Tuesday, July 3, 2012

Gelaran ratu matangkan Chloe

MELIHAT pada kelembutan riak wajahnya, jelas terserlah keayuan sejati seorang wanita. Ditambah pula dengan kebijaksanaan dan sifat rendah diri yang ada padanya, melayakkan Chloe Chen dinobatkan sebagai Ratu Cantik Dunia Malaysia 2011.

Personaliti Chloe yang mudah mesra dan peramah juga membuatkan mahasiswa lulusan ijazah Pengurusan Perniagaan senang didekati.

Kemenangan Chloe juga membolehkan dia mewakili Malaysia pada pertandingan Ratu Cantik Dunia 2011 yang berlangsung di London selama sebulan November tahun lalu.

"Apa yang pasti, saya telah melalui perjalanan yang begitu menarik sepanjang berlangsungnya Ratu Cantik Dunia Malaysia tahun lalu. Banyak perkara baru yang dipelajari dan ia membuatkan saya lebih matang. Ini kerana semuanya saya lakukan sendiri seperti bersolek, seterika baju dan menyusun pakaian dalam tiga beg besar," kata Chloe yang boleh berbahasa Melayu, Inggeris, Perancis dan Sepanyol.

Menyentuh tentang sisi lain hidup, Chloe yang berdarah kacukan Cina-Perancis sangat mementingkan kesihatan. Dia hanya akan mengenakan solekan jika perlu. Apabila keluar berjalan, dia gemar solekan yang nipis dan berbaju ringkas.

Chloe juga gemar bersenam di gim dan berenang sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

"Boleh dikatakan jadual saya sedikit sibuk tetapi saya pastikan tubuh badan saya cukup rehat seperti tidur dengan cukup," ujarnya.

Memperincikan tentang dirinya, Chloe berkata, dia adalah seorang 'happy go lucky'.

"Saya juga tidak takut dengan kegagalan kerana kita boleh mempelajari sesuatu dan menjadi lebih matang. Satu lagi, jangan sesekali bersikap sombong.

"Sebaliknya bersyukurlah dengan apa yang kita ada kerana siapa tahu satu nanti, kita pula akan berada di bawah," ungkapnya yang meminati Kate Hudson.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: