Tuesday, July 3, 2012

Panduan keluar bertemu janji

Berjanji temu untuk membina semula kenangan manis waktu bercinta - Gambar hiasan.

Intim
KELUAR bertemu janji semula setelah berumah tangga? Mungkin kedengaran agak pelik, namun perancangan seromantik ini boleh dilakukan oleh pasangan suami isteri yang mahu membina semula kenangan manis bertemu janji sebagaimana anda dan pasangan melakukannya kali pertama sewaktu bercinta dahulu.

Di sini diberikan beberapa panduan bagaimana anda boleh melakukan temu janji yang sempurna dengan pasangan agar ia boleh menjadi satu kenangan manis sepanjang masa.

Namun yang penting, minta sesiapa menjaga anak-anak anda ketika anda sedang dalam proses untuk ‘berjanji temu’.

Langkah pertama

Kepilkan nota atau buatlah panggilan telefon untuk memberitahu pasangan anda mengenai di manakah temu janji anda itu akan dilakukan, waktu dan bagaimana cara anda menjemput pasangan anda itu (mungkin dia baru balik dari kerja atau dia datang sendiri ke tempat itu).

Langkah kedua

Lihat dalam almari pakaian anda, keluarkan baju yang paling cantik untuk anda pakai, ketika ini si isteri disaran berdandan dan mengenakan mekap yang bersesuaian. Si lelaki pula pakailah pakaian yang paling bersih dan kemas. Kemaskan wajah dan rambut anda. Pakailah haruman.

Langkah ketiga

Selepas bertemu di satu tempat yang dijanjikan anda berdua boleh berbincang apa yang akan anda lakukan pada waktu itu. Apa yang boleh anda lakukan?:

Cari aktiviti berbeza

Makan malam dan menonton wayang mungkin sudah biasa.

Mungkin anda berdua boleh mengunjungi zoo, akuarium, pameran jalanan, bazar dan sebagainya. Jangan lupa bawa kamera.

Sekurang-kurangnya dengan cara seperti ini dapat memberikan topik yang baharu untuk diperbincangkan sepanjang temujanji anda itu selepas hanya berada di rumah sepanjang waktu dengan topik yang sama.

Menyediakan makan malam di halaman rumah.

Mungkin pihak suami akan menyediakan makan malam di halaman rumah anda dengan resipi istimewa sendiri. Kemudian selepas makan malam anda berdua boleh berjalan-jalan di bawah cahaya bulan.

Kelas sehari

Mungkin anda berdua boleh mengambil kelas sehari seperti kelas melukis, kelas foto, belayar, belajar menari, menyanyi atau sebagainya.

Pergi membeli-belah bersama. Mungkin anda boleh pergi membeli-belah bersama biarpun bukan untuk membeli barangan, mungkin untuk mencari hadiah untuk ibu atau bapa dan sebagainya.

Melihat bintang di langit.

Mungkin anda boleh berjalan berpimpinan tangan di padang lapang sambil melihat ke langit memerhatikan bintang-bintang dan berbicara mengenai hati anda.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: