Sunday, July 22, 2012

Klinik global Noorul Ameen

TULANG BELAKANG...Noorul Ameen bersama sebahagian kakitangan Qualitas Medical Group yang dianggap seperti keluarga sendiri.
TULANG BELAKANG...Noorul Ameen bersama sebahagian kakitangan Qualitas Medical Group yang dianggap seperti keluarga sendiri.

TIDAK pernah terdetik dalam fikirannya untuk memiliki lebih 250 cawangan klinik bukan saja di Malaysia malah di empat negara lain iaitu Singapura, New Zealand, India dan Australia.

Ada yang ragu-ragu, tidak kurang juga yang berbangga dengan pencapaian lelaki kelahiran Taiping, Perak ini.

  • Foto

    KERJASAMA...sering mengambil berat pekerjanya.

  • Foto

    LUAS...suasana sebuah klinik di luar negara milik Noorul Ameen.

  • Foto

    BANGGA...ketika menerima anugerah Top Nominee of the Ernst & Young Entrepreneur 2011.

Meskipun ketika kecil dulu minatnya lebih terarah ke bidang muzik, siapa sangka pemilik nama Datuk Dr Noorul Ameen Mohd Ishack kini bergelar Pengarah Urusan Qualitas Health yang beribu pejabat di Petaling Jaya, Selangor.

Bapa kepada seorang cahaya mata lelaki ini dikenali dengan sifat merendah diri bukan saja di kalangan rakan dan keluarga, malah pekerjanya.


Sambil tersenyum ketika menceritakan pengalaman hidupnya bersama penulis, figura yang lebih mesra disapa Noorul Ameen ini sememangnya bercita-cita tinggi sejak kecil.


“Sebenarnya minat saya lebih kepada bidang muzik, namun rezeki nampaknya lebih terarah dalam bidang perubatan. Keluarga tidak membantah apa saja cita-cita, malah sentiasa menyokong.

“Saya memulakan langkah dalam bidang perubatan selepas menamatkan pengajian peringkat ijazah di Universiti Mysore, India, seterusnya berkhidmat bersama Kementerian Kesihatan di beberapa hospital di Pulau Pinang, Selangor dan Pahang,” katanya.

Pada 1981, beliau menyertai Angkatan Tentera Malaysia sebagai Pegawai Perubatan berpangkat kapten hingga 1984 serta pernah bertugas di Pahang dan Sarawak.

Dalam masa sama, beliau menyambung pengajian peringkat diploma dalam bidang Perubatan Sukan selain menyertai pasukan bola sepak negara sebagai doktor perubatan bermula 1983 hingga 1984.

Menurutnya, selama berkhidmat di hospital, dia mendapati tiada perkhidmatan di bawah satu bumbung. Misalnya, jika mahu mendapatkan rawatan ortopedik atau neurologi, perlu ke hospital lain.

Keadaan itu menyebabkan beliau berfikir menubuhkan pusat kesihatan, yang mana pesakit boleh mendapatkan rawatan pelbagai di bawah satu bumbung.

“Pada saya, apabila pesakit datang mendapatkan rawatan, mereka tidak perlu ke hospital lain bagi mendapatkan pemeriksaan disebabkan di hospital berkenaan tiada pakar atau kelengkapan diperlukan.

“Atas sebab itu, saya terfikir mahu membuka pusat kesihatan harian lengkap dengan peralatan dan rawatan misalnya kaunseling, dermatologi, pembedahan minor, pemeriksaan kesihatan dan lain-lain perkhidmatan di bawah satu bumbung,” katanya yang pernah bergelar Pengarah Perubatan Pusat Perubatan Selangor.

Disebabkan itu, pada 1997 beliau menubuhkan Qualitas Medical Group yang fokusnya lebih kepada penjagaan kesihatan.

Tanpa disangka, kliniknya mendapat sambutan menggalakkan dan menjadi antara klinik khidmat am terbesar di Malaysia.

“Saya terkejut dengan tindak balas diterima, namun dalam masa sama bersyukur dengan pencapaian itu. Pada 2002, tanpa diduga, saya mendapat peluang membuka cawangan Qualitas di India sebelum mengembangkannya ke Australia, New Zealand, Singapura dan dalam masa terdekat, di Sri Lanka.

“Di Qualitas, kami ada pakar dalam bidang perubatan masing-masing. Selain perkhidmatan memuaskan, bayaran dikenakan juga berpatutan,” katanya.

Ditanya tidakkah menyesal meninggalkan jawatan dan kedudukan sebelum menubuhkan Qualitas, sambil tersenyum beliau berkata, tidak pernah ada istilah menyesal dalam kamus hidupnya.

“Dulu, sewaktu mengutarakan hasrat membuka klinik sendiri kepada rakan, mereka membantah dengan alasan saya ada kerjaya dan kedudukan stabil.

“Berlainan pula dengan ibu bapa yang tidak kisah dan menyokong setiap keputusan. Dengan modal sendiri kira-kira RM100,000, saya memberanikan diri membuka Qualitas Medical Group dengan sokongan isteri serta anak,” kata datuk kepada seorang cucu ini.

Kini Qualitas Medical Group dilihat setanding dengan klinik sedia ada. Umum mengetahui bukan mudah mahu melebarkan empayar ke luar negara, namun Noorul Ameen membuktikan tiada apa yang mustahil dikecapi andai memiliki sifat rajin dan tidak cepat putus asa.

“Adalah normal bila ada yang memandang rendah ketika kali pertama menyuarakan hasrat membuka cawangan klinik di luar negara. Namun saya tidak pernah ambil peduli kerana yakin mampu lakukannya.

“Memang bukan mudah, prosedur mereka ketat dan perlu mematuhi syarat ditetapkan. Sebab itu saya melawat cawangan Qualitas di luar negara sekali setiap dua bulan bagi memastikan peralatan dalam keadaan baik dan pekerja memberi perkhidmatan cemerlang,” katanya yang memenangi anugerah Commerce-Ventures CEO of Year 2006 dan anugerah Top Nominee of the Ernst & Young Entrepreneur 2011.

Qualitas Health menyediakan perkhidmatan ‘all in one’ di bawah satu bumbung.
Pesakit boleh mendapatkan khidmat nasihat atau rawatan di sini dengan peralatan canggih dan terkini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: