|
Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Perumpamaan itu sesuai ditujukan kepada novelis, Wan Rosnani Wan Othman, 49, apabila mengikut jejak langkah Allahyarham ibunya, Maziah Chik yang meminati bidang penulisan.
Menurut Wan Rosnani atau nama penanya, Mimie Afinie, Allahyarham ibunya gemar menghantar karya cerpen dan sajak kepada akhbar Utusan Malaysia sekitar tahun 1970-an.
Mimie Afinie yang pada masa itu dalam lingkungan usia remaja tidak pernah ambil pusing mengenai hal tersebut kerana tidak berminat.
Namun, setelah umurnya mencecah 40 tahun, pendiriannya berubah. Salah seorang sahabatnya memberi cadangan kepada Mimi Afinie untuk menulis sebuah novel. Nama pena Mimie Afinie yang digunakannya merupakan gabungan nama suami, anak-anak dan nama beliau sendiri.
Pada awal pembabitan, beliau mengakui agak sukar untuk menghasilkan novel. Beliau mengambil masa selama tiga minggu untuk menyiapkan satu bab. Kini setelah lebih sembilan tahun terbabit dalam penulisan novel, minatnya kian bercambah dan idea baharu sentiasa muncul dalam menghasilkan karya.
Novel pertama yang dihasilkan oleh Mimie Afinie pada tahun 2003 bertajuk, Bisikan Rindu. Novel tersebut berjaya menambat hati pembaca dan diulang cetak sebanyak lima kali sehingga tahun 2005.
“Buat pertama kalinya, syarikat penerbitan Alaf 21 berminat untuk mencetak novel tersebut dan saya terus bersemangat untuk menghasilkan novel yang seterusnya.
Tema cinta
“Pada tahun 2004, saya telah menyiapkan novel kedua yang bertajuk, Masih Ada Rindu dan ia berjaya disiapkan dalam tempoh tiga bulan sahaja. Untuk novel tersebut, saya masih mengekalkan tema cinta,” kata Penolong Pegawai Eksekutif (Perpustakaan), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) di Cyberjaya.
Ibu kepada tiga orang anak itu masih aktif menulis novel walaupun jadual hariannya padat dengan kerjaya dan keluarganya. Walaupun dalam kesibukan, beliau berjaya menerbitkan 13 buah novel yang terdiri daripada kisah cinta, novel kanak-kanak dan remaja.
Antara novel Mimie Afinie yang telah menembusi pasaran ialah Yang Ku Cari, Bila Dah Suka, Hai Kitti dan Supermanku. Karya terbaharu Mimie Afinie bertajuk Tolong Ingatkan Aku telah berada di pasaran pada bulan April lalu.
“Tolong Ingatkan Aku merupakan sebuah kisah percintaan tiga segi antara Azah, Azlan dan El yang diterapkan dalam mesej-mesej keislaman yang memberi pengajaran kepada golongan muda,” jelasnya yang kini bernaung di bawah syarikat penerbitan Karnadya Solutions Sdn. Bhd. Beliau merupakan antara perintis terawal syarikat tersebut bersama novelis terkenal, Aina Emir pada tahun 2006.
Menurutnya, kejayaan yang paling tidak disangka apabila novelnya yang bertajuk, Kalau Ada Jodoh yang berada di pasaran sejak ia diterbitkan empat tahun lalu masih mendapat sambutan. Novel tersebut juga telah diulang cetak sebanyak 13 kali sehingga tahun 2012.
Menyentuh tentang hala tujunya dalam bidang penulisan novel, Mimie Afinie mahu menghasilkan novel berbentuk motivasi bersifat keislaman, lebih santai dan bersahaja.
“Peminat lebih mengenali saya sebagai seorang penulis novel cinta. Dengan penghasilan novel bertemakan motivasi bercirikan Islam, saya dapat mengubah cara penulisan ke arah yang lebih serius di samping dapat mendidik pembaca melalui mesej-mesej seperti yang ditetapkan mengikut kaca mata Islam,” ujar anak kelahiran Kuala Berang, Terengganu itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: