Tuesday, July 3, 2012

Koleksi antik Riza Azri

Riza Azri Abd. Rahim bersama sebahagian barangan lama yang menjadi koleksinya.

DI mata sesetengah orang, botol-botol minuman, tin rokok, piring hitam, jam dan gitar lama sekadar barangan usang yang mungkin sudah patut dibakulsampahkan.

Namun berbeza bagi Riza Azri Abd. Rahim, 29, yang melihat ada nilai di sebalik barang-barang lama tersebut sehingga sanggup menyimpannya sejak.

Sebagai peminat dan pengumpul barangan antik, Riza Azri, sanggup menjelajah ke merata tempat mencari barang-barang lama yang dirasakan menyimpan nostalgia dan cerita tersendiri.

Mengimbas detik-detik awal mengumpul barangan lama katanya, ia bermula sejak zaman kanak-kanak.

"Waktu itu saya suka merayau mencari barang-barang lama yang dibuang oleh orang kampung.

"Saya kumpul untuk dijadikan koleksi. Mana barang yang dirasakan masih boleh digunakan saya akan baiki.

"Antara barang yang saya suka kumpul ketika itu adalah koleksi patung askar. Saya akan susun elok-elok koleksi tersebut di satu sudut rumah," katanya.

Riza Azri mengakui, bermacam-macam jenis barang lama dikumpulnya sehingga sampai satu peringkat sudah tiada tempat dan ruang untuk disimpan di dalam rumah.

Keadaan itu mendorongnya membuka sebuah galeri yang terletak di Bandar Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor, untuk dijadikan tempat mempamerkan koleksi barangan antiknya.

Dari situ ramai pula peminat barang antik yang berkunjung dan berminat dengan koleksinya sehingga terfikir untuk menjadikan hobi tersebut sebagai perniagaan yang menjana pendapatan.

"Pada 2003 saya mula serius mengumpul barangan antik. Merata tempat saya pergi dari Perlis hinggalah ke Johor bagi mencari barang-barang lama yang mungkin berharga.

"Kebiasaannya untuk mendapatkan koleksi antik ini saya akan pergi mencari di kampung, kedai-kedai antik dan di tempat yang menjual barangan terpakai," katanya.

Di samping itu jelasnya, dia juga akan berhubung dengan kawan-kawan melalui forum di laman sesawang untuk bertukar-tukar barangan ataupun berkongsi maklumat.

Riza Azri juga mula mendapatkan barangan dari luar negara termasuk United Kingdom, India, Yusgolavia, Amerika Syarikat dan sebagainya.

Menurut Riza Azri, antara koleksi barangan antik yang terdapat di galerinya termasuk radio, kalkulator, mesin taip, telefon, kamera, beg pakaian, pemetik api, pelbagai jenis jam, botol minyak wangi, koleksi setem dan banyak lagi.

Katanya, kebanyakan koleksi barangan lama yang ada dalam simpanannya berusia antara 20 hingga 30 tahun.

"Tetapi barangan paling berharga dalam simpanan saya adalah jam buatan Hamburg American Clock Company (HAC) berusia 120 tahun yang saya dapat dari Jerman.

"Selain itu kipas pemberian nenek saya ketika zaman kanak-kanak antara koleksi peribadi yang paling saya sayang selain basikal, kamera, kalkulator dan jam meja.

"Lazimnya, barangan yang saya perolehi akan saya perbaiki tetapi ada juga koleksi tersebut saya biarkan dalam keadaan asal supaya nilai yang ada padanya dapat dikekalkan," katanya.

Riza Azri mengakui, sesetengah barangan yang tidak boleh diperoleh di pasaran lagi sekarang. Ia tidak akan dijual walaupun ada pelanggan yang hendak membeli dan menawarkan harga tinggi.

Katanya, barang-barang seperti itu jika terus disimpan tidak mustahil nilainya akan terus meningkat pada masa akan datang.

"Nasihat saya untuk membeli koleksi antik ini, sebaik-baiknya ketahui dulu latar belakang barangan tersebut agar tidak ditipu.

"Kadang-kadang barang yang dijual tiruan dan telah diperbaharui serta dibentuk semula supaya ia kelihatan seolah-olah seperti barangan antik," jelasnya.

Menurut Riza Azri, untuk mengenal pasti usia barangan tersebut biasanya apa yang membezakannya adalah dari segi warna dan reka bentuk.

"Sebenarnya beruntung dan bertuah menjadi pengumpul barangan lama kerana secara tidak langsung kita juga dapat menimba ilmu tentang sesuatu barangan tersebut.

"Banyak faedah yang dapat dipelajari daripada barangan antik itu seperti sejarah penciptaannya, fungsi dan juga dari sudut pemasaran, jenama serta perubahan teknologi itu sendiri.

"Secara tidak langsung barangan seperti ini mampu menjadi sebagai satu bahan sejarah yang perlu diketahui oleh generasi masa akan datang," katanya.

Untuk menikmati keindahan koleksi barangan antik yang unik ini pembaca boleh layari www.rare.collectables.com atau di Facebook rare and collectables.

5 comments:

  1. Terima Kasih Tan Sri Ami Shah Maharaja Blog :)

    pembetulan
    website : www.rare-collectables.com
    facebook: Rare & Collectables

    ReplyDelete
  2. saya ader lampu lama cabang tiga(tembaga), tak tahu kat mana saya nak jual barang tersebut. boleh beri cadangan

    ReplyDelete
    Replies
    1. jual kat roadwalk penang island

      Delete
  3. brg2 antik byk dijual di roadwalk penang.sebelah rumah pusaka Tan Sri P Ramlee.sure laku sbb tmpt tumpuan pelancong.

    ReplyDelete
  4. Sekitar jb..
    Sy peniaga brg second/antik/koleksi
    Call 0177172576
    Buy,sell,trade

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: