandang remeh namun jasanya cukup besar kepada kebudayaan negara dan rantau Melayu.

Tiada kajian terperinci menunjukkan kain pelikat datang dari negara ini, malah kebanyakan jenama ternama pada masa kini datangnya dari negara jiran, Indonesia. Jika ada pun keluaran tempatan, ia kurang menyerlah dan sukar menembusi pasaran.

Pemodenan turut membawa pembaharuan dari segi konteks sosial masyarakat. Peradaban pada sudut pemakaian beranjak membentuk gaya moden dan adaptasi yang cuba dibawa anak-anak muda. Begitupun aura kain pelikat masih bersisa walau pengaruhnya hampir malap.


KOMBINASI kurta dan kain pelikat tenun menyerlahkan imej mewah yang ranggi pada lelaki muda.


Bekas peserta program realiti Imam Muda 3 terbitan Astro Oasis, Omar Mohd. Mokhtar, 21, berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki sepanjang bergelar lelaki Melayu yang sering dikaitkan dengan kain pelikat.

“Secara jujur saya jarang mengenakan kain pelikat kerana bergelar pelajar memerlukan saya memakai seluar ke kelas. Selalunya kain pelikat saya gunakan untuk menghadiri ceramah agama pada waktu malam yang dipadankan dengan jubah.

“Sejak kecil, saya memang tidak pernah dididik memakai kain pelikat. Tiada paksaan atau permintaan walaupun ayah saya sering menggunakan kain tersebut.

“Seingat saya, kain pelikat mula saya gunakan ketika di bangku sekolah rendah dan cara pemakaian pun tidak diajar sesiapa. Saya aplikasikan pemakaian samping kerana ia hampir serupa,” tutur Omar yang sedang menuntut dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Industri Selangor (Unisel), Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Kain pelikat pada majoriti lelaki muda lebih condong terhadap golongan berusia. Bagi mengubah perspektif itu, Omar menyarankan agar syarikat-syarikat pengeluar kain pelikat menggunakan orang-orang muda sebagai wajah promosi.

“Keberkesanannya lebih positif kerana golongan muda mahukan sesuatu yang dekat dengan jiwa mereka. Jadi apabila melihat lelaki yang berada dalam kelompok usia mereka segak berkain pelikat, secara tidak langsung mereka jadi terdorong,” luah Omar yang menggemari warna hitam.

Meskipun kain pelikat bukan kelaziman pada Omar, namun setiap kali berjalan jauh, beliau pasti membawa sehelai kain pelikat untuk tujuan bersolat.

Pelikat penyelamat

Menurut lelaki yang menetap di Melaka itu, dalam keadaan sedemikian, tahap kebersihan seluar yang dipakai mungkin boleh diragui. Ketika itulah kain pelikat bertindak sebagai penyelamat kerana kesuciannya diyakini.


BUDAYA berkain pelikat kian tenggelam dalam kalangan anak muda yang beranggapan ia pakaian yang meremehkan.


Dengan ketibaan Ramadan tidak lama lagi, tidak salah rasanya jika kaum Adam yang masih belia memilih untuk menggunakan kain pelikat bagi menunaikan solat tarawih.

Tambah Omar, kain pelikat lebih praktikal dan mudah dibawa solat. Adab beribadat juga menuntut pakaian yang bersih digunakan. Terdapat pendapat mengatakan, seluar yang dibawa ke tandas kurang sesuai dipakai untuk sembahyang namun ia tidaklah haram atau ditegah.

“Apabila ke tandas, kita mungkin tidak sedar terdapat percikan-percikan kecil najis terkena pada seluar. Najis yang melekat tersebut kemudiannya dibawa solat. Kita mungkin tidak perasan namun dari segi adab ia agak menganggu.

“Jadi, golongan lelaki dinasihatkan supaya membawa sekurang-kurangnya sehelai kain pelikat bersih bersama terutamanya mereka yang sering bekerja di luar pejabat,” saran Omar.

Cara pemakaian kain pelikat juga diberi perhatian khusus oleh Omar. Beliau akan menyarungkan kain pelikat dari atas kepala dan bukan dari bawah seperti yang dilakukan kebanyakan orang.

Mengusik aspek tatacara penggayaan kain pelikat yang menjadi kebiasaannya, Omar menguntum senyum sebelum berkongsi pandangan.

Kain pelikat putih polos yang tidak jarang bersama jubah putih atau hitam ibarat signatur Omar. Beliau gemarkan warna senada dan mudah dipadankan.

Imej suci

Kain pelikat bermotif kotak dan baju Melayu cekak musang pula rupa asas yang lebih sesuai untuk lelaki berusia. Omar sendiri tidak begitu tertarik pada gaya sebegitu tetapi jika bijak bermain dengan warna, ia mampu mencipta konsep pemakaian yang mencuri pandangan.

Berdasarkan gaya yang dilihat pada Omar, jejaka muda di luar sana diharapkan dapat meminjam inspirasi yang ditampilkan. Paduan kurta putih ringkas bersama kain pelikat berkotak kecil biru memberi imej kesucian sekali gus menyejukkan mata sesiapa pun yang melihat.

Baju Melayu teluk belanga berkotak dengan rona merah jambu dan putih tampak menarik disatukan bersama kain samarinda. Kain pelikat yang sinonim dengan lelaki Indonesia itu amat klasik kerana coraknya seakan-akan batik.


JANGAN takut bereksperimen dengan kain pelikat berlainan jenis seperti kain samarinda ini.


Sesekali, lelaki juga perlu membentuk gaya berkain pelikat berbeza. Kain pelikat tenun berpotensi menyuntik penampilan mewah dan eksklusif walaupun harganya agak sedikit mahal. Suaipadankan kain pelikat tenun dengan baju Melayu polos bagi memberi impak maksimum pada kain tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: