Monday, July 23, 2012

Helang inspirasi hidup belia


STOTTS kini gigih membantu golongan belia bermasalah di AS untuk kembali menjalani kehidupan yang lebih baik.


BENNY dan James merupakan pasangan burung helang yang dibiakkan di Arab Saudi dan kini berada Amerika Syarikat (AS) dengan misi untuk mengubah nasib belia di negara itu.

Jika ia kedengaran seperti mustahil, begitu juga kisah Rodney Stotts, yang memakai sarung tangan getah sebaik sahaja kedua-dua burung itu bertenggek di atas di tangannya di sebuah kawasan desa yang terletak kira-kira setengah jam pemanduan dari Washington.

Stotts, 41, merupakan warga Afrika-Amerika yang mempunyai lesen yang membolehkan dia menangkap, melatih dan menyimpan helang.

Mengimbau kehidupan silamnya kira-kira 20 tahun lalu, Stotts merupakan seorang pengedar dadah di salah sebuah kawasan kejiranan di bandar raya AS yang sering dibayangi jenayah dan keganasan jalanan.

"Saya merupakan seorang pengedar dadah tegar. Saya menjual pelbagai jenis dadah seperti ganja, pil dan apa sahaja asalkan ia mampu menghasilkan wang. Saya juga menyimpan beberapa jenis senjata api," katanya kepada AFP.

"Saya fikir saya tahu segala-galanya," tambah Stotts.

"Saya terlalu angkuh dengan orang di luar. Saya sanggup melakukan apa sahaja untuk memperoleh keinginan saya."

Dia tidak bersendirian dalam menjalani sisi kehidupan hitam itu, namun dia agak bertuah kerana masih terus hidup sehingga ke hari ini. Selepas menghadiri sekitar 33 majlis penggebumian beberapa kenalannya di selatan Washington pada tahun 1992, Stotts bertekad mengubah kehidupannya.

Mencari sinar hidup baru

Langkah pertamanya adalah melibatkan diri dengan aktiviti anjuran sebuah badan bukan kerajaan, Earth Conservation Corps. Diwujudkan semasa pemerintahan Presiden AS ketika itu, George H. W. Bush, ia bertanggungjawab melaksanakan projek alam sekitar melibatkan golongan belia.

Pertubuhan itu kemudiannya melantik Stotts dan lapan individu lain untuk membersihkan Empangan Lower Beaver Creek, anak sungai Sungai Anacostia yang mengalir di bahagian timur Washington.

"Kami berjaya mengeluarkan lebih 5,000 tayar terpakai. Enjin kereta, motosikal, sofa, kerusi panjang atau kabinet dapur. Sebut apa sahaja, semuanya ada," katanya.

"Selepas tiga minggu, kami mula menemui penyu, memerang dan burung bangau biru berterbangan di sekitar empangan. Ia sesuatu yang amat bermakna dan kami tidak mampu menghalang kehadiran haiwan-haiwan itu."


STOTTS antara sebahagian kecil warga Afrika Amerika yang mempunyai lesen menjinakkan burung pemangsa.


Pada masa yang sama, aktiviti itu juga membawa kembali helang botak, burung kebangsaan AS, buat pertama kalinya di ruang udara Washington sejak tahun 1954. Sejak itu, Stotts mula mempelajari mengenai spesies-spesies burung pemangsa.

Dalam tempoh itu, dia telah melatih kira-kira 10 ekor burung, membela haiwan tersebut di sangkar yang dibina di belakang rumahnya di pinggir Fort Washington, Maryland sebelum melepaskan semula ke habitat asalnya.

Tidak sekadar menjerat dan melatih burung-burung di hutan, Stotts juga membawa 'rakan baharunya' itu mengembara ke taman-taman berhampiran, kelab yang menjadi tumpuan muda-mudi, hospital dan rumah orang tua untuk berkongsi pengalamannya.

"Saya melakukannya selama 96 hari yang lalu tanpa henti. Saya membawa burung-burung itu ke kesemua lokasi berkenaan.

"Berjalan sambil membawa burung helang di tangan pastinya menarik perhatian orang ramai," katanya.

Ujarnya: "Sebahagian besar orang yang saya temui menunjukkan reaksi terkejut kerana saya berkulit hitam. Sebelum ini mereka tidak pernah melihat pengendali burung helang berkulit hitam."

Hari ini, Stotts merupakan koordinator program pengawasan burung bagi Wings Over America, salah sebuah agensi di bawah Earth Conservation Corps yang menggunakan burung pemangsa untuk mengubah kehidupan dan memberi semangat kepada golongan belia bermasalah.

Sebagai permulaannya, sebuah kawasan hutan seluas 240 hektar di luar Washington serta sebuah bangsal yang kini dalam proses pengubahsuaian dipilih bagi menempatkan burung-burung itu di samping lokasi penganjuran pelbagai aktiviti yang berkaitan.

"Saya mahu menebus semua kesalahan lampau saya dengan memberi kembali sesuatu kepada masyarakat. Saya mahu golongan belia melihat mereka mempunyai alternatif untuk mengubah kehidupan.

"Saya mahu buktikan bahawa tiada apa yang mustahil dan menghalang mereka daripada melakukannya," jelasnya.

Salah seorang yang menjadikan Stotts sebagai sumber inspirasi ialah anak tirinya, Dallas Coleman, 20. Dia turut membantu melatih Benny dan James untuk melakukan persembahan di depan khalayak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: